Kemusnahan sebuah rumah tangga sebenarnya boleh terjadi disebabkan ibu bapa sendiri. Lebih-lebih lagi jika mempunyai ciri ibu bapa toksik dalam diri. Bukan sahaja menjejaskan diri dan hubungan dengan anak, malah merosakkan hubungan seluruh keluarga.
Kesihatan mental anak boleh terjejas disebabkan oleh perangai toksik ibu bapa. Sebagai ibu bapa, amat penting untuk anda menjadi yang terbaik buat anak-anak. Jadi, jom ikuti penulis berkongsi berkaitan ciri ibu bapa toksik yang mungkin anda terlepas pandang.
Baca juga: 5 Perkara Toksik Boleh Rosakkan Hubungan Adik-Beradik, Bahaya!
CIRI IBU BAPA TOKSIK YANG RAMAI TAK PERASAN
1. TIDAK MENGAWAL EMOSI DIRI SENDIRI
Sudah pastinya selepas seharian penat bekerja, perkara yang paling menjengkelkan apabila pulang ke rumah adalah menyaksikan anak-anak berebut mainan. Kemudiannya, anda terus melepaskan marah kepada mereka yang tidak tahu apa-apa.
Dalam situasi ini, ibu bapa perlu tenang dan bertindak sewajarnya kepada situasi tersebut. Jika anda kerap marah, maka lama-lama anak akan terikut dengan perbuatan agresif itu.
2. KASAR TERHADAP ANAK
Sebenarnya anak ini selalu memerhati setiap gerakan kita terutama cara kita menunjukkan kasih sayang kepada mereka. Jika anda bertindak kasar tanpa sebab, anak akan keliru dengan situasi itu.
Malah, sesetengah ibu bapa turut menggunakan denda yang melibatkan fizikal seperti rotan anak sebagai tanda mendisplinkan mereka. Perbuatan mendenda secara fizikal sebenarnya boleh menjejaskan mental sehingga anak berpotensi mempunyai depresi.
Ketahuilah, anda hanya perlu tegas dalam kata-kata dan terangkan satu persatu kepada anak apa yang tidak kena. Kritik perangai buruk anak, bukan diri mereka sendiri.
3. TIDAK MENETAPKAN SEMPADAN YANG JELAS ANTARA ANDA DAN ANAK
Seperti ibu bapa, anak juga memerlukan ruang sendiri untuk membesar. Oleh itu, penting untuk ibu bapa hormat privasi anak seperti tidak memasuki bilik mereka sewenang-wenangnya, mahupun memeriksa peranti di dalam gajet.
Tanpa sekatan yang jelas, anda sebenarnya sedang mengacau ruang peribadi anak-anak yang merupakan hak mereka sendiri.
4. TIDAK ADIL KEPADA ANAK
Anda menunjukkan kasih sayang lebih kepada adik beradik yang lain membuatkan anak tidak selesa berada dalam rumah. Ibu bapa yang baik adalah mereka yang menghargai kekuatan dan kelemahan anak daripada membanding dengan si kecil yang lain.
Jika anda terus menunjukkan ketidakadilan di rumah dengan adik beradik yang lain, anak mungkin akan berkelakuan buruk di luar hanya untuk menarik perhatian ibu bapa mereka.
5. MAHU ANAK BERPIHAK KEPADA ANDA
Ketika bergaduh dengan pasangan, jangan sesekali menyuruh anak berpihak kepada anda hanya kerana inginkan sokongan tambahan. Ayat seperti “Jangan jadi macam ayah kau” sebenarnya akan memecahkan keluarga anda sendiri.
Ibu bapa sendiri telah mencipta perbalahan dalam keluarga dan melibatkan anak yang tidak tahu apa-apa. Kesannya, anak akan hilang hormat kepada ibu bapa dan mereka juga berpotensi untuk hilang kepercayaan kepada anda.
6. HANYA SAYANGKAN ANAK JIKA MEREKA…
lakukan apa yang anda mahukan. Jangan sesekali menggunakan anak anda kerana perbuatan ini akan menyinggung perasaaan mereka. Jika anak gagal melakukan apa yang disuruh, mereka berpotensi merasakan tidak selamat dan resah kerana telah gagal memuaskan hati anda.
Sepatutnya, untuk mendapatkan kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa, anak tidak memerlukan apa-apa syarat daripada mereka.
7. BUAT ANAK RASA BERSALAH
Perasan tak situasi ini sebenarnya kerap berlaku dalam kebanyakan keluarga? Ibu bapa buatkan anak rasa bersalah melalui kata-kata mereka. Contohnya “Kalau adik tak lulus cemerlang ujian ini, pasti ibu rasa sangat sedih”. Ayat seperti inilah yang akan buatkan anak rasa bersalah dan tidak gembira.
Malah, mereka akan merasakan ‘pressure’ akibat tidak ingin mengecewakan ibu bapa mereka. Sepatutnya sebagai ibu bapa, terimalah anak walau apa pun kekurangan dan kelebihan mereka.
8. TIDAK BOLEH MENERIMA KEGAGALAN ANAK
Normal untuk setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak. Namun, ada batasnya. Janganlah anda menolak kegagalan anak dan membuatkan mereka rasa teruk dengan apa yang telah terjadi.
Sebagai ibu bapa, terima kegagalan anak dengan terbuka kerana mereka akan belajar daripada kesilapan yang telah mereka lakukan untuk jangka masa yang lama.
Jadi, ada tak antara ciri ibu bapa toksik di atas yang anda lakukan di rumah? Jika ada, berubahlah demi mereka. Anak tiada sesiapa tetapi ibu bapa yang akan memimpin mereka menjadi insan yang berguna.
Sumber: Smart Parents