KHASIAT PERIA / PERIA KATAK
Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia cukup terkenal dengan rasanya yang begitu pahit namun kaya dengan khasiat.
Ia juga dikenali sebagai ‘bitter gourd’ atau ‘bitter melon’ kerana rasanya yang semakin pahit apabila semakin ranum. Sayur peria juga sering digunakan dalam masakan Melayu.
Antara spesis yang terkenal di Malaysia ialah peria katak, di mana saiznya lebih kecil dan comel.
Ramai antara kita yang pernah dengar petua mengamalkan jus peria kerana dikatakan dapat mengawal paras gula dalam darah. Sejauh manakah kebaikan peria untuk kesihatan ?
Jom kita kenali manfaat peria dengan lebih dekat!
7 Khasiat Peria / Peria Katak Untuk Kesihatan
1. Kaya Dengan Vitamin C
Walaupun rasanya pahit, namun ia padat dengan kebaikan vitamin C.
94 gram peria mampu membekalkan sehingga 94% jumlah vitamin C yang diperlukan dalam sehari.
Diet tinggi vitamin C adalah penting bagi badan untuk melawan penyakit dengan menghapus pembentukan radikal bebas serta membantu untuk menyembuhkan luka dengan cepat.
2. Dapat Mengawal Paras Gula Dalam Darah
Kita sering mendengar petua amalan peria untuk mengawal paras gula dalam darah.
Kajian yang telah dijalankan juga mendapati pengambilan peria dalam jangka masa panjang dapat menstabilkan paras gula dengan baik.
Para pengkaji berpendapat peria dapat membantu badan mengawal paras gula dengan menggalakkan penghasilan insulin.
Namun, seeloknya jus ini haruslah dibuat sendiri berbanding produk-produk jus peria di pasaran kerana dikhuatiri ia mengandungi gula tambahan atau bahan-bahan lain semasa proses pembuatannya.
3. Dapat Menurunkan Kadar Kolesterol Dalam Badan
Kadar kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan pembentukan plak pada arteri. Jika tidak dicegah, ia boleh mengakibatkan penyakit seperti strok dan sakit jantung.
Hasil kajian yang dijalankan ke atas tikus mendapati ekstrak peria dapat mengurangkan paras kolesterol dan triglicerid dengan berkesan.
Walaupun kajian terperinci perlu dijalankan, ia menunjukkan potensi tinggi penggunaan peria bagi menurunkan paras kolesterol dalam darah.
4. Membantu dalam Menurunkan Berat Badan
Dengan kadar kalori yang cukup rendah dan kandungan serat yang tinggi, peria didapati sangat sesuai untuk diamalkan bagi yang ingin menurunkan berat badan.
Khasiat seratnya pula membantu dalam mengurangkan selera makan serta membuat seseorang rasa lebih kenyang.
Beberapa kajian juga mendapati peria dapat membantu dalam membakar lemak dan mengurangkan berat badan secara berkesan.
5. Melancarkan Sistem Penghadaman
Pengambilan peria secara konsisten dalam diet dapat memberikan kesan positif pada sistem penghadaman.
Ia juga baik untuk diamalkan bagi mencegah masalah ketidakhadaman seperti sembelit atau sakit perut, serta penyakit usus atau ‘Irritable Bowel Disease’ (IBS).
Di samping itu, khasiat antioksida yang terdapat dalam peria membantu melancarkan lagi penghadaman dengan meningkatkan penghasilan enzim pencernaan.
6. Baik Untuk Kesihatan Mata Dan Kulit
Selain vitamin C, peria juga diperkaya dengan vitamin A.
94 gram sayur peria dapat membekalkan sehingga 44% jumlah vitamin A yang diperlukan dalam sehari.
Vitamin A adalah penting dalam penghasilan sel kulit baru serta melindungi kesihatan mata.
7. Mengurangkan Simptom Asma
Penyakit asma menyerang apabila laluan pernafasan menjadi sempit dan mengakibatkan kesukaran bernafas.
Oleh sebab itu, penghidap asma sering bergantung pada inhaler bagi memudahkan untuk bernafas.
Kajian mendapati peria mempunyai komponen aktif yang berfungsi untuk menenangkan otot pada ruang laluan udara bagi mengurangkan sistem asma.
Baca juga: Patutlah Selalu Batuk & Selsema, Rupanya Tompok Hitam Di Dinding Rumah Ini Puncanya!
Walaupun Banyak Khasiat Peria, Kena Juga Berhati-hati dengan Kesan Sampingannya
Di sebalik kebaikan peria untuk kesihatan, ia TIDAK BOLEH diambil dengan kuantiti banyak kerana boleh menyebabkan penyakit seperti sakit perut ringan, cirit-birit dan muntah.
Pesakit diabetes pula perlu berbincang terlebih dahulu dengan doktor sebelum mengamalkan peria dalam diet.
Ini bagi mengelakkan risiko hipoglycemia atau paras gula terlalu rendah jika peria dimakan bersama dengan ubat kencing manis.
Peria juga tidak digalakkan dalam diet ibu mengandung.
Kredit Foto : klikdokter.com
Memang tidak dinafikan sayur peria mengandungi banyak khasiat.
Ia juga berupaya untuk membantu menurunkan paras gula dan paras kolesterol dalam darah. Ia juga baik untuk sistem penghadaman di samping membantu dalam menurunkan berat badan secara berkesan.
Namun, peria katak perlulah dimakan dalam kuantiti yang sederhana bagi mengelakkan masalah seperti sakit perut atau muntah.
Khususnya bagi penghidap diabetes dan ibu mengandung, golongan ini perlu mendapat nasihat daripada doktor dahulu sebelum mula mengamalkan peria.
Sumber :
- 8 Manfaat Peria Katak Kena Tahu, Tapi Betul Ke Salah Satunya Boleh Ubati Diabetes?
https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/peria-katak-untuk-pesakit-diabetes/ - Bitter Gourd: Nutritional Facts, Benefits, and Recipes
- 6 Benefits of Bitter Melon (Bitter Gourd) and Its Extract: https://www.healthline.com/nutrition/bitter-melon