Dapur

5 Tips Masak Nasi Menggunakan Beras Basmathi, Agar Lembut & Peroi

21.4K
SHARES

Kita mungkin tak selalu menggunakan beras jenis basmathi kerana beras ini biasanya hanya digunakan untuk membuat menu istimewa seperti Nasi Minyak atau Nasi Arab. Beras ini lebih panjang, padat, dan sedap. Harganya pun tentulah lebih mahal.

Apabila menggunakan beras basmathi, cara memasaknya tidak sama dengan memasak beras biasa. Ramai yang mengeluh kerana hasil percubaan kali pertama menggunakan beras basmathi ‘kurang’ menjadi.

Jadi, bagaimana nak mendapatkan tekstur nasi yang lembut, berderai cantik, dan tidak berketul apabila menggunakan beras basmathi?

Ini perkongsian daripada Puan Zulfa, rakan blogger kami yang amat berpengalaman dalam bidang masakan. Jom ikuti selanjutnya daripada beliau.

tips masak beras basmathi

Perbezaan beras biasa dengan beras basmathi / Foto Kredit: en.wikipedia.org

Antara contoh beras basmathi yang terdapat di pasaran:

cara masak beras basmathi

Foto Kredit: isaactan.net

5 Tips Masak Nasi Menggunakan Beras Basmathi, Baru Lembut & Peroi

Saya belajar masak guna basmathi ni pun dari pengalaman memasaknya beratus-ratus kali. Sekali masak berkilo-kilo, dan biasanya saya masak atas dapur sebab tak ada periuk eletrik yang cukup besar utk masak nasi ini.

Untuk pelbagai menu nasi berperisa yang saya masak, saya suka menggunakan beras basmathi jenis Pusa 1121.

Mengikut pengalaman, beras ni tahan lasak, tak mudah patah apabila dikacau, dan harganya pun berpatutan. Tapi guna jenis lain pun boleh, asalkan anda mengamalkan tips masak beras basmathi yang saya kongsikan di bawah ini.

Tips Masak Beras Basmathi: Langkah Demi Langkah

1. Menyediakan beras

Kalau nak nasi yang cantik dan memanjang pada kadar yang maksimum, beras basmathi ini memang kena rendam dulu. Kalau tak rendam nanti hasilnya nasi tak cukup lembut dan keras bila dah sejuk serta tak sepanjang yang dilihat didalam iklan produk.

  • Basuh beras hingga bersih.
  • Rendam beras dengan air yang diletakkan garam selama 20 – 30 minit. (Merendam beras dengan garam ikut sumber dari timur tengah menghasilkan nasi yang lembut dan berderai). Selepas 20 – 30 minit, toskan airnya hingga kering.

cara masak beras basmathi

2. Sukatan beras : air

Tips masak beras basmathi yang elok, ianya perlu disukat betul-betul mengikut nisbah beras kepada air/cecair yang digunakan. Tak boleh main agak-agak.

Kalau terkurang air, nasi akan jadi keras terutamanya setelah sejuk dan kalau terlebih nasi akan jadi lembik dan melekat (tidak berderai).

Saya menggunakan nisbah 1 cawan beras : 1 1/4 cawan air atau campuran air dengan cecair lain seperti susu, santan.

Nisbah ini saya gunakan untuk masak beras jenis Pusa, Kashmir dan Moghul.

Kalau nak lebihkan airnya pun pastikan nisbahnya tak lebih daripada nisbah ini, iaitu 1 cawan beras : 1 1/2 cawan air.

cara masak beras basmathi

Foto Kredit: bigapplecurry.com

3. Pilih kaedah memasak

Kebiasaannya ada beberapa cara memasak nasi.

  • Kaedah menumis dahulu beras – Pastikan cecair yang dimasukkan berada pada suhu didih atau cukup panas untuk mengelakkan beras terendam lama dan menjadi  lembik dan mudah patah.
  • Kaedah didih air ikut sukatan – Pastikan air/cecair dididihkan terlebih dahulu mengikut sukatan. Setelah mendidih, tuangkan beras yang telah direndam dan ditos.
  • Kaedah didih air tanpa sukatan – Air dididihkan dalam kuantiti yang banyak (tanpa sukatan tertentu) dan rebus beras yang telah direndam hingga separuh atau 3/4 masak. Tos jangan terlalu kering atau tos kering dan renjiskan dengan susu atau santan (ikut keperluan resepi) masakkan kembali hingga nasi masak sepenuhnya. Sedikit cecair yang digunakan akan menghasilkan wap, yang akan membantu nasi masak sempurna selain mengelakkan nasi hangus dalam proses seterusnya.
tips masak beras basmathi

Foto Kredit: leaf.tv

4. Semasa memasak

Walau apa pun kaedah yang anda pilih di atas, ini tips masak beras basmathi yang perlu dititikberatkan.

Antaranya:

  • Pastikan mengacau beras yang sedang dimasak hanya apabila cecairnya masih banyak. Apabila cecairnya telah mengering, elakkan mengacau kerana beras akan mudah patah.
  • Sekiranya memasak menggunakan api dapur, pastikan api dapur dikecilkan setelah cecair kering dan periuk ditutup rapat untuk mengelakkan wap keluar.
  • Biarkan nasi yang telah masak selama 5 – 10 minit sebelum membuka tudung periuk dan mengareh/mengacau nasi.
  • Karih ketika nasi masih panas, sekiranya telah sejuk, nasi akan mula bergumpal dan melekat. Tekstur nasi akan menjadi cantik dan berderai sebutir-sebutir dengan elok.
  • Karih nasi dari tepi periuk dan angkat ke tengah, lakukan dengan perlahan-lahan. Ini kerana, kalau kita buat kelam-kabut, nasi yang lembut akan mudah patah. Kalau ada sudip macam garpu besar lebih elok digunakan.
tips masak beras basmathi

Foto Kredit: myhalalkitchen.com

5. Panduan tambahan

  • Menggunakan pewarna – Jika menggunakan pewarna, titiskan pewarna apabila nasi dah mengering, dan biarkan jangan kacau lagi hingga nasi telah masak sepenuhnya. Kalau nak guna dua tiga pewarna berbeza pastikan jarakkan antara satu warna dengan yang lain.
  • Minyak – minyak tak termasuk dalam jumlah cecair yang digunakan untuk masak nasi.
  • Elak nasi patah – Jangan terlalu kacau masa masak guna basmathi ni terutama bila cecairnya dah kering. Nanti habis patah riuk beras tu.
  • Bekas penyukat – Gunakan penyukat yang sama untuk menyukat beras dan air/cecair.
  • Tanpa rice cooker – Kalau masak atas dapur, gunakan api yang besar masa airnya tengah banyak. Ini dapat memastikan nasinya tidak lembik atau terlebih kembang. Apabila air dah kering, barulah kecilkan apinya.

Foto Kredit: Blog Puan Zulfa

Selamat Mencuba!

Dengan sedikit praktis, anda pasti dapat menghasilkan nasi yang lembut serta tekstur yang cantik dengan menggunakan beras basmathi.

Semoga perkongsian ini dapat memberi anda keyakinan untuk memasak hidangan istimewa buat seisi keluarga.

Jadi, apa lagi. Jom kita cuba lakukan tips masak beras basmathi ini.

 

*Artikel asal ditulis oleh Puan Zulfa melalui blog Zulfa Dream Land dan diterbitkan semula atas kebenaran beliau. Pautan:  http://zulfadreamland.blogspot.my/2016/08/tips-memasak-nasi-menggunakan-beras.html

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×