40 Minggu

5 Tanda-tanda Bersalin Yang Ibu Hamil Perlu Tahu

53.6K
reads
Tanda bersalin

Tanda-tanda Bersalin

Apabila anda sedang menunggu hari untuk melahirkan anak, sudah pasti anda tidak keruan. Katakan kini kandungan anda sudah 35, 36, 37, 38 atau 39 minggu. Perut pula asyik sentiasa mengeras. Bukan anda sahaja yang tidak senang duduk, sudah pasti suami anda pun kena tempiasnya juga.

Walaupun anda telah beberapa kali melahirkan anak, tidak semestinya tanda-tanda bersalin anak pertama ke anak kedua ke anak ketiga dan seterusnya; adalah sama sahaja kesemuanya. Banyak faktor yang mempengaruhi individu dan situasi pada masa itu, oleh itu lain orang lainlah tanda-tanda bersalin awal yang berkaitan dengannya.

Tanda bersalin

Foto Kredit: healthtap.com

Badan anda sebenarnya sedang bersedia untuk bersalin sebulan dari due date dan bakal menunjukkan tanda-tanda bersalin seperti di bawah. Ada tanda-tanda yang berlaku beberapa hari sebelum malah ada juga yang berlaku beberapa jam sebelum. Tetapi secara umumnya, ia boleh digunakan sebagai panduan kasar dan tidak membuang masa anda ke hospital dan disuruh balik oleh pihak hospital kerana masih terlalu awal untuk melahirkan anak. Oleh itu mari kita lihat tanda-tanda bersalin supaya anda lebih bersedia.

1. Rasa seperti bayi ‘terjatuh

Jika ini adalah anak pertama anda, anda mungkin rasa ringan di bahagian bawah tulang rusuk dan memudahkan anda bernafas. Tetapi pada masa yang sama, rasa berat di bahagian pinggul mula terasa.

2. Kontraksi yang lebih kerap dan konsisten

Sepanjang kehamilan anda merasakan perut anda mengeras. Ada yang sejam sekali, ada yang 30 minit sekali. Tetapi ia tidak berapa konsisten. Apa yang anda perlu perhatikan adalah kontraksi yang konsisten iaitu setiap 10 atau 20 minit dan sangat sakit. Durasi kontraksi pula antara 30 saat ke 90 saat.

Tetapi jika durasi kontraksi tersebut tidak semakin panjang, lebih kuat atau lebih kerap dan ada jurang yang lama di antara kontraksi berikutnya; anda mungkin belum betul-betul hendak bersalin.

Jika anda pengguna telefon pintar, anda boleh gunakan aplikasi Contraction Timer untuk Android dan rekodkan kontraksi anda. Anda juga mungkin akan rasa seperti perut memulas dan cirit-birit.

3. Keluar cecair mukus

Cecair mukus berkumpul di bahagian serviks sewaktu kehamilan. Secara mudahnya, ini adalah tanda bersalin keluar lendir. Kebiasaanya, keluar lendir putih.

Apabila serviks mula membuka ruang yang lebih besar, cecair mukus akan keluar dan ada yang berwarna cerah, merah jambu atau sedikit berdarah.

4. Bukaan serviks

Seterusnya jika anda semakin dekat untuk bersalin, serviks anda akan meregang dan membuka laluan untuk kepala bayi keluar. Proses ini juga dikenali sebagai effacement. Ukuran mudah adalah berapa sentimeter bukaan tersebut. Pada kebiasannya jika ia telah terbuka sebanyak 2 sentimeter, anda boleh dimasukkan ke dalam wad untuk mendapatkan pemantauan seterusnya. Jika dah terbuka lebih daripada 2 sentimeter, boleh dikatakan beberapa jam sahaja lagi anda bakal bersalin.

5. Air ketuban pecah

Antara tanda-tanda bersalin yang paling nyata adalah pecahnya air ketuban. Ini disebabkan cecair amnion yang melindungi bayi dalam kandungan anda telah pecah. Ada yang keluar dengan banyaknya seperti air pancut, ada yang keluar sedikit demi sedikit. Tetapi apa-apa pun, segeralah ke hospital kerana dah tak lama dah anda akan bersalin.

Akhir kata

Diharapkan dengan tanda-tanda bersalin di atas, anda boleh lebih bersedia dan pastikan kelengkapan dan kenderaan untuk ke hospital sentiasa tersedia. Jangan tunggu sehingga saat-saat terakhir baru nak terkejar-kejar pula.

In Shaa Allah semuanya akan berjalan lancar dan berdoalah banyak-banyak.

Bagaiman dengan anda? Ada pengalaman menghadapi tanda bersalin normal? Atau tanda bersalin awal? Atau mungkin juga pernah menghadapi tanda bersalin tak cukup bulan atau pramatang? Kongsikan dengan kami di ruangan komen.

P/S: Pastikan anda berkongsi tanda-tanda bersalin ini dengan suami anda supaya dia juga bersedia.

Yang Popular

To Top