Didik

7 Perangai Si Ayah Yang Paling Cepat Ditiru Oleh Anak. Jaga-jaga Ya!

12.4K
SHARES

“Alahai… Moleknya perangai anak, tak ubah macam bapanya.”

Perasankah anda, perangai ibu atau bapa sering dikaitkan dengan perangai anak.

Mana tidaknya, sepanjang kita menjadi ibu atau bapa, setiap pergerakan kita diperhatikan oleh mata-mata kecil.

Sebab itulah, secara automatiknya, kita juga akan berkelakuan lebih ‘elok’ di hadapan anak-anak.

Saya tertarik dengan sebuah artikel hasil penulisan Mike Berry menerusi The Good Men Project, yang mengupas tentang hal ini daripada perspektif lelaki.

Sebagai seorang bapa, beliau melihat 7 perangai atau tabiat seorang suami yang paling mudah ditiru oleh anak-anak.

perangai anak

7 Perangai Bapa Yang Akan Menjadi Ikutan Anak. Jaga-jaga!

1. Cara Anda Melayan Ibunya

Biasanya ibu adalah insan yang paling rapat dengan anak.

Oleh itu, jika anda berlemah lembut, memberi semangat, penyayang, memanggil dengan panggilan hormat, anak-anak akan lebih menghargai ibu mereka.

Tetapi, jika anda sering memperkecilkan kebolehan isteri, bersikap kasar, dan selalu bercakap tanpa memikirkan perasaannya, perangai anak akan lebih cenderung ke arah yang sama.

bosan dengan pasangan

Foto Kredit: petrotimes.vn

2. Cara Anda Menguruskan Kewangan

Mungkin anak kecil kurang memahami jika anda sering dibebani hutang. Namun, mereka dapat mengenalpasti cara anda berbelanja bermewah-mewahan. Ini akan mengakibatkan mereka kurang memahami nilai wang hingga dikelilingi hutang keliling pinggang apabila dewasa.

Sebaliknya, apabila anda cermat, sentiasa membuat perancangan, dan membuat simpanan, anak-anak semestinya akan lebih berhati-hati dalam meminta sesuatu. Malah, mereka akan lebih bijak menguruskan kewangan sendiri.

kesalahan mendidik anak

Foto Kredit: valuestockguide.com

3. Cara Anda Bercakap Dengan Orang Lain

Tidak kiralah di mana atau dengan siapa anda berada, percayalah anak-anak ini sering memerhati.

Sekiranya anda bersikap buruk terhadap pelayan restoran atau penjaga kaunter di tandas awam, mereka juga akan meniru cara anda menghina mereka.

Apabila anda memberi senyuman ikhlas dan beradab terhadap orang sekeliling, perangai anak turut akan terkesan.

Malah, mereka belajar untuk lebih bijak dalam menghormati dan pandai bersimpati.

Foto Kredit: DEMC

Foto Kredit: DEMC

4. Cara Anda Mengikut Undang-undang

Kadangkala kita tidak menyedari bagaimana kita mencarut atau memaki hamun pemandu lain di jalan raya. Ada juga yang memperlekehkan polis yang sedang membuat ‘roadblock’ di tepi jalan.

Ini semua akan memberi impak kepada anak-anak.

Tetapi, kadangkala jika anda tidak sengaja, pastikan anda tidak lupa untuk menerangkan kepada mereka supaya tidak mencontohi sikap ini.

5. Cara Anda Mengotakan Janji

“Ok lah, nanti kita beli mainan ini lain kali.” “Baiklah, nanti kita pergi taman kalau dah siap kerja sekolah .”

Tapi, sampai ke sudah kita tak tunaikan janji.

Integriti sangat penting kerana anak kecil perlu mempercayai ibu bapanya sebelum mempercayai orang lain.

Oleh itu, jangan berjanji jika ianya berat untuk dikotakan. Walaupun anak-anak masih kecil, mereka tahu bila anda menipu.

6. Cara Anda Menjaga Penampilan

Kita perlu menjaga aurat di hadapan anak-anak. Tidak kiralah lelaki atau perempuan, mereka akan terikut-ikut dengan kebiasaan anda menanggalkan pakaian, berseluar pendek, atau memakai pakaian selekeh semasa di rumah.

Jika anda sering menyajikan mereka dengan ‘junk food’ atau ‘fast food’, mereka akan ketagih dengannya sejak kecil. Sebaliknya, jika mereka dibiasakan dengan masakan sihat di rumah, tentulah mereka akan terbiasa dengannya.

Jika anda rajin bersenam, mereka akan bergembira dan bersemangat apabila melakukan aktiviti luar. Tetapi jika anda malas dan lebih suka menonton televisyen, jangan marahkan mereka jika mereka suka menonton kartun!

perangai anak ikut perangai bapa

7. Cara Anda Menolong Orang Lain

Jika anda tidak pernah menyuburkan harta anda dengan bersedekah atau menderma, tentulah anak-anak akan berasa asing untuk melakukannya.

Tetapi, apabila anda rajin bersedekah atau membuat kerja-kerja amal, bawalah anak-anak sekali supaya mereka tahu erti kesusahan.

Paling mudah yang anda boleh lakukan adalah mengajak anak mengisi duit dalam tabung masjid atau mereka yang meminta sedekah di tepi jalan. Jadikan ianya tabiat setiap kali keluar rumah.

perangai anak ayah bapa

Foto Kredit: momitforward.com

Perangai Anak Cerminan Diri Kita

Jika anda hayati, sebenarnya anak-anak ini lebih terkesan dengan perbuatan kita berbanding nasihat yang diberikan kepada mereka dalam bentuk lisan.

Ramai daripada kita yang tak perasan bahawa kita kadangkala menghukum anak-anak atas kesalahan yang kita sendiri lakukan, sama ada secara jelas atau sembunyi.

Oleh itu, muhasabahlah diri dan cuba perbaiki diri dalam proses membesarkan anak-anak.

Mereka sentiasa memerhatikan kita!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×