Asuh

Cara Membuat Playdoh Sendiri Di Rumah. Mudah, Murah Dan Selamat

11.8K
reads

“Mana pergi playdoh yang papa belikan kamu hari tu? Dah rosak ke? Kalau sekali dua, boleh lagi papa belikan. Kalau berpuluh kali rosak, tak berbaloi rasa. Apa kata papa cari cara buat playdoh sendiri. Mesti seronok kalau kita dapat buat playdoh sama-sama!”

Anak-anak sememangnya gemar bermain tanah liat yang kini popular dengan nama ‘playdoh’ atau ‘playdough’, bukan? Mereka akan leka bermain dan mungkin boleh menghadapnya dalam tempoh yang lama dek kerana asyik bermain.

Terdapat banyak kebaikan bermain playdoh ini buat anak-anak. Walau bagaimanapun, memikirkan harga playdoh yang dijual di pasaran, kita pasti akan berasa kecewa sekiranya playdoh tersebut dibeli dan kemudiannya ia hilang atau rosak. Sebagai alternatif, ini cara buat playdoh di rumah dan anak-anak masih boleh mendapat manfaat dalam keseronokan bermain playdoh ini.

cara buat playdoh

Foto Kredit : guiadasemana.com.br

Manfaat Bermain Playdoh

Bermain playdoh bukan sahaja dapat memperluas lagi daya kreativiti anak, malah membantu anak untuk menambah kosa kata seerta meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Selain itu, ianya juga dapat meningkatkan lagi kemahiran motor halus anak (fine motor skills) kerana ianya melibatkan aktiviti menekan, menarik, menguli, menggelek playdoh dan pelbagai lagi aktiviti lain bagi menghasilkan bentuk-bentuk yang diingini semasa bermain playdoh ini.

cara buat playdoh

Foto Kredit : arteterapia.club

Cara Membuat Playdoh Sendiri Di Rumah

Berikut merupakan cara membuat playdoh sepertimana yang dikongsikan oleh Lin Chalo melalui laman Facebook peribadinya dan blog beliau.

Lebih seronok jika aktiviti ini dapat dilakukan bersama anak-anak kerana ianya dapat membuatkan mereka lebih menghargai hasil tangan mereka serta lebih cermat ketika bermain playdoh.

Yang penting, ianya mudah, murah dan selamat untuk anak kecil!

Bahan-bahan

Berikut merupakan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat homemade playdoh ini. Sukatan di bawah adalah untuk 1 bahagian playdoh dengan 1 warna.

  • ¼ cawan garam
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan air suam
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 2 sudu besar krim tartar
  • 2 sudu kecil pewarna makanan

2

Kos keseluruhan untuk membuat homemade playdoh ini hanyalah lebih kurang RM20 sahaja. Murah, bukan?

Bahan-bahan yang digunakan pula terdiri daripada sumber makanan dan masih selamat untuk anak-anak sekiranya secara tidak sengaja termasuk ke dalam mulut.

Dengan bahan-bahan seperti di atas, ianya akan menghasilkan satu bahagian warna seperti gambar di bawah.

7

Nota :

  • Garam bertindak sebagai bahan pengawet untuk mengelakkan playdough ini daripada berkulat.
  • Krim tartar bertindak untuk ‘mengikat’ playdoh ini agar sentiasa lembut, kekal elastik dan tidak mudah lerai. Ianya merupakan sejenis serbuk yang boleh didapati di kedai bakeri atau bahagian membuat kek di pasar raya.
  • Pilih pewarna makanan yang terang bagi merangsang mata anak-anak.
  • Playdoh yang dimasak akan tahan lebih lama, lebih lembut serta tidak mudah kering berbanding playdoh yang tidak dimasak.

Cara Membuat Playdoh: Langkah Demi Langkah

1. Gaulkan Bahan

Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan gaul sehingga sebati. Adalah lebih baik sekiranya kita menggunakan periuk ‘non-stick’ supaya bahan-bahan ini tidak melekat dan memudahkan kita untuk memasak doh yang seterusnya kelak.

3

2. Tambah Pewarna

Bancuh pewarna makanan dengan air suam. Kemudian, masukkan bancuhan tersebut ke dalam periuk.

4

3. Masak Atas Api Sederhana

Gaul adunan kesemua bahan ini sehingga sebati dan kemudian, masak di atas api sederhana. Kacau sehingga masak.

cara membuat playdoh

4. Sejukkan & Uli

Apabila adunan bahan tadi telah masak, keluarkannya dan letak di atas papan pemotong. Apabila ianya telah sejuk sedikit, uli sehingga tekstur bahan tersebut nampak ‘smooth’.

Maka terhasillah homemade playdoh ini untuk dimain oleh anak-anak tercinta. Mudah sahaja caranya!

Ulang langkah 1 hingga 4 untuk menghasilkan playdoh dengan warna-warna lain pula.

cara membuat playdoh

5. Cara Menyimpan

Bagi mengekalkan tekstur homemade playdoh ini setiap kali bermain, ianya hendaklah disimpan dalam plastik ‘ziplock’ dan seterusnya dimasukkan ke dalam peti ais di bahagian ‘chiller’ sebaik sahaja selesai bermain.

Dengan cara ini, playdoh yang dibuat akan kekal lembut, tidak berkulat dan dapat bertahan sehingga 3 bulan lamanya.

cara membuat playdoh

Belajar Sambil Bermain

Biarkan anak menikmati zaman kanak-kanak mereka dengan bermain pelbagai jenis permainan termasuklah bermain homemade playdoh ini. Percaya atau tidak, anak-anak sebenarnya sedang belajar daripada aktiviti bermain tersebut.

Sekali-sekala, luangkan masa kita sebagai ibu bapa untuk bermain homemade playdoh ini bersama anak-anak. Ianya bukan sahaja membuatkan mereka berasa lebih gembira dapat bermain bersama-sama kita, malah sedikit sebanyak ia juga dapat mengurangkan tekanan yang kita hadapi dengan bergelak ketawa sambil bermain bersama mereka.

Cara membuat playdoh ini taklah sesukar mana, bukan? Selamat mencuba!

 

*Sumber asal cara membuat playdoh yang dikongsikan oleh Lin Chalo melalui laman Facebook peribadinya serta blog SweetBonda.my ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Yang Popular

To Top