Anak Susah Makan
Andaikan situasi begini. Anda penat-penat masak untuk si comel, tetapi dia meluahkan kembali makanan yang disuap. Apa perasaan anda? Tentu ‘tension’ dan marah bukan?
Acapkali perkara begini menjadi satu kerungsingan pada ibu-ibu diluar sana. Jika tidak diberikan makanan, takut perut anak masuk angin. Namun, bukannya ibu tidak mahu berikan makanan, tetapi anak itu sendiri yang tidak mahu diberikan makanan. Ya, agak rumit. Hanya yang pernah merasainya akan mengetahu betapa sukarnya keadaan anak susah makan ini.
Memang agak payah untuk menguruskan anak yang susah mahu makan sehingga boleh jatuh sakit lagi-lagi makanan berkhasiat. Kalau gula-gula atau aiskrim, tidak perlu disuruh pun. Lumrah kanak-kanak sukakan makanan manis. Tambahan yang berumur 3-6 tahun yang sudah pandai memprotes dan memberontak. Kadang-kadang, terpaksa memaksa, buat helah dan menipu supaya mereka makan. Tapi, cara sebenar untuk pastikan anak-anak makan bukanlah dengan paksaan. Lebih baik kalau secara berterusan dan kreatif.
Mari kita sama-sama pelajari, apakah antara tips yang boleh mengatasi masalah anak susah makan ini?
1. Hias makanan
Untuk mengatasi anak susah makan, cuba ambil pendekatan yang berlainan dari yang biasa. Cuba hiaskan makanan!
Kalau nasi dan sayur dibuat seperti muka ‘teddy bear‘, anak pasti suka. Lebih-lebih lagi bila menghias watak kegemaran anak-anak seperti Upin & Ipin atau BoboiBoy.
2. Variasikan makanan berkhasiat
Kalau anak anda sukar untuk makan sayuran atau buahan, cuba campurkan sedikit dengan krim putar, keju cair atau ais krim. Nampak macam bukan tekak orang Malaysia, tapi cuba dahulu. Contohnya, brokoli yang bersalut keju cair.
Pasti anak- anak anda akan makan juga kerana rasa sayur sudah tidak jelas, di enakkan dengan rasa keju. Kalau mereka sukakan minuman manis, banyakkan buat jus buah. Kalau mereka suka makan burger atau pizza, boleh lebihkan sayuran dan daging.
Pernah ada situasi seorang kanak-kanak boleh makan apa saja termasuk sayuran yang pahit selagi makanan itu disalut oleh keju walau dia tidak sukakan sayur. Perlu ingat, jangan beri anak-anak makan makanan tidak sihat seperti dibincangkan sebelum ini.
3. Makan sekali dengan anak
Kalau ibu-bapa sendiri tidak makan sayur, bagaimana anak ingin makan sayr? Anda sendiri kerana tunjukkan tabiat makan yang betul kerana anak-anak anda memerhatikan anda dan mungkin mengajuk semula tindak-tanduk anda.
Kalau mahu berdiet sekalipun, jangan ditunjukkan depan anak bahawa anda menahan makan dan menelan ubat kurus. Pastikan anda makan mengikut masa seperti rutin biasa seperti sarapan, makan tengahari dan makan malam supaya anak anda juga terikut-ikut cara anda. Tabiat makan makanan yang sihat juga adalah baik untuk mempengaruhi anak-anak.
4. Jangan paksa anak
Sentiasa berfikiran positif. Jangan cuba cara ugutan iaitu seperti tidak membenarkan anak anda bermain jika dia tidak habiskan sayur. Ia akan menanamkan rasa negatif dan benci terhadap sayur dimana mereka langsung tidak akan sukakan makanan tersebut.
Bertolerasi adalah cara yang terbaik. Atau dengan kata lain, ‘rasuah positif’. Contohnya, janjikan mereka makanan yang mereka suka dengan syarat mereka menghabiskan sayuran mereka. Jadi, mereka akan makan sayuran dengan lebih kerap dengan harapan mahu makan apa yang mereka suka selepas itu. Sekurang-kurangnya ianya bukan atas dasar paksaan dan ada perasaan negatif.
5. Masak sama-sama
Kalau anda membeli-belah dan mungkin ingin memilih sayuran atau buahan, cuba ajak anak anda untuk buat pilihan bersama. Kebiasaannya, mereka memang gemar untuk melibatkan diri walaupun buat pilihan atas makanan yang mereka tidak suka.
Apabila sampai waktu makan, mereka pastinya akan fikir mahukan ibubapanya makan makanan yang dipilih olehnya. Jadi dia juga akan turut makan sekali. Pastikan mereka juga lakukan kerja-kerja minor yang kononnya nampak seperti membantu anda seperti menggaul tepung, basuh sayur dan buah, mengacau masakan, memotong cendawan dan sebagainya.
Penglibatan sebegini mewujudkan rasa kasih sayang dan diberi perhatian di samping mengeratkan keluarga.
6. Tunjukkan kartun atau visual yang anak suka
Rajinkan diri untuk mengkaji dan kemudiannya menayangkan video kegemaran anak-anak yang menggambarkan pemakanan yang sihat.
Biasanya kanak-kanak akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat di video tambahan kalau ada watak kegemaran mereka yang turut sama lakukan sesuatu seperti memakan makanan sihat.
Secara perlahan-lahan, anak anda yang mungkin payah untuk makan akan mula melihat tabiat makan itu adalah perkara baik. Contohnya seperti watak Popeye yang selalu makan sayur. Ada sebabnya mengapa watak-watak kartun dan artis-artis berpengaruh dibayar berjuta ringgit. Ini kerana mereka mampu memberi arahan dan mempengaruhi anak-anak lebih baik dari anda.
Kalau mahu lebih efektif, buka episod Upin & Upin yang makan sayur.
Bagaimana kalau anak sudah sekolah?
Ini lain sedikit. Cuba ikut panduan dari Kementerian Kesihatan ini. Antara cadangan Kementerian Kesihatan ialah:
Sandwic sihat
- Sandwic adalah popular kerana ia mudah dimakan dan disediakan.
- Pilih roti penuh bijirin kerana ia mengandungi lebih serat.
- Lapiskan sandwic dengan isi yang digemari oleh anak seperti ikan tuna atau sardin, keju, isi ayam
- yang dipanggang atau telur rebus yang dilecek dengan sedikit mayones.
- Tambahkan sedikit sayur seperti timun, salad atau lobak.
Nasi atau mi goreng
- Selain daripada sandwic, makanan utama yang mudah dibawa ke sekolah ialah nasi atau mi/ mihun/ pasta goreng. Ia lazat dan digemari oleh kanak-kanak.
- Tambahkan lebih sayur, telur, ayam atau daging dalam nasi atau mi goreng untuk menjadikan ia seimbang. Kurangkan penggunaan minyak berlebihan untuk menumis.
- Hidangan panas mudah menjadi basi. Pastikan hidangan tidak dimasak terlalu awal. Sejukkan dahulu sebelum dimasukkan dalam bekas bekalan. Gunakan bahan mentah yang segar untuk membuat nasi goreng, pastikan nasi putih yang dimasak telah disimpan di dalam peti sejuk atau baru dimasak.
Akhir kata
Mahu mengikut rentak anak-anak supaya mendengar kata, bukanlah susah. Kalau gunakan cara yang betul dan sedikit kebijakan psikologi, bukan setakat makan, perkara lain pun senang diajar supaya jadi kanak-kanak yang berdikari.
Selamat mencuba!