40 Minggu

9 Petua Mudah Bersalin Normal, Sesuai Jika Anak Pertama!

19.2K
reads
9 Petua Mudah Bersalin, Agar Lancar Melahirkan Bayi

Petua Mudah Bersalin

Setiap wanita dianugerahkan kelebihan untuk menahan sakit bersalin yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana lelaki di dunia. Petua mudah bersalin bukan sesuatu yang dibuat-buat.

Juga, sakit bersalin adalah sakit yang tidak dapat digambarkan. Hanya orang yang pernah merasainya yang tahu bagaimana rasanya sakit bersalin. Ia seperti satu perjuangan anta hidup dan mati seseorang ibu.

Oleh sebab itulah jika seseorang wanita meninggal semasa bersalin dikira sebagai syahid. Kesakitan yang dialami ketika bersalin merupakan lumrah yang tidak dapat dielakkan. Sebagai umat Islam, anggaplah kesakitan ketika bersalin itu sebagai kafarah dosa.

Para ibu yang hamil biasanya tertanya-tanya apakah ada cara untuk melancarkan proses bersalin agar kesakitan yang ditanggung tidak lama. Jawapannya ialah YA.

Kita sememangnya perlu untuk berusaha mencari maklumat dan berkongsi pengalaman bersalin agar dapat dijadikan panduan dan pengajaran antara satu sama lain. Setiap kelahiran adalah berbeza proses bersalin yang akan dilalui walaupun sudah mempunya ramai anak.
Berikut merupakan beberapa usaha yang boleh diaplikasi semasa hamil dan semasa proses bersalin untuk membantu melancarkan proses bersalin:

Banyakkan membaca buku & menimba ilmu

Banyakkan membaca buku & menimba ilmu

1. Menimba pengetahuan

Kajian dan tinjauan harus dibuat semasa hamil. Rajin-rajinkan mulut bertanya pengalaman bersalin orang sekeliling sama ada kawan sepejabat, saudara mara, mahupun jiran tetangga. Mereka pasti teruja untuk menceritakan pengalaman masing-masing di samping memberi nasihat yang berguna kepada anda kelak. Ibu hamil juga perlu meluaskan pengetahuan melalui pembacaan. Belilah buku yang berkaitan kehamilan dan bersalin sebagai langkah awal untuk mendapat sedikit gambaran tentang perjalanan seorang ibu hamil hingga melahirkan bayi. Ikutilah juga kelas antenatal yang dianjurkan di mana-mana pusat kesihatan. Ianya percuma sahaja di hospital kerajaan.

Dekatkan diri kepada Allah

Dekatkan diri kepada Allah

2. Persediaan mental dan rohani

Ibu perlu yakin terhadap kemampuan diri sendiri. Jadilah seorang yang berfikiran positif. Fikirkan bahawa jika wanita lain boleh melakukannya, mengapa anda tidak? Apabila anda yakin, secara tidak langsung akan menaikkan semangat anda. Bersabar dan bertawakal merupakan kunci utama kepada kejayaan seseorang. Sentiasalah berdoa agar dipermudahkan proses sebelum, semasa, dan selepas bersalin.

Bersenam atau 'exercise' untuk kekalkan tahap kecergasan

Mengandung bukan satu alasan tidak bersenam

3. Persediaan fizikal

Ibu hamil mesti menjaga kesihatan agar sihat tubuh badan. Otot-otot sendi yang kuat dan mantap akan membantu melancarkan proses bersalin. Hindari aktiviti yang boleh memudaratkan dan mendapat jangkitan. Elakkan daripada mendapat selsema dan batuk. Sekiranya terjangkit, segeralah mencari penawar agar sistem dalam badan tidak terganggu terlalu lama. Sentiasalah bersenam dan mengambil diet yang seimbang supaya badan cergas.

Tarik nafas dalam-dalam

Tarik nafas dalam-dalam

4. Menenangkan diri

Walaupun sakit, ibu harus berusaha untuk bertenang. Ungkapkanlah zikir dan selawat sebagai penambah semangat di samping mengurangkan sakit yang ditanggung. Ketika ini, sokongan moral daripada suami sangat membantu terutamanya di saat kelahiran. Mintalah ampun kepada suami dan kedua orang tua sebelum bersalin. Amalkan teknik pernafasan yang betul semasa ingin bersalin. Kebiasaannya, kakitangan hospital akan membantu ibu-ibu semasa proses bersalin berjalan.

