Famili

10 Tanda Gastrik Yang Anda Perlu Tahu. Selalu Jadi Pada Bulan Ramadhan!

113.8K
reads
Tanda gastrik

Tanda Gastrik

Gastrik adalah penyakit atau gejala perut yang menyebabkan anda tidak selesa. Pernahkah anda tersalah makan lalu sakit perut dan cirit-birit?. Pastinya ianya membuatkan anda tidak selesa dan kadangkala tidak mahu bergerak ke mana-mana.

Selalunya, ramai yang menampakkan simptom gastrik menjelang bulan Ramadhan. Disebabkan gastrik, ada yang tidak boleh berpuasa.

 

Jenis gastrik

Tanda gastrik

Foto Kredit: stasiareport.com

Gastrik terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

1. Gastritis ringan

Inflamasi (pembengkakan) pada bahagian lapisan perut bersentuhan dengan makanan.

2. Gastritis berat

Berlaku kecederaan (luka) berpanjangan pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan.

3. Ulser gastrik (peptic ulcer)

Merujuk kepada ulser perut. Ulser memberi maksud sejenis luka terbuka. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.

Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH 1 hingga pH 2) yang berfungsi mencerna makanan. Asid ini kuat dan jika terkena tangan, kulit akan terkakis. Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik.

Pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah). Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.

Tanda gastrik

1. Sakit perut pada bahagian atas perut atau abdomen

2. Rasa senak, berangin atau pedih.

3. Rasa tidak selesa dan kembung

4. Sendawa berulang kali

5. Kerap kentut selepas makan

6. Rasa mual atau loya dan muntah

7. Berat badan turun (peringkat kronik)

8. Najis berwarna hitam seperti tar dan muntah yang mengandungi darah (peringkat kronik)

9. Hilang selera makan

10. Berat badan turun (pada peringkat teruk)

Rawatan gastrik

A) Kaedah rawatan gastrik secara moden atau klinikal

1. Antasid – bertindak memperbaiki dan memberi lapisan tambahan kepada lapisan pertahanan (mukosa) yang diambil 3 kali sehari. Kementerian Kesihatan mempunyai maklumat lanjut tentang antasid.

2. Antagonis H2 – berfungsi mengurangkan rembesan asid. Ubat antasid dan antagonis H2 diberi untuk gastritis

3. Perencat pam proton (PPI) – bertujuan mengurangkan rembesan asid dengan lebih berkesan; biasanya diberi kepada pesakit yang alami gastritis teruk atau ulser perut

 

B) Kaedah rawatan gastrik secara tradisional

1. Titikkan tiga titik getah betik muda ke dalam segelas air panas. Suamkan air tersebut dan kemudian minum selepas sarapan pagi.

2. Bersihkan kunyit. Setelah itu, parut atau kisar kunyit tersebut. Campurkan dengan sedikit air masak lalu ditapis. Tambahkan sedikit madu dan sebaiknya masukkan sebiji kuning telur. Minum campuran ini dan Insya-Allah gastrik anda akan beransur hilang.

3. Campurkan sedikit buah tamar dengan sedikit susu kambing atau susu lembu asli yang segar. Kemudian minumlah dua kali sehari.

4. Minum teh pekat sebelum tidur. Amalkan sekali sehari, Insya-Allah, gastrik akan beransur hilang.

5. Hiriskan hempedu atau pedal ayam secara halus-halus dan jemur sehingga kering. Selepas itu tumbuk hingga hancur dan campurkan dengan air suam. Minum ramuan tersebut, tiga kali pada sebelah pagi, tengah hari dan sekali lagi pada sebelah petang atau malam.

 

Bagaimana mencegah gastrik?

Kenapa cari petua hilangkan gastrik bila sudah ada tanda gastrik? Bukankah lebih baik mencegah dari mengubati? Tidak perlu tunggu tanda gastrik baru tergesa-gesa mencari penawar.

Berikut adalah cara mencegah gastrik:

1. Makan mengikut waktu

2. Elakkan makanan ringan, jeruk kering atau basah.

3. Elakkan minuman bergas dan alkohol.

4. Elakkan cuka dan makanan pedas-pedas.

5. Banyakkan minum susu kerana susu bersifat alkali dan boleh mengurangkan keasidan perut. Namun jangan minum susu dengan perut kosong terutama pada waktu pagi.

 

Penjelasan lanjut

Ikuti dan fahami lebih lanjut menurut pandangan doktor, menerusi Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

 

Akhir kata

Semoga informasi tentang tanda gastrik ini bermanfaat kepada sesiapa yang menghidap gastrik. Seelok-eloknya cubalah hindari gastrik kerana jika berlarutan, ianya akan membawa pada kanser perut.

Jika gastrik anda masih tidak pulih setelah cuba cara ini, sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Wallahualam.

Yang Popular

To Top