Famili

9 Sebab Mama Kerap Sakit Perut Masa Mengandung. Memang Normal, Tapi Ada Juga Bahaya

1.3K
SHARES

“Aduh, tiba-tiba rasa tak selesalah perut aku ni. Salah makan ke? Risau pulak… Baby kat dalam ni ok tak?”

Mengandung dan melahirkan anak bukanlah kerja mudah. Boleh dikatakan lumrahlah bagi ibu-ibu mengandung untuk mengalami macam-macam sakit di seluruh badan. Antara yang paling kerap dialami adalah sakit perut ketika hamil.

Ramai ibu mungkin panik dan risaukan keadaan bayi dalam kandungan apabila sedang berasa sakit pada perut. Tapi kemungkinan besar puncanya adalah disebabkan daripada proses perubahan tubuh yang berlaku seiring dengan tumbesaran bayi dalam kandungan.

Ketika rahim semakin membesar, dah tentu ruang semakin padat dan tekanan pada otot, sendi, dan pembuluh darah akan meningkat. Sedikit sebanyak, inilah punca utama kenapa ibu-ibu cenderung berasa kurang selesa pada bahagian di sekitar perut. Ia adalah normal dan bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan serta tidak membahayakan kandungan.

Walaubagaimanapun, ada juga beberapa punca sakit perut ketika hamil yang boleh membahayakan dan perlu perhatian serius.

Mari kita lihat beberapa punca sakit perut ketika hamil yang boleh ibu kenalpasti.

9 Jenis Sakit Perut Yang Kerap Dialami Masa Mengandung,’Alert’ Tanda Bahaya

1. Perut Bergas

Perut bergas mungkin boleh disebabkan oleh meningkatnya kadar hormon progesteron, yang dapat menyebabkan otot-otot saluran pencernaan ibu bekerja lebih lambat. Ini menyebabkan waktu yang dihabiskan makanan dalam usus besar lebih lama lalu menjadi punca perut bergas.

Selain itu, rahim yang semakin membesar juga dapat menempatkan tekanan tambahan pada organ yang membuatkan sistem pencernaan berjalan lebih lambat juga.

sakit punggung ketika hamil

Foto Kredit

2. Sembelit

Masalah sembelit ini berkait rapat dengan masalah gas yang menyebabkan punca saluran pencernaan yang kurnag efisyen, seperti diterangkan di atas.

Sekiranya ibu kurang minum air, kurang makan sayuran dan buah atau makanan berserat, kurang aktif bergerak, sembelit boleh bertambah buruk berbanding biasa.

Sembelit bukan saja berpunca daripada diet, tetapi ia juga mungkin merupakan kesan sampingan daripada pil zat besi atau pil tambah darah yang dimakan oleh ibu secara rutin. Namun, jangan pula berhenti mengambil pil tersebut kerana ia adalah penting untuk diambil oleh ibu. Sebaliknya, berbincanglah dengan doktor untuk mencuba jenis pil yang lain.

kaki kejang ketika hamil

Foto Kredit: 123rf.com

3. Kontraksi Braxton-Hicks

Kontraksi Braxton Hicks atau kontraksi palsu ini biasa berlaku, terutamanya menjelang minggu-minggu akhir kelahiran. Ia terasa seperti penegangan pada otot perut sehingga perut mengeras buat beberapa ketika.

Tapi, jangan pula panik kerana kontraksi sebenar apabila hampir saat bersalin adalah tidak sama dengan kontraksi ini. Kontraksi sebenar akan terasa lebih kuat, lebih menyakitkan, lebih lama dan mempunyai ritma yang tetap.

Anda boleh cuba untuk minum lebih banyak air untuk membantu menenangkan dan memberi kelegaan daripada ketidakselesaan yang dialami.

tanda pecah air ketuban

4. Round Ligament Pain

Ketika rahim semakin membesar dan meregang menjelang trimester kedua, ligamen yang berfungsi menopang rahim akan turut sama meregang. Ibu mungkin perasan dan merasai round ligament pain ini ketika mengubah posisi, bersin, atau batuk.

Ia seolah-olah rasa sakit yang sedikit tajam pada bahagian perut, pelvis, atau pangkal paha. Bagi mengelakkan rasa sakit ini daripada kerap berulang, ibu-ibu disarankan agar menjaga postur badan yang baik.