Banyakkan makan buah-buahan tempatan

Makan makanan yang berkhasiat

5. Alas perut

Melahirkan anak bakal memerlukan tenaga yang banyak. Kekurangan tenaga akan menyukarkan atau melambatkan proses bersalin. Alaslah perut anda sebelum dibawa ke bilik bersalin. Makanlah sesuatu walaupun anda tidak berselera kerana menahan sakit. Jangan biarkan perut kosong. Sekurang-kurangnya makanlah sebuku roti atau beberapa keping biskut sebagai alas perut.

Minyak kelapa dara, bukan buah kelapa muda!

Minyak kelapa dara, bukan buah kelapa muda!

6. Minyak kelapa dara

Minyak kelapa dara atau lebih dikenali sebagai VCO (virgin coconut oil) adalah salah satu petua bagi membantu proses bersalin. Ia juga merupakan antiviral yang boleh melawan jangkitan. Minyak kelapa dara boleh diminum atau diambil dalam bentuk kapsul. Ada juga yang mengambil langkah dengan menyapu minyak kelapa dara di bahagia perineum untuk mengelakkan koyakan semasa bersalin. Pengambilan minyak kelapa dara sepanjang kehamilan dipercayai akan menunjukkan kesan yang menakjubkan.

Beli telur yang berkualiti, mahal sedikit tidak mengapa

Susah nak cari telur ayam kampung

7. Telur ayam kampung

Telur ayam kampung sememangnya sinonim dengan pemulihan tenaga. Menurut petua orang lama, pengambilan telur ayam kampung bersama air milo sangat membantu semasa proses bersalin terutamanya semasa meneran. Ambil sebutir telur ayam kampung mentah dan pecahkan ke dalam secawan air milo. Kacau kemudian diminum sebelum anda pergi ke hospital setelah tanda-tanda hendak bersalin kelihatan. InsyaAllah ianya akan membantu dalam proses bersalin anda. Telur ayam kampung juga boleh diambil sepanjang kehamilan dalam bentuk separuh masak.

Biasa-biasakan makan sayur bendi

Biasa-biasakan makan sayur bendi

8. Bendi

Sayur bendi terdiri daripada 90% air dan kaya dengan kandungan kalsium. Sayur yang berlendir ini bukan sahaja dapat membantu dalam proses bersalin, malahan ia juga turut menjadi penawar kepada sembelit, diabetis, dan jaundis. Bendi boleh dimakan dalam pelbagai cara termasuklah sebagai ulam, ditumis, dimasak bersama ikan dan sebagainya. Ibu hamil yang mempunyai masalah buasir juga boleh mengamalkan makan bendi supaya tiada masalah yang timbul semasa bersalin nanti.

Sebelum minum air zam-zam, selawat dulu

Sebelum minum air zam-zam, selawat dulu

9. Kurma dan air zam zam

Makanan dan minuman dari tanah arab ini sering disebut-sebut sebagai makanan tambahan ataupun penawar kepada penyakit. Kurma adalah sejenis buah yang bakal memberikan tenaga segera. Ia pantas diproses dan diserap. Selain mengandungi karbohidrat, kurma juga terdiri daripada serat dan potassium.

Buah kurma amat baik untuk wanita mengandung kerana dapat memudahkan proses bersalin dan mengurangkan pengaliran darah semasa bersalin. Makan lah buah kurma sebanyak yang boleh semasa sedang sakit hendak bersalin sementara menunggu untuk masuk ke bilik bersalin. Minum air zam zam sebagai penghilang dahaga.

Kesimpulan

Demikianlah 9 cara yang boleh dicuba untuk membantu melancarkan proses bersalin. Ibu-ibu yang sedang hamil jagalah pemakanan anda dan pilihlah makanan dari sumber yang halal. Usah bimbang akan sakit bersalin kerana telah berjuta-juta wanita melalui proses kelahiran dengan selamat walaupun berkali-kali.

Sesungguhnya wanita memang diciptakan istimewa dengan kemampuan untuk mengandung dan melahirkan anak. Mudah-mudahan apa yang ibu-ibu sekalian usahakan dapat mengurangkan bebanan sakit hendak bersalin dan melancarkan proses bersalin. Kesemua kesakitan akan lenyap serta merta setelah keluarnya bayi comel dari rahim ibunya.

Tidakkah anda teruja wahai ibu hamil sekalian? Kuatkan semangat anda. Nikmati pahit manis perjalanan sebagai ibu hamil sehinggalah saatnya bayi anda dilahirkan anda akan merasai kegembiraan yang tidak terucap.

Semoga bermanfaat.

Yang Popular

To Top