Dapur

Nak Belajar Makan Sihat Tapi Risau Tak Kena Dengan Tekak? Cuba 5 Resipi Sayur Ini, Pasti Jatuh Cinta!

6.8K
SHARES
resipi sayur

Seperti umum tahu, sayur mempunyai banyak khasiat dan kebaikan untuk badan. Namun, masih ada yang tidak lalu makan sayur kerana risau rasanya yang pahit. Sebenarnya, ada banyak resipi sayur yang boleh anda cuba.

Bukan sahaja bagus untuk badan, namun juga rasanya yang lazat dapat memikat hati sesiapa sahaja. Silap hari bulan, boleh bertambah nasi hanya disebabkan masakan sayur yang enak. Jom 5 cuba resipi sayur, melalui perkongsian penulis ini, boleh anda praktikkan di rumah!

Baca juga: Teknik Memasak Boleh Pengaruhi Khasiat Sayur, Ini Cara Betul

5 RESIPI SAYUR, PASTI AKAN BERTAMBAH PINGGAN NASI

1. BENDI GORENG PECAH TELUR

resipi sayur

Bahan-bahan:

  • Kacang bendi
  • Telur (sebiji) 
  • Ikan bilis (digoreng)
  • Bawang besar (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Lada merah (dihiris)
  • Garam
  • Ajinamoto (ikut citarasa sendiri)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dihiris semua hingga layu.
  2. Masukkan garam dan ajinamoto. Kemudian, masukkan kacang bendi dan ikan bilis.
  3. Kacau sebentar dan akhir sekali, pecahkan telur dan kacau hingga telur masak.
  4. Bendi goreng pecah telur sedia untuk dihidang.

2. TERUNG GORENG BERLADA

resipi sayur

Bahan-bahan:

  • 2 batang terung (potong kecil dan digoreng)
  • 2 sudu besar lada kisar
  • 3 batang lada hidup (ditumbuk)
  • 3 biji bawang merah kecil (ditumbuk)
  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 1 kiub pati ikan bilis
  • Gula

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak, tumis lada kisar dan bahan-bahan yang ditumbuk semua hingga garing naik bau.
  2. Kemudian, masukkan kiub ikan bilis. Tumis sekali dengan bahan-bahan tumbuk hingga larut.
  3. Masukkan sedikit air dan perasakan dengan gula.
  4. Akhirnya, masukkan terung dan kacau sekejap.
  5. Terung goreng berlada sedia untuk dihidang.

3. KANGKUNG GORENG BELACAN

resipi sayur

Bahan-bahan:

  • Kangkung
  • Belacan (ditumbuk)
  • Lada merah (ditumbuk)
  • Bawang besar (ditumbuk)
  • Bawang putih (ditumbuk)
  • Garam
  • Ajinamoto (ikut citarasa sendiri)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk semua hingga garing naik bau.
  2. Masukkan garam dan ajinamoto. Kemudian, tambah air sedikit untuk bagi berkuah.
  3. Akhir sekali, masukkan kangkung kemudian kacau sekejap.
  4. Kangkung goreng belacan sedia untuk dihidang!

4. KACANG PANJANG TUMIS BERCILI

resipi sayur

Bahan-bahan:

  • Kacang panjang
  • 2 batang lada merah (ditumbuk)
  • 3 biji bawang merah kecil (ditumbuk)
  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • Sedikit ikan bilis (ditumbuk)
  • Garam
  • Ajinamoto (ikut citarasa sendiri)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk semua hingga garing naik bau.
  2. Masukkan garam dan ajinamoto. Kemudian, masukkan air sedikit.
  3. Seterusnya, masukkan kacang panjang dan kacau sebentar.
  4. Kacang panjang tumis bercili sedia untuk dihidang!

5. SAWI + KAILAN GORENG DENGAN SUHUN

resipi sahur

Bahan-bahan:

  • Sawi
  • Kailan
  • Suhun (direndam dengan air dan toskan)
  • Ikan bilis (digoreng)
  • Lada merah (dihiris)
  • Bawang besar (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Sedikit garam

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan yang dihiris semua hingga layu.
  2. Kemudian, masukkan sos tiram, garam dan suhun.
  3. Seterusnya, masukkan sawi dan kailan. Kacau sebentar dan tutup api apabila siap.
  4. Taburkan ikan bilis goreng atas sayur semasa hidang.
  5. Sawi + kailan goreng dengan suhun sedia untuk dihidang!

Nampak lazat kan semua hidangan? Pasti rambang mata mana satu yang patut anda cuba dahulu. Inilah istimewanya hidangan sayur, lauk yang berkhasiat namun masih boleh divariasikan. Cubalah! Pasti anda akan menjadi penggemar sayur selepas ini.

Sumber: Resepi Viral 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×