Anda boleh juga memakai pregnancy belt untuk memberi sokongan tambahan sekiranya perlu.

sakit perut ketika hamil

Contoh maternity support belt atau pregnancy belt

5. Kehamilan Luar Rahim / Ektopik

Salah satu tanda sakit perut yang bahaya adalah kehamilan ektopik, iaitu kehamilan yang berkembang di luar rahim.

Ia akan menyebabkan rasa sakit perut di samping pendarahan yang berat sekitar minggu ke 6-10 kehamilan.

Segeralah berjumpa doktor kerana kehamilan luar rahim perlu dirujuk kepada pakar dengan cepat.

Mengandung Luar Rahim

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

6. Kencing Kotor / Urinary Tract Infection

Masalah kencing kotor atau UTI (urinary tract infection) sebenarnya kerap terjadi pada ibu hamil kerana faktor perubahan hormon.

Jika anda berasa seperti asyik mahu terkencing atau pedih semasa membuang air kecil diikuti dengan rasa nyeri pada bahagian perut, anda mungkin mengalami masalah ini.

Walaupun kencing kotor biasanya boleh diatasi dengan antibiotik atau rawatan di rumah, namun ia boleh menjadi teruk sekiranya anda tidak segera mengambil tindakan.

Foto Kredit: hellodoktor.com

7. Preeklampsia

Preeklampsia boleh dikenalpasti dengan rasa sakit perut pada bahagian atas (di bawah tulang rusuk di sisi kanan). Ia berkait rapat dengan masalah tekanan darah tinggi dan biasanya terjadi setelah usia kehamilan mencecah 20 minggu.

Menurut BabyCenter, tanda-tanda lain preeklampsia termasuklah

  • bengkak teruk pada muka, tangan dan kaki yang berlaku secara tiba-tiba;
  • sakit kepala yang teruk;
  • masalah penglihatan seperti pandangan kabur atau cahaya bersinar di hadapan mata anda;
  • kesakitan teruk di bahagian bawah rusuk;
  • rasa tidak sihat secara keseluruhannya.
minum air gula semasa hamil

Foto Kredit: expertbeacon.com

8. Apendiks

Apendiks adalah satu lagi punca sakit perut ketika hamil yang boleh menyebabkan rasa sakit, terutamanya pada bahagian bawah pusat sebelah kanan perut.

Wanita mengandung yang menghidap penyakit apendik seringkali lambat dikesan dan biasanya apabila dapat dikesan ia sudah berada di tahap yang boleh dikatakan agak komplikasi. Ini kerana, pembesaran uterus sekali gus mengalih kedudukan apendik dari tempat asalnya. Bergantung kepada keadaan apendik tersebut, ia mungkin akan memerlukan pembedahan kecil.

Oleh itu, sekiranya anda pernah mengalami apendiks sebelum kehamilan, seeloknya beritahulah doktor agar mereka sedia maklum dengan masalah tersebut.

Foto Kredit: jugglingmom.com

9. Keguguran

Keguguran tentunya adalah perkara yang paling ditakuti oleh ibu mengandung. Antara tanda keguguran selain sakit perut termasuklah rasa nyeri pada punggung, serta pendarahan.

Namun, pendarahan atau spotting ketika hamil ini juga boleh berlaku atas beberapa faktor lain.

Ingat, sebarang bentuk pendarahan yang berlaku ketika hamil perlu dimaklumkan pada doktor secepatnya. Jururawat mesti dah pesan kan?

tanda habis haid darah

Foto Kredit: lexicolatry.com

Patuhi Temujanji, Jaga Kesihatan

Banyak punca sakit perut ketika hamil yang boleh berlaku sepanjang tempoh 9 bulan tersebut. Ibu-ibu patut mematuhi semua temujanji setiap bulan seperti yang ditetapkan oleh doktor bagi memastikan kehamilan berjalan lancar. Sekiranya berlaku sakit perut atau sebarang kesakitan, ibu boleh nyatakan kebimbangan pada doktor ketika perjumpaan ini.

Selain itu, jaga kesihatan, elak stres dan amalkan gaya hidup sihat ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×