Kek bulu antara trend makanan pelik dan unik nampaknya semakin mendapat perhatian orang ramai. Dari jauh, topping pada pencuci mulut ini kelihatan seperti menggunakan bulu atau rambut manusia.
Kek mini berkenaan dijual pada harga sekitar RM15 sebiji dan hadir dengan perisa cookies and cream. Bahagian atas kek pula dihiasi krim putih bersama helaian halus yang membuatkan penampilannya seakan-akan dipenuhi bulu.
Baca juga: Alamak! Masakan Berketul Bila Guna Santan Beku? Rupanya Boleh Jadi Cantik Semula Dengan Cara 7 Ini
KEK BULU VIRAL DI MALAYSIA, RAMAI TAK SANGGUP MAKAN

Namun, jangan risau kerana topping yang kelihatan seperti rambut itu sebenarnya bukan bulu manusia. Sebaliknya, ia diperbuat daripada rumpai laut yang disusun sedemikian rupa bagi menghasilkan ilusi seperti bulu.
Menurut pengasasnya, idea tersebut tercetus daripada konsep menghasilkan kek yang comel, menyeronokkan dan mempunyai penampilan luar biasa. Malah, kek dengan konsep sama dipercayai sudah mencuri perhatian di beberapa negara Asia sebelum turut diperkenalkan di Malaysia.
Konsep kek menyerupai bulu ini dikatakan terlebih dahulu menjadi perhatian di Thailand sebelum muncul pula di Filipina.
Di negara berkenaan, kek seumpama itu turut menggunakan rumpai laut sebagai elemen utama untuk menghasilkan tekstur yang kelihatan seperti bulu manusia.
Tidak hairanlah apabila konsep berkenaan kembali menarik perhatian pengguna media sosial selepas versi tempatan mula dikongsikan. Selain terkejut melihat rupanya, orang ramai juga mula tertanya-tanya tentang rasa kek berkenaan.
Ada yang menganggap penampilannya cukup unik untuk dijadikan hadiah hari jadi, manakala sesetengah yang lain memilih untuk bergurau dengan rupa topping yang kelihatan seperti rambut.
Ada yang kembang tekak bila nak makan

Walaupun konsepnya dianggap kreatif, tidak semua orang tertarik dengan penampilan kek tersebut. Sebahagian pengguna media sosial mengakui mereka mungkin berfikir dua kali untuk menikmatinya kerana rupa kek itu terlalu menyerupai rambut sebenar.
Malah, ada yang membangkitkan persoalan mengenai aspek kebersihan dan bergurau tentang bagaimana seseorang mahu membezakan antara topping rumpai laut dengan rambut sebenar sekiranya terdapat rambut yang terjatuh ketika proses penyediaan.
Baca juga: 51 Idea Bekal Anak Sekolah Versi Tak Pedas, Pasti Licin Anak Habiskan!
Sumber: Threads
