Kanser leukemia kembali menjadi perhatian selepas perkongsian Mr Wan Chai Official mengenai pemergian seorang wanita yang sebelum ini kehilangan bayi yang baru dilahirkan.
Kisah tersebut mengundang simpati ramai, apatah lagi apabila ujian kesihatan yang dilalui arwah turut dikaitkan dengan kanser leukemia. Perkongsian itu membuatkan ramai tertanya-tanya tentang penyakit ini serta tanda-tanda yang mungkin berlaku tanpa disedari.
Baca juga: Jadual Waktu SPM 2026 Versi Lengkap, Ini Tarikh Ujian Amali, Mendengar & Peperiksaan Bertulis
HIDAP KANSER LEUKEMIA, ISTERI & BAYI MENINGGAL DUNIA

Lebih memilukan, Allahyarhamah pergi menghadap Ilahi ketika masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak. Menurut perkongsian tersebut, keluarga berkenaan sebelum ini telah kehilangan cahaya mata yang baru berusia 19 hari.
Belum sempat kesedihan akibat kehilangan anak reda, sang suami sekali lagi diuji apabila isteri tercinta pula meninggal dunia. Perkongsian itu turut memaklumkan bahawa kematian Allahyarhamah dikaitkan dengan kanser leukemia.
Pemergian ibu muda berusia 28 tahun itu pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, terutama suaminya yang terpaksa menerima hakikat kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh yang singkat.
Kisah berkenaan turut mengundang simpati warganet yang menitipkan ucapan takziah serta doa buat keluarga Allahyarhamah.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Al-Fatihah. Salam takziah buat suami arwah. Kehilangan orang-orang yang tersayang dalam hidupnya. Semoga syurga buat arwah isteri dan anaknya. Terima kasih buat team UKVJ,” komen warganet.

Rata-rata mereka mendoakan agar Allahyarhamah Siti Nur Ummairah dan anaknya ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta diberikan syurga.
Dalam masa sama, doa turut dipanjatkan agar suami dan seluruh keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan untuk melalui ujian kehilangan tersebut.
Semoga roh Allahyarhamah Siti Nur Ummairah dan cahaya mata yang pergi terlebih dahulu dicucuri rahmat serta ditempatkan di tempat terbaik di sisi Allah SWT.
Baca juga: Tular Video Pakcik Tua Ditolak Sampai Jatuh Sebab Usap Kepala Budak, Polis Siasat Lelaki 40 Tahun
Sumber: Facebook Mr Wan Cai Official
