Loya dan muntah boleh menyebabkan diri tidak selesa. Biasanya, rasa loya dan muntah akan datang sekali sehingga membuat anda pening dan dehidrasi. Pasti anda tertanya-tanya, apa punca loya dan muntah boleh kerap berlaku? Bukan biasanya wanita mengandung sahaja ke?
Salah! Loya dan muntah boleh berlaku disebabkan beberapa punca. Kalau nak tahu apa, jom kami kongsikan di bawah untuk pembacaan anda.
Baca juga: Ada Orang Kata Mandi Malam Punca Paru-Paru Berair, Fakta Atau Mitos Semata-Mata Ya?
PUNCA LOYA DAN MUNTAH KERAP BERLAKU, BAHAYA KE TAK?
Loya bermaksud tidak selesa di bahagian tekak dan perut. Simptom lain boleh berlaku pada masa yang sama dengan loya seperti pening, demam, dan degupan jantung yang cepat.
Apabila anda muntah, otot perut mengecut dan menolak kandungan dalam perut seperti cecair dan makanan keluar melalui mulut.
Beberapa punca boleh menyebabkan loya dan muntah. Antaranya adalah:
- Mabuk laut dan penyakit bergerak lain
- Kehamilan awal
- Kesakitan yang teruk
- Pendedahan kepada toksin kimia
- Tekanan emosi (ketakutan)
- Penyakit pundi hempedu
- Keracunan makanan
- Senak perut
- Virus
- Bau
- Apendiks
- Barah otak
- Penggunaan ganj*
- Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19)
- Pening
- Jangkitan telinga (telinga tengah)
- Demam
- Alahan makanan (contohnya, susu lembu, soya atau telur)
- Batu karang
- Penyakit refluks gastroesophageal (GERD)
- Serangan jantung
- Kegagalan jantung
- Ubat-ubatan
- Barah pankreas
- Terapi radiasi
Punca muntah berbeza-beza mengikut umur. Bagi orang dewasa, muntah biasanya disebabkan oleh jangkitