Euforia Bola 2026
Rakyat

Sambutan Ambang Merdeka 2026 Lebih Meriah, Ini Senarai Lokasi Setiap Negeri Untuk Raikan & Tengok Bunga Api!

AMBANG MERDEKA

Ambang Merdeka 2026 bakal dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik di seluruh negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Daripada persembahan artis, acara kebudayaan hingga pertunjukan bunga api, orang ramai berpeluang memilih lokasi yang sesuai untuk meraikan malam penuh patriotik bersama keluarga dan rakan-rakan.

Baca juga: Pesta Lampu Sedunia Malaysia 30 & 31 Ogos 2026, Saksikan Dataran Merdeka Dipenuhi Cahaya!

SAMBUTAN AMBANG MERDEKA 2026, ADA BUNGA API

Bagi yang masih mencari lokasi untuk menyambut malam Merdeka bersama keluarga dan rakan-rakan, berikut antara acara Ambang Merdeka yang berlangsung di beberapa negeri pada 30 Ogos 2026.

1. Kuala Lumpur – Dataran Merdeka

AMBANG MERDEKA

Dataran Merdeka sekali lagi menjadi antara lokasi utama sambutan Ambang Merdeka di ibu negara.

Program yang berlangsung pada malam 30 Ogos itu bakal menampilkan persembahan daripada barisan artis tempatan, selain pengisian kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Antara artis yang dijadualkan membuat persembahan ialah Dato’ Zainal Abidin, Aina Abdul, Adira Suhaimi, Mimi Fly, Asmidar, Nadia Aqilah, Anggrek, Emma Suhaimi, Aman Ra, Haziq Rosebi, Kidd Santhe, Danny Koo, Izen Kong, Pasya, Hussain dan Zubir Khan.

2. Selangor – Stadium Kajang

AMBANG MERDEKA

Penduduk Selangor boleh menyambut malam Merdeka di Stadium Kajang menerusi Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri.

Program tersebut dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2026, bermula jam 6 petang hingga tengah malam.

Antara pengisian yang disediakan termasuk perarakan dan perbarisan, persembahan badan beruniform, persembahan kebudayaan serta persembahan artis tanah air.

Kemuncak acara turut diserikan dengan pertunjukan bunga api yang boleh dinikmati bersama keluarga.

3. Melaka – Dataran 1 Malaysia, Klebang

AMBANG MERDEKA

Melaka turut menyediakan pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Majlis Sambutan Ambang Merdeka 2026 dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos, bermula jam 8 malam di perkarangan Dataran 1 Malaysia, Klebang.

Selain acara Ambang Merdeka, kawasan Klebang turut menjadi lokasi pelbagai program sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) dari 29 hingga 31 Ogos 2026.

Antara pengisian yang dirancang ialah Karnival CIMIC anjuran Kementerian Pertahanan, Melaka Berselawat bersama Habib Syech Assegaff, perbarisan dan perarakan kontinjen, pameran aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kereta berhias serta pameran dan demonstrasi ketenteraan.

4. Perlis – Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra

AMBANG MERDEKA

Bagi masyarakat Perlis, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri akan berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.

Acara tersebut dijadualkan pada 30 Ogos 2026, bermula jam 8 malam. Lokasi ini boleh menjadi pilihan penduduk setempat yang mahu meraikan malam Ambang Merdeka dalam suasana bersama-sama komuniti.

5. Johor – Padang Awam FELDA Ulu Penggeli

Di Johor pula, Sambutan Ambang Merdeka Bersama Peneroka 2026 akan diadakan di Padang Awam FELDA Ulu Penggeli.

Program berlangsung pada 30 Ogos 2026 dari jam 7.30 pagi hingga tengah malam.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang hari untuk orang ramai, khususnya warga FELDA dan keluarga yang mahu meluangkan masa bersama-sama sempena sambutan kemerdekaan.

6. Perak – Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru

Perak turut menggabungkan sambutan Ambang Merdeka dengan Festival Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) 2026.

Program yang berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos itu bertempat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, bermula jam 12 tengah hari hingga tengah malam.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, jualan makanan dan minuman, gerai pameran serta aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

Festival selama tiga hari ini boleh menjadi pilihan kepada mereka yang mahu menikmati suasana sambutan Merdeka bersama keluarga sebelum malam kemuncak.

7. Sarawak – Kapit Town Square

Masyarakat di Kapit, Sarawak turut berpeluang menyertai sambutan Ambang Hari Kebangsaan yang akan diadakan pada 30 Ogos 2026.

Acara berkenaan berlangsung di Kapit Town Square bermula jam 8 malam. Sambutan ini menjadi antara lokasi di Sarawak untuk orang ramai berkumpul dan menghayati semangat kemerdekaan bersama komuniti setempat.

8. Terengganu – Dataran Muara Utara Drawbridge

AMBANG MERDEKA

Terengganu menawarkan pelbagai pengisian menjelang detik tengah malam menerusi Majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka 2026.

Acara berlangsung pada 30 Ogos 2026, bermula jam 8.45 malam di Dataran Muara Utara Drawbridge, Kuala Terengganu. Antara pengisian yang dirancang termasuk Forum Bicara Merdeka dan persembahan khas kumpulan Rabbani.

Pengunjung turut boleh menikmati persembahan lagu popular seperti Intifada, Teman Sejati, Warisan, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.

Program turut diserikan dengan upacara penyerahan Jalur Gemilang, perarakan Rejimen 512 Askar Wataniah serta kiraan detik menuju Ambang Merdeka.

9. Pahang – Kuantan 188

Penduduk Pahang boleh menuju ke Kuantan 188 pada 30 Ogos 2026 untuk menyertai sambutan Ambang Merdeka.

Lokasi tersebut bakal menjadi tumpuan orang ramai yang mahu meraikan malam kemerdekaan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Antara tarikan yang dinantikan ialah pertunjukan bunga api yang dijangka menceriakan langit Kuantan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

10. Pulau Pinang – Pelbagai Aktiviti Dalam Satu Festival

Pulau Pinang turut menyediakan program dengan pelbagai pengisian untuk memeriahkan sambutan Merdeka.

Antara aktiviti yang dirancang termasuk pameran dan aktiviti daripada agensi keselamatan seperti TUDM, PDRM, BOMBA, APM dan AADK.

Pengunjung juga boleh menikmati Street Food Fest, jualan barangan bundle dan thrift, Fashion Fest, forum Islamik serta persembahan qasidah.

Dengan pelbagai pilihan program di setiap negeri, orang ramai boleh memilih lokasi yang bersesuaian untuk meraikan Ambang Merdeka bersama insan tersayang.

Sambutan ini bukan sahaja menjadi ruang untuk berhibur, malah peluang untuk menghayati kepelbagaian budaya dan menyemarakkan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan ke-69.

Baca juga: Merdeka Makin Best! Melaka Tawar Kemasukan Percuma Ke Zoo, River Cruise & Menara Taming Sari 31 Ogos Ini

Sumber: Majlis Perbandaran Hulu Selangor, UKAS, DBKL

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×