40 Minggu

Menghitung Hari? Ketahui Proses Kelahiran Bayi Supaya Anda Lebih Bersedia

39
SHARES
Proses kelahiran bayi

“Agak-agak bagaimana rasanya masa bersalin nanti ya? Aduh… Cemas, takut, gembira, bahagia, tak sabar, semuanya ada!”

Ada yang rasa takut untuk membaca artikel sebegini kerana tidak mahu berasa ngeri bila tiba masanya. Tapi sebenarnya, dengan melengkapkan pengetahuan anda tentang fasa-fasa kelahiran bayi, anda mungkin akan berasa lebih yakin serta lebih bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi detik yang bersejarah ini.

Bagi kaum lelaki pula, anda pun tidak terlepas tau! Jangan silap haribulan pengsan pula di wad bersalin nanti.

Men who choose not to attend the birth of their child are in the minority

Proses bersalin (Foto dari essentialbaby.com.au)

A) Fasa Pertama: Kontraksi

Kontraksi adalah tanda bersalin paling awal sebelum kelahiran bayi. Namun, mungkin ada yang keliru kerana kontraksi sudah mula berlaku sejak pertengahan kehamilan lagi.

Oleh itu, mari kenalpasti 3 peringkat kontraksi ini supaya anda dapat menjangkakan waktu yang paling sesuai untuk ke hospital.

1. Kontraksi Awal

– Kontraksi berlaku lebih kerap dan sedikit sakit. Lihat jam dan tandakan kekerapan, sama ada selang 2 jam, 3 jam, dan sebagainya. Catatkan juga tempoh masa berapa lama perut mengeras, sama ada 10 saat, 30 saat, seminit, atau lebih.

– Untuk membezakan kontraksi awal dengan kontraksi biasa (Braxton Hicks), anda perlu mengenalpasti ritma kontraksi tersebut dan memastikannya mengeras pada kadar yang tetap. Kontraksi Braxton Hicks tidak kekal dan akan hilang setelah beberapa ketika.

– Kontraksi ini adalah hasil daripada pergerakan uterus yang mula mengecut dan meregang untuk menjadikan serviks anda mengembang bagi proses kelahiran bayi.

– Tanda-tanda lain termasuklah keluarnya lendir yang dengan sedikit tompokan darah yang dikenali dengan istilah ‘the show’.

– Proses ini biasanya mengambil masa yang agak lama sebelum tempoh kelahiran bayi. Malah, ada yang mengambil masa sehingga beberapa hari. Oleh itu, anda tidak perlu panik dan bergegas ke hospital jika mengalami tanda sebegini. Namun, pastikan semua keperluan sudah tersedia.

– Sesetengah wanita berasa lebih berasa selesa untuk berada di rumah sepanjang fasa awal. Berendam dalam air panas mampu memberi kelegaan manakala berjalan perlahan dapat membantu bayi untuk turun ke bawah.

– Pada peringkat ini pangkal rahim akan mula menipis dan membuka sehingga 3 cm.

2. Kontraksi Aktif

– Ketika ini, kontraksi sudah mula berlaku pada kadar yang tetap dan lebih kerap (mengeras selama lebih kurang 30 saat dalam setiap 3 minit). Berbanding kontraksi awal, ianya agak menyakitkan.

– Jika dapat mengesan ritma tetap ini, anda sudah boleh berangkat ke hospital.

– Anda seharusnya bergegas ke hospital setelah air ketuban pecah untuk mengelakkan jangkitan kuman.

3. Kontraksi Peralihan

– Semasa kontraksi peralihan, perut mengeras semakin kuat dan sakit. Kekerapannya adalah sekitar setiap 40 saat.

– Kebanyakan wanita merasakan bahawa fasa ini adalah fasa yang paling sakit dalam proses melahirkan anak.

– Banyakkan istighfar, berzikir, dan buatlah apa-apa posisi yang selesa – Berdiri, duduk, sujud, mencangkung, dan sebagainya. Namun, cubalah bertenang kerana anda sudah sangat hampir melahirkan bayi anda. Bertahanlah!

– Menurut JAKIM, wanita Muslim hanya dikecualikan daripada solat setelah mengalami pendarahan akibat kelahiran bayi. Maka, masih wajib menunaikan solat walaupun ketuban telah pecah atau mengalami pendarahan. Solatlah dalam posisi apa pun yang anda selesa semampunya. Cara berwuduk dan solat dalam keadaan darurat sebegini boleh dirujuk di pautan laman web JAKIM.

B) Fasa Kedua: Kelahiran Bayi

– Ketika ini, serviks anda akan mengembang sepenuhnya. Rahim akan mula menolak bayi anda untuk keluar melalui vagina.

– Inilah saatnya anda perlu mempraktikkan segala teknik pernafasan yang anda pelajari semasa kelas antenatal. Doktor dan jururawat biasanya akan memberi panduan untuk meneran secara beritma. Dengan teknik meneran yang betul, anda dapat mengurangkan risiko koyakan dan proses jahitan (episiotomi).

– Pengawalan pernafasan dan emosi amat penting. Contohnya, sekiranya anda berasa tertekan dan menangis, anda akan kekurangan tenaga untuk meneran bayi keluar dengan normal dan selamat.

– Prosedur lain seperti menyedut (vakum) atau pembedahan Caesarean terpaksa dilakukan untuk membawa bayi keluar apabila anda sudah tidak bermaya.

C) Fasa Ketiga: Kelahiran Plasenta

– Dalam tempoh 5 hingga 30 minit selepas kelahiran bayi, tembuni, plasenta atau uri akan keluar dengan sendirinya melalui kontraksi rahim. Kebanyakan wanita tidak berasa sakit semasa proses ini, (kadang- kadang memang tak perasan pun ianya berlaku!).

– Setelah itu barulah doktor atau bidan akan membersihkan segalanya termasuk memberikan jahitan sekiranya episiotomi dijalankan.

– Sebelum keluar dari wad bersalin, biasanya jururawat akan memberi peluang anda menyusukan bayi buat pertama kali.

D) Fasa Keempat: Pemulihan

– Inilah masa untuk anda berehat setelah bertarung nyawa di wad bersalin. Jika tiada komplikasi berlaku, anda akan dibenarkan pulang keesokan harinya atau setelah pemeriksaan kesihatan terhadap anda dan bayi selesai.

– Saat-saat awal kelahiran bayi adalah masa yang paling kritikal untuk menyusukan bayi. Susu badan seawal kelahiran bayi mengandungi kolostrum yang kaya antibodi. Selain itu, proses penyusuan itu sendiri membantu pengecutan semula rahim secara semulajadi dengan sangat efektif.

 

Proses kelahiran bayi

Foto Kredit: theguardian.co.uk

Semoga anda mendapat gambaran sedikit sebanyak tentang kelahiran bayi. Jangan terlalu risau kerana tubuh badan wanita memang direka khas untuk melahirkan bayi.

Maka, wanita sebenarnya memang boleh menahan kesakitan itu. Semasa mengurus bayi nanti, jangan lupa jaga kesihatan diri anda sebaik-baiknya, ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×