40 Minggu

5 Perbezaan Kontraksi Palsu & Kontraksi Sebenar. Dah Nak Bersalinkah?

3.2K
reads
Tanda Tanda Kehamilan

“Perut aku asyik ‘mengeras’ je dari pagi tadi. Ini tanda hampir bersalin ke? Tapi, kalau ikutkan ‘due date’ ada lagi 2 minggu. Patut pergi hospital atau tak?”

Apabila menghampiri tarikh jangkaan bersalin, kebanyakan wanita akan mula berasa bimbang dan ‘concern’ terhadap kontraksi yang berlaku pada perut.

Ada masanya kita risau jika terlambat ke hospital dan mungkin kurang berpengalaman untuk mengenal kontraksi sebenar. Buktinya, ada wanita yang pergi ke hospital terlalu awal sebelum tanda hampir bersalin benar-benar berlaku.

Namun, kontraksi sebenar dan kontraksi palsu atau Braxton Hicks adalah 2 jenis kontraksi yang berbeza. Untuk mengenalpasti perbezaan antara kedua-duanya, fahami 5 perkara di bawah.

makanan ibu mengandung

5 Perbezaan Kontraksi Palsu Dengan Kontraksi Sebenar

Ini 5 perkara yang perlu anda ketahui tentang kontraksi (perut mengeras), lebih-lebih lagi apabila menjelang tempoh jangkaan bersalin (due date).

1. Bila Ia Mula Berlaku?

Kontraksi Palsu: Berbeza daripada tendangan, kontraksi ini dapat mula dirasai sejak trimester kedua, iaitu sekitar 4 bulan. Ia adalah salah satu cara untuk menyediakan tubuh anda bagi proses melahirkan yang sebenar.

Kontraksi Sebenar: Kontraksi sebenar hanya akan berlaku apabila menghampiri tempoh bersalin.

Perut kembung semasa mengandung

Foto Kredit: vau.fi

 

2. Bagaimana Rasa Sakitnya?

Kontraksi Palsu: Anda akan berasa seperti mengetat dan ‘mengeras’ di bahagian hadapan perut sahaja. Tetapi ia biasanya tidak menyakitkan. Ia juga akan menghilang dalam beberapa ketika.

Kontraksi Sebenar: Kontraksi sebenar akan disertai dengan rasa yang lebih sakit dan tekanan yang lebih hebat. Kesakitan ini tidak terhad kepada bahagian perut sahaja. Mungkin ada yang berasa sakit pada bahagian abdomen, pinggang, dan ada yang berasa seperti ‘cramp’ semasa didatangi haid. Kesakitan ini akan bertambah kerap dan semakin kuat.

tanda hampir bersalin

Foto Kredit: nursingshow.com

3. Bagaimana Dengan Tempoh Kontraksi?

Kontraksi Palsu: Berlaku dengan pantas, kurang daripada seminit. Tempohnya berlaku secara tidak tetap.

Kontraksi Sebenar: Berlaku lebih lama, sekitar 60 saat atau lebih. Ia akan berlaku secara tetap. Selalunya doktor anda akan menasihatkan agar anda mencatatkan kontraksi ini. Anda juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mencatatkannya dengan mudah.

tanda hampir bersalin

Foto Kredit: play.google.com

4. Adakah Ia Akan Menghilang?

Kontraksi Palsu: Kontraksi ini boleh menghilang apabila anda menukar posisi, berjalan, berehat, atau meminum air.

Kontraksi Sebenar: Tanda hampir bersalin ini akan menjadi semakin kuat dan tidak akan berhenti walaupun anda mengubah kedudukan dan pergerakan.

sakit bersalin normal

5. Apa Yang Perlu Dilakukan?

Kontraksi Palsu: Kontraksi ini tidak merbahayakan dan ia boleh berlaku sebanyak beberapa kali dalam sehari. Untuk mengurangkan rasa tidak selesa, anda boleh cuba meminum air kosong, relaks, dan menukar posisi. Namun, anda juga perlu ‘alert’ jika bayi kurang membuat 6-10 kali pergerakan dalam tempoh 1 jam.

Kontraksi Sebenar: Kontraksi ini biasanya akan diikuti dengan tanda hampir bersalin yang lain seperti palitan darah, cecair mukus, atau pecah air ketuban. Segeralah ke hospital jika anda berasa kontraksi yang kuat setiap 5 minit dalam tempoh 1 jam.

minum kopi semasa hamil

Foto Kredit: nokshe.com

Wanita Perlu Tahu Tanda Hampir Bersalin

Walaupun setiap kehamilan adalah berbeza bagi seseorang wanita, namun dengan mengambil tahu serba sedikit tentangnya, anda mampu bertindak dengan bijak.

Oleh itu, apabila masuk trimester ketiga, kita seharusnya telah membuat persiapan fizikal dan mental untuk menghadapi proses bersalin. Namun, anda tidak perlu risau kerana kontraksi sebenar juga akan mengambil masa beberapa ketika sebelum memasuki fasa aktif yang lebih menyakitkan.

Sediakan beg barang bayi dan ibu siap-siap dalam kereta supaya anda boleh bergegas apabila terdapat salah satu tanda ini.

Selamat bersalin!

Yang Popular

To Top