Bagi anda yang selalu tengok drama TV atau cerita di wayang, mesti pernah terlihat ‘scene’ atau adengan ibu hampir bersalin yang dibawa ke hospital.
Biasanya keadaan bertukar cemas, dan semuanya berlaku dengan pantas.
Tapi, bagi yang pernah melaluinya sendiri mesti mengakui beberapa perbezaannya apabila dibandingkan dengan dunia sebenar.
5 Perbezaan Proses Bersalin Dalam Scene Drama & Realiti. Perasan Tak?
Ini 5 perbezaan adegan bersalin dalam drama daripada proses bersalin sebenar.
1. Air Ketuban
Drama: Air ketuban pecah serta-merta sebelum bersalin. Air yang keluar pula sangat banyak dan berlaku pada waktu yang ‘random’. Contohnya ketika ibu sedang memasak atau membuat kerja rumah harian.
Realiti: Pecah air ketuban biasanya berlaku di hospital. Jika ia berlaku di rumah, biasanya ia berlaku pada awal pagi atau malam. Menurut laman web kehamilan bellybelly.com, kepala bayi akan menahan air tersebut daripada keluar dengan banyak. Jadi, sebenarnya air ketuban yang keluar dengan banyak memang jarang berlaku sebelum fasa aktif.
2. ‘Rushing’ Pergi Hospital
Drama: Bila dah pecah air ketuban, mulalah rasa sakit dan terus bawa kereta laju-laju sebab takut terberanak dalam kereta.
Realiti: Memang ada berlaku ibu yang tak sempat dibawa ke hospital lahir dalam kereta. Tapi, kes ini sangat jarang berlaku. Ini kerana, kontraksi akan dirasakan dahulu sebelum air ketuban pecah. Selalunya kontraksi atau perut ‘mengeras’ ini dapat dirasai oleh wanita menjelang ‘due date’ yang ditetapkan oleh doktor. Ramai yang memang ‘aware’ dan dah siap buat catatan untuk mengira. Siap ada yang boleh pergi makan dulu, kan?
3. Tempoh Bersalin
Drama: Selalunya kalau dikejarkan ke hospital, terus masuk ke bilik bersalin. Tak lama lepas itu, ibu meneran dan kita pun dengar bayi menangis. Haih. Sekejapnya!
Realiti: Apabila dah sampai hospital, tak tentu lagi kita dapat masuk ke bilik bersalin kerana ia bergantung kepada bukaan serviks. Kalau dah lebih 6cm, barulah dapat masuk ke bilik bersalin. Itupun mungkin makan masa beberapa jam lagi nak meneran sebelum selamat dilahirkan. Kajian juga menunjukkan secara purata, ibu yang melahirkan anak buat kali pertama mengambil masa hampir 10 jam untuk melahirkan.
4. ‘Part’ Yang Paling Sakit
Drama: Wajah ibu berpeluh-peluh dan dalam keadaan tak bermaya. Biasanya adegan dalam drama menunjukkan seolah-olah waktu paling sakit adalah waktu meneran bayi untuk keluar.
Realiti: Hampir semua wanita yang melahirkan secara normal berpendapat bahawa tempoh paling sakit adalah pada fasa kontraksi aktif. Ubat penahan sakit juga diberikan untuk menahan kesakitan kontraksi. Sebaliknya, waktu meneran adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu kerana tak sanggup lagi menahan kontraksi. Tempoh meneran adalah agak cepat kerana biasanya doktor akan buat sesuatu bagi memastikan bayi tidak lemas.
5. Sakit Sampai Menjerit
Drama: Selalunya kita nampak wanita terjerit-jerit menahan sakit. Ada yang siap marah-marah pada staf hospital dan suami yang berada di sebelah.
Realiti: Sebenarnya kesakitan kontraksi ini memang sakit, dan ia sebenarnya boleh dikurangkan jika kita bertenang. Menjerit-jerit hanya akan membuang tenaga yang bakal diperlukan ketika meneran nanti. Menangis pun kadang-kadang kena marah dengan ‘nurse’. Selain itu, tak sedikit juga wanita yang berasa sangat sakit sehingga tidak mampu bersuara.
Pengetahuan Membuat Kita Lebih Bersedia
Bukannya nak ‘condemn’ apa yang dipertontonkan. Tetapi, kita sebagai ibu mengandung perlulah realistik dan mengetahui serba sedikit akan proses bersalin yang sebenarnya.
Drama cuma ada beberapa minit untuk memperlihatkan keseluruhan proses, jadi mereka terpaksa ‘buang’ bahagian yang kurang memberi impak secara visual. Bayangkan, takkan mereka nak siarkan proses menunggu kontraksi berjam-jam dalam wad pula kan?
Jadi, kita perlulah ‘korek ilmu’ sendiri dan fahami proses bersalin yang sebenar melalui sumber-sumber yang ada.
Sedikit sebanyak, ia dapat membantu kita membuat keputusan dan lebih bersedia menghadapi proses bersalin nanti.