Santan beku memang menjadi pilihan ramai kerana lebih mudah disimpan dan boleh digunakan apabila diperlukan. Namun, ada kalanya santan beku menjadi berketul-ketul halus selepas dicairkan sehingga membuatkan tekstur dan rupa masakan kurang menarik.
Baca juga: Rupa Hampir Sama, Tapi Ini Beza Serai Paha Ayam & Serai Gajah… Berbeza-Beza Ikut Masakan!
SANTAN BEKU BERKETUL BILA MASAK? GUNA 7 PETUA INI

Situasi tersebut turut menjadi perhatian pengguna Facebook selepas seorang individu meminta pandangan mengenai cara untuk memastikan santan beku kembali elok sebelum digunakan.
Hantaran berkenaan menerima pelbagai cadangan daripada pengguna lain yang berkongsi petua berdasarkan pengalaman masing-masing.
Antara kaedah yang dicadangkan adalah seperti berikut:
1. Cairkan santan terlebih dahulu
Santan yang baru dikeluarkan dari freezer boleh dibiarkan cair terlebih dahulu sebelum digunakan.
Ada yang mencadangkan supaya santan dipindahkan ke bahagian bawah peti sejuk dan dibiarkan semalaman agar proses nyahbeku berlaku secara perlahan.
Selepas santan cair, ia boleh dikacau atau dikisar semula sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
2. Kisar dengan air panas
Menurut seorang pengguna, santan beku boleh dikisar menggunakan sedikit air panas.
Kaedah tersebut dikatakan membantu memecahkan ketulan santan dan menjadikannya kembali lebih halus seperti santan yang baru diperah.
3. Rendam dalam air sebelum digunakan
Santan juga boleh diletakkan di dalam mangkuk berisi air panas selama kira-kira 10 minit sebelum digunakan.
Selepas santan mula mencair, ia boleh dikacau sehingga sebati sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
4. Kukus santan sehingga cair
Ada juga yang berkongsi kaedah menggunakan wap untuk mencairkan santan. Santan dimasukkan ke dalam bekas dan dikukus sehingga teksturnya kembali cair sebelum digunakan dalam masakan.

5. Bekukan kelapa parut berbanding santan
Selain menyimpan santan siap diperah, seorang pengguna mencadangkan supaya kelapa parut yang telah dikisar disimpan di dalam freezer.
Apabila mahu digunakan, kelapa parut tersebut boleh dikeluarkan, dicampurkan dengan air panas dan dikisar semula. Kaedah ini dikatakan dapat membantu mengekalkan rasa serta menghasilkan santan yang lebih hampir dengan santan segar.
6. Gunakan api kecil ketika memasak
Selain cara mencairkan santan, kawalan api ketika memasak juga penting. Seorang pengguna berkongsi pengalaman bahawa santan yang tidak dicampur air perlu dimasak menggunakan api kecil terlebih dahulu sehingga benar-benar sebati dan cair.
Selepas itu, barulah api boleh dinaikkan sedikit mengikut keperluan masakan.
7. Masukkan daun pisang dalam masakan
Salah seorang pengguna turut berkongsi petua yang diamalkan oleh arwah ibunya untuk mengelakkan santan menjadi berketul ketika dimasak.
Menurutnya, daun pisang yang telah dicuci bersih boleh dimasukkan ke dalam masakan dan dikacau perlahan-lahan menggunakan api kecil. Petua tradisional itu dikongsikan berdasarkan pengalaman peribadi pengguna berkenaan.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Jangan Buang Nasi Lebih, Wanita Kongsi Cara Buat Keropok Lekor Homemade Guna Bahan Ini Saja
Sumber: Facebook Noraini Hassan
