Ghibah atau mengumpat merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Namun, tahukah anda di dalam Islam terdapat beberapa jenis mengumpat yang dibenarkan?
Sebelum pergi lanjut mengenainya, mari ketahui tentang dosa ghibah terlebih dahulu.
Baca juga: Nak Rujuk Dalam Tempoh Iddah, Boleh Ke Berlaku Dengan Hanya Syahwat? Ini Kata Mufti!
MENGUMPAT YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM
Maksud ghibah
Ghibah ialah membicarakan aib atau keburukan orang lain berdasarkan kenyataan atau juga disebut mengumpat.
Rasulullah menyatakan ghibah membicarakan keburukan orang lain berdasarkan kenyataan, sedangkan fitnah berunsur pembohongan. (Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmidi)
Ketahuilah ghibah itu merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Bahkan ghibah itu bukan sahaja melalui lisan, malahan dengan tulisan atau bahasa isyarat juga.
Ghibah ibarat memakan daging saudara sendiri
Allah SWT melarang perbuatan ghibah dan menggambarkan pelakunya sebagai pemakan bangkai saudaranya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (Surah al-Hujurat 12)
Menurut Ibn Kathir,
“Allah SWT melarang hamba-hambanya yang beriman daripada bersangka buruk iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat kepada orang lain mahupun ahli keluarga terdekat. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana jelas larangannya.
Para ulama juga bersepakat atas pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat-maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/377)
Baca juga: Trend ‘GRWM’ Di Media Sosial Makin Melampau, Hijabis Tak Malu Siap Tunjuk Tengah Butang Baju!
Keharusan mendedahkan aib dan mengumpat
Walaupun begitu, terdapat jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak dengan tujuan yang sahih dan syarie. Enam jenis tersebut adalah:
- Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
- Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
- Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
- Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
- Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
- Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.
Pengguna media sosial
Pengguna media sosial seperti di Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, anda akan mendapati bahawa terdapat pempengaruh yang mengisi kandungan media sosialnya dengan menceritakan tentang kesilapan orang lain atau memaparkan kesalahan orang lain sehingga menimbulkan rasa malu pada pelaku kesalahan tersebut, walaupun kesalahan itu kecil.
Malahan ada yang memaparkan kesilapan orang lain sehingga menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat.
Baca juga: Awas, Suka Samakan Tubuh Isteri Dengan Wanita Lain, Suami Boleh Jatuh ZIHAR & Kena Kafarah!
Kesimpulan
Nasihat kepada pempengaruh, marilah sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dan tidak melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya. Sebagai netizen, ingatlah kepada Allah SWT tatkala jari-jemari begitu pantas memetik abjad di atas papan kekunci.
Fikirlah terlebih dahulu akan implikasi dan kesan akibat komentar, kenyataan, tuduhan, serta tohmahan yang dilemparkan kepada mana-mana individu kerana kesannya amat buruk di hari Akhirat kelak.
Ingat, jangan jadikan ghibah sebagai hobi yang merupakan salah satu dosa besar.
Sumber: portal Zulkifli al-Bakri
FT Image: IslamItuIndah