Terus terang, ketika di sekolah menengah, saya rimas dengan ibu saya kerana selalu menyekat pergerakan saya. Apa saja yang saya buat semua salah di mata ibu.
Dalam diam, saya tanam niat belajar bersungguh-sungguh dalam SPM supaya dapat ‘result’ yang hebat agar diterima belajar di IPT yang jauh dari rumah.
Jauh dari rumah, bermakna saya juga jauh dari ibu dan bebas buat apa sahaja nanti.
Rancangan berjaya…
‘Yes!’ Apa yang saya rancang, semuanya jadi realiti. Saya dapat sambung belajar di IPT di selatan tanah air. Seronok dapat bebas akhirnya.
Tapi, keseronokan saya hanya sebulan saja sebab saya sering teringatkan ibu dan adik-beradik, maklum saja tak pernah duduk berjauhan.
Bila tengok ada saja ibu bapa kawan satu dorm datang melawat setiap hujung minggu, timbul pula rasa rindu pada ibu.
Bila berjauhan, mula rasa tak tentu arah!
Akhirnya saya buang jauh-jauh rasa ego dan telefon ibu sebaik habis kelas. Sejak itu, setiap kali ada waktu lapang, saya akan ‘call’ ibu dan berbual apa saja.
Dulu, ibu seperti musuh, tapi sehingga sekarang dan punya keluarga sendiri, ibulah BFF saya selamanya.
Kenapa saya kata begitu?
7 Sebab Ibu BFF Saya
1. Ibu orang pertama yang saya cari
Bila saya gembira, sedih dan perlu kekuatan, saya akan cari ibu dulu. Tak sama rasanya bila saya kongsi dengan ayah mahupun adik-beradik.
2. Ibu yang memahami situasi
Meskipun zaman ibu membesar tidak sama dengan zaman saya, namun ibu dulu pernah juga menjadi remaja sehingga bergelar isteri serta ibu dan melalui apa yang saya rasa.
Jadi, bila saya meluahkan masalah, ibu tahu bagaimana untuk meredakan kesedihan saya.
3. Ibu sentiasa ada berkongsi kesedihan
Orang kata “kawan gembira senang dicari, kawan menangis sukar sekali”.
Memang tak semua kawan sanggup berkongsi kesusahan namun berlainan dengan ibu, malah sanggup memikul masalah bersama-sama.
4. Ibu tidak pernah meminta balasan
Bagi semua ibu, apa yang dibuat untuk anaknya lahir dari keikhlasan. Cukuplah anaknya bahagia, dia pun turut gembira.
5. Ibu mengasihi anaknya tanpa sempadan
Biar sebanyak mana kesalahan yang kita lakukan pada ibu, tak pernah kurang kasihnya pada anak-anak.
6. Ibu selalu buatkan anak rasa istimewa
Pernah tak setiap kali kita balik kampung, ibu akan masak menu kegemaran walaupun kita tak pernah minta?
Itulah tanda ibu sangat prihatin terhadap kita. Masa kecil dulu pun, ibu selalu terima apa saja keputusan peperiksaan kita tanpa mengherdik.
7. Keberkatan semasa ibu ada di sisi
Ibu memang sentiasa ada masa untuk mendengar keluh-kesah. Meskipun kadang kala ibu tak tahu nak memujuk, tapi cukup dengan kehadiran ibu di sisi terasa semua masalah dapat diatasi.
Inilah keberkatan menjaga hubungan dengan ibu, seperti yang dijanjikan Allah.
I love you, Ibu!
Tak cukup untuk saya katakan saya sayang ibu.
Saya juga tak malu mengaku ibu BFF saya.
Anda pula?