“Tak laratnya nak uruskan rumah masa mengandung ni. Dengan anak kecik lagi. Serabut sangat… Rasa nak marah je.”
Kita tentu sedia maklum bahawa wanita mengandung sedang mengalami pelbagai perubahan dalam tubuhnya, baik dari segi emosi mahupun fizikal. Ibu hamil kini menjadi kurang berselera makan, mood yang turun naik, sakit belakang, tak lena tidur malam, dan banyak lagi perubahan yang menyebabkannya cepat letih dan stres.
Stres Dapat Memberi Kesan Kepada Kandungan Seawal 17 Minggu
Bagi suami, mungkin ada yang menganggap keletihan atau stres sebagai perkara biasa saja. Namun, anda perlu tahu bahawa ia boleh membahayakan isteri anda serta kandungan, dan hal ini tak seharusnya dipandang remeh.
Menurut sebuah kajian dalam jurnal Clinical Endocrinology yang dilaporkan oleh The Guardian, stres yang dialami oleh ibu hamil mampu memberi efek negatif kepada otak dan perkembangan janin sejak kandungan berusia 17 minggu lagi!
Berikut adalah antara kesan stres pada ibu mengandung serta bayi yang dikandungkan.
5 Kesan Stres Kepada Ibu Dan Bayi Dalam Kandungan
1. Mudah Jatuh Sakit
Penangan stres bertindak menurunkan imuniti sekaligus menjadikan seseorang mudah diserang penyakit. Hal ini bukan hanya berlaku pada ibu mengandung, tetapi perkara yang sama akan turut berlaku pada seseorang yang stres secara umumnya.
Tapi bayangkanlah ketika mengandung saja dah macam-macam simptom yang isteri anda lalui seperti sakit badan, sakit kepala, loya, mual dan sebagainya. Mereka bukannya saja nak bermanja dan jauh sekali mengada-ngada. Kalau ditambah lagi dengan demam, batuk, selsema atau sakit-sakit lain lagilah seksa. Cuba kalau suami, demam sikit dah minta MC. Kalau isteri nak minta ‘cuti’ daripada mengurus kerja rumah dan anak, tentu pening kepala si suami.
2. Risiko Bayi Kecil / Kurang Berat Badan
Menurut sumber, apabila ibu hamil mengalami stres, tubuhnya akan mengeluarkan sejumlah hormon yang mempengaruhi degupan jantung menjadi lebih cepat berbanding biasa.
Perubahan kadar degupan jantung akibat stres ini secara tidak langsung akan menjejaskan sistem peredaran darah dan seterusnya mempengaruhi proses penyaluran nutrisi oleh ibu kepada bayi hingga boleh menyebabkan bayi yang dikandungkan terlalu kecil berbanding usia normalnya.
3. Kelahiran Pramatang
Dalam keadaan yang lebih kronik, stres juga boleh memicu kelahiran pramatang yang berisiko kepada bayi dan juga ibu.
Dalam kes yang tertentu, keletihan atau stres yang melampau boleh menimbulkan pelbagai komplikasi lain serta mengganggu perkembangan bayi hingga menjadi punca keguguran atau kematian bayi dalam kandungan.
4. Terganggunya Perkembangan Otak Bayi
Menurut Mom Junction, stres ibu hamil juga mampu merperlihatkan kesan dalam jangka masa panjang, di mana ia dikaitkan dengan masalah tingkah laku anak yang sukar dikendalikan. Ini adalah disebabkan terganggunya perkembangan otak yang berlaku ketika dalam kandungan. Hal ini tentunya akan mewujudkan komplikasi ketika si anak semakin meningkat usianya.
Apa yang lebih membimbangkan, terdapat penelitian yang menunjukkan bahawa stres ibu hamil juga dikaitkan dengan risiko autisme pada anak yang bakal lahir, seperti yang dilaporkan oleh New England Journal of Medicine menerusi Fit Pregnancy.
5. Depresi Selepas Melahirkan
Kehamilan yang menyukarkan sedikit sebanyak akan membawa perasaan negatif terhadap kehidupan selepas melahirkan. Kemurungan yang tidak dibendung ketika hamil berpotensi menjadi punca postpartum depression yang serius atau ‘meroyan’.
Jika semua perasaan risau, kebencian, keletihan dan dendam ditahan-tahan, dikhuatiri satu hari akan meletus juga. Tengok sajalah begitu banyak kes yang mengejutkan kita akhir-akhir ini. Walaupun luaran nampak normal, tapi jangan sesekali kita pandang rendah pada keluhan emosi seorang wanita, terutamanya yang sedang mengandung.
Sokongan Mental & Fizikal Daripada Suami Sangat Penting
Walaupun mengandung itu kita nampak sebagai ‘kerja’ isteri, tapi hakikatnya ia amat memerlukan kerjasama daripada pihak suami.
Dengan mengetahui info tentang bahaya stres ibu hamil ini, diharapkan suami lebih prihatin dan tidak memandang remeh pada kesihatan isteri serta keadaan emosinya.
Bagi isteri pula, jangan terlalu memaksa diri nak buat semuanya. Fikirkanlah tentang kemampuan dan keadaan fizikal anda. Ingat, kesannya bukan pada anda seorang, tapi ia akan turut dirasai oleh bayi!