“Ish berangin agaknya perut ni, dari tadi asyik sendawa. Patutlah kembung semacam aja.”
Kalau perut kembung memang rasa tidak selesa dan tidak senang duduk. Terasa bagaikan seperti ada belon dalam perut. Lepas diurut atau disapukan minyak angin (dan sendawa besar!) barulah terasa selesa.
Perut kembung , masuk angin!
Selalunya perut kembung dikaitkan dengan angin yang masuk dalam badan apabila lambat makan daripada waktu sepatutnya. Ada juga kembung yang disebabkan minum terlalu banyak air.
Namun, sebab sebenar perut selalu kembung adalah:
1. Makan dengan laju
Apabila anda makan dengan laju, makanan tidak dihadamkan dengan sempurna dan cebisan yang tidak lumat berkumpul dalam perut. Itu yang menyebabkan perut terasa kembung.
Sebaiknya makan dengan perlahan agar makanan yang masuk lumat sepenuhnya.
2. Tidak fokus pada makanan
Apabila makan sambil melayari internet di telefon, tonton tv mahupun komputer, tanpa sedar anda akan mengambil makanan lebih daripada yang sepatutnya.
Sebaiknya beri tumpuan pada makanan yang anda makan, jadi anda tidak akan makan berlebihan.
3. Minum guna penyedut minuman
Semasa anda menyedut air menggunakan penyedut minuman atau straw, anda sebenarnya menyedut udara bersama menyebabkan perut mudah kembung.
Sebaiknya minum terus daripada gelas.
4. Banyak makan makanan yang diproses
Kebanyakan makanan diproses atau makanan rapu mengandungi garam (sodium). Apabila terlalu banyak sodium masuk dalam badan, ia menyebabkan perut mudah menjadi kembung.
Sebaiknya banyakkan makan makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
5. Pengambilan gula berlebihan, termasuklah ‘artificial sugar’
Ramai yang memilih artificial sugar sebagai pengganti gula untuk mengurangkan kalori dalam diet seharian. Artificial sugar biasanya mengandungi aspartame dan sucralose yang sukar dihadamkan oleh perut menyebabkan perut menjadi kembung.
Sebaiknya guna madu sebagai pengganti gula.
6. Minum air bergas
Tahukah anda buih-buih gas dalam minuman ringan juga menyebabkan perut anda mudah kembung.
Sebaiknya, elak minum minuman bergas. Tetapi jika anda penggemar minuman ini, pastikan letak ais dalam minuman dan tunggu sehingga buih-buih gas hilang sebelum minum.
7. Makan berat sebelum tidur
Apabila tidur dengan perut penuh, makanan dalam perut biasanya mengambil masa yang lama untuk dihadam dengan sempurna menyebabkan perut menjadi kembung.
Sebaiknya, makan malam sebelum tiga atau empat jam masuk waktu tidur. Jika perlu makan kerana terlalu lapar, ambil makanan ringan seperti buah-buahan.
Apa pun,
Banyak penyakit berpunca dari kita sendiri yang mengabaikan pemakanan yang sihat.
Jika anda memang sering kembung perut, cuba kurangkan 7 tabiat di atas. InshaaAllah, tiada lagi masalah pada masa hadapan.