Sindrom Baby Blues
Saya masih ingat ketika saya baru melahirkan anak yang pertama. Saya merasakan hidup saya benar-benar berubah. Saya tertekan apabila mendengar tangisan anak saya pada malam hari sehingga saya terfikir “Adakah hidup saya akan berakhir begini?”.
Walaupun dalam kesakitan dan keletihan kesan daripada pembedahan, saya tetap berjaga untuk memastikan anak saya di dalam keadaan yang baik. Namun saya bersyukur kerana sepanjang tempoh berpantang, ibu saya yang menjaga saya dan anak saya. Jika tidak, saya tidak tahu apa akan terjadi kepada saya.
Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips untuk menghadapi sindrom baby blues lebih-lebih lagi untuk ibu-ibu yang baru melahirkan anak yang pertama. Sindrom ini juga dipanggil Postnatal Depression atau Postpartum Depression dan Postpartum Stress Syndrome. Nampak teruk sangat bunyikan bukan?
Sebelum terjadi pada kita, mari baca tips menghadapi dan mengatasi sindrom baby blues.
1. Minta bantuan orang terdekat ketika berpantang
Waktu berpantang adalah waktu yang sangat penting untuk ibu berehat selepas mengandung 9 bulan dan melahirkan anak. Mereka memerlukan tidur dan rehat yang cukup walaupun hakikatnya mereka tidak menikmati waktu itu sepenuhnya. Jika boleh, minta pertolongan keluarga terdekat seperti ibu, kakak, adik atau ibu saudara untuk menjaga bayi anda. Ibu hanya perlu memegang bayi ketika bayi mahu menyusu sahaja.
2. Tidur ketika bayi anda tidur
Bayi yang baru lahir akan terjaga setiap 2 jam untuk menyusu. Ketika bayi sedang tidur adalah waktu yang sesuai untuk ibu tidur kerana seseorang yang baru bergelar ibu bapa memang tidak akan dapat cukup tidur. Walaupun sebenarnya mereka tidak dapat tidur lena tetapi sekurang-kurangnya dapat berehat untuk sesi penyusuan yang seterusnya.
3. Kongsi masalah dan pengalaman bersama kawan-kawan
Saya percaya hampir semua orang menggunakan telefon pintar dan hampir semua orang ada memuat turun aplikasi Whatsapp. Jika anda sedang tertekan atau kemurungan, jangan pendam seorang diri. Kongsikan masalah bersama rakan-rakan yang juga sudah bergelar ibu. Dapatkan juga tips bagaimana untuk menjaga anak, susu yang sesuai atau apa jua soalan. Itulah gunanya rakan, bukan?
4. Sentiasa melihat gambar bayi atau ‘online shopping theraphy’
Percaya atau tidak ketika saya tertekan, saya sering melihat gambar bayi-bayi yang comel. Malah anak-anak rakan juga menjadi salah satu terapi saya. Selain itu, saya jua sering ‘cuci mata’ dengan melihat pakaian bayi yang cantik dan comel.
Dengan cara itu saya dapat melupakan sebentar keletihan saya. Malah hobi saya itu juga dapat membuat saya lebih yakin dan bersemangat untuk menghadapi hari-hari akan datang sebagai seorang ibu.
5. Sokongan dari suami
Saya rasa suami adalah individu yang paling penting selepas isteri melahirkan zuriat anda. Siapa yang tidak suka suami yang ringan tulang membantu isteri menjaga anak, mengemas rumah. Suami mungkin boleh membantu isteri untuk menukar lampin anak, membasuh pakaian dan lain-lain.
Selain itu, sokongan moral dari suami juga penting. Jangan lupa puji isteri anda sekali-sekala walaupun ketika itu mereka hanya berkain batik. Percayalah, pujian itu sedikit sebanyak dapat melegakan keletihan mereka.
6. Sentiasa berzikir dan dekatkan diri dengan Allah
Anak kecil seperti yang kita ketahui dapat melihat makhluk yang tidak dapat dilihat oleh orang dewasa. Saya sarankan semasa mengandung lagi, bakal ibu dan bapa amalkan zikir dan membaca Al-Quran dengan kerap. Ketika berpantang, bayi amat mudah didekati oleh gangguan-gangguan halus.
Malah ketika ini juga ibu yang berpantang amat mudah diganggu jika gagal mengawal tekanan. Sentiasa alunkan zikir atau Surah Ruqyah kepada bayi. InsyaAllah, ia akan membantu anak-anak dari menangis pada waktu malam malah ibu juga akan rasa lebih tenang dan tenteram.
Harapan saya
Ini hanyalah secebis pengalaman saya sendiri. Saya telah merasa keperitannya dan mahukan anda yang sedang membaca ini tidak merasainya. Semoga pengalaman yang sedikit ini dapat memberikan manfaat pada semua. Sama-sama kita elakkan sindrom baby blues ini!