“Ish Dani ni, penat aku fikirkan resipi sepanjang malam, dia masih tak nak makan juga. Hari tu doktor dah marah sebab kurang berat. Aduh. Kenapa anak susah makan ni sebenarnya. Memang tak sedap ke makanan yang aku masak ni. Atau dia yang mengada-ngada?”
Kenapa anak susah makan sebenarnya? Adakah si anak tak berasa lapar? Atau dia tak suka makanan yang dihidangkan kepadanya? Adakah faktor-faktor lain yang membuatkan anak tak nak makan?
Menurut sebuah laman web, ibu bapa mungkin menjadi punca kenapa anak susah makan dan sangat cerewet dalam memilih makanan. Ini bermaksud, ada tabiat kita yang mendorong mereka menjadi cerewet atau ‘picky eater’.
Bagaimana? Cuba semak 6 perkara ini.
6 Sebab Kenapa Anak Susah Makan. Ibu Bapa Faktor Utama!
Sebagai ibu bapa, mungkinkah anda ada melakukan salah satu daripada tabiat ini?
1. Anda Buat Anak Tertekan
Cuba wujudkan suasana santai semasa memberi anak makan. Contohnya mengajak mereka makan sambil bermain, berkelah di halaman rumah, atau mengajaknya main masak-masak.
Aktiviti bermain ini sedikit sebanyak memberi ketenangan pada psikologi anak yang kurang berasa selesa untuk mencuba sesuatu makanan.
2. Banyak Beri Minuman & Snek
Menurut laman web kesihatan Health Link BC, jus atau susu adalah antara minuman yang paling selalu menjadikan mereka menolak makanan. Perut yang penuh akan membuat anak anda ‘kenyang’ buat sementara waktu.
Oleh itu, pastikan anda tidak menawarkan susu, jus, ataupun snek dalam tempoh 1-2 jam sebelum waktu makan.
Perut mereka sebenarnya kecil cepat kenyang walaupun hanya memakan snek ringan.
3. Anda Paksa Mereka Habiskan
Kalau anak anda berkata “Dah kenyang,” anda tidak mahu menurut kemahuan mereka. 1-2 suap lagi mungkin tak mengapa.
Tapi, kalau anda memaksa mereka menghabiskan setengah pinggan lagi, tentu anak akan berasa marah dan tidak didengari.
Oleh itu, tak perlu ‘expect’ mereka untuk habiskan makanan dan jangan memaksa sekiranya mereka tidak boleh menghabiskannya.
4. Anda Sendiri Tak Tunjuk Contoh
Di depan mereka, mungkin anda makan semua makanan yang berkhasiat.
Tetapi, anda tidak konsisten sewaktu ‘menyimpan’ rahsia. Contohnya, anda membuang plastik coklat di tempat yang mereka boleh nampak, anda selalu pergi ke restoran ‘fast food’ sebagai ‘upah’ jika berkelakuan baik. Atau anda menggunakan semua bahan ‘instant’ dalam masakan.
Walaupun anak-anak tidak pernah menyuarakannya, mereka tentu tahu tabiat makan anda yang sebenarnya.
5. Anda Hidangkan Terlalu Banyak
Sekali hidang, penuh sepinggan dengan macam-macam lauk.
Salah satu sebab kenapa anak susah makan adalah apabila mereka rasa ‘tak sanggup nak habiskan’ apabila melihat lambakan makanan ini.
Seelok-eloknya, anda memberi peluang untuk mencuba hanya 1 lauk dalam 1 masa dan menambahnya apabila mereka mula menyukainya.
6. Anda Tak Beri Peluang Mereka Memilih
Semasa merancang masakan, cuba libatkan mereka.
Contohnya, anda boleh sama-sama melihat buku resipi dan bertanya mana satu hidangan yang mereka suka.
Kemudian, anda bolehlah cuba membuat sesuatu yang serupa dengannya. Lagi seronok kalau anda mengajak anak-anak untuk turut serta menyediakan makanan tersebut bersama-sama!
Bertenang, Ambil Masa
Elakkan memarahi, mengancam, atau menghukum anak-anak yang tidak mahu makan.
Mempunyai pilihan makanan atau minuman (terutamanya snek yang tidak sihat) adalah antara sebab kenapa anak susah makan yang paling utama. Sebab itulah kena konsisten dan hanya beri mereka pilih makanan yang sihat saja. Bak kata orang, “kalau dah lapar, apa saja di depan mata akan kita makan, kan?”
Sebaliknya, banyakkan bersabar dan teruskan usaha anda untuk menerapkan tabiat makan yang sihat terhadap anak-anak. Kena konsisten!
Kalau mereka tak ada sebarang simptom kesihatan yang merisaukan, anda tidak perlulah risau. Tubuh mereka sedang beradaptasi dengan jadual makan yang baru. Rujuk doktor jika keadaan fizikal mereka amat merisaukan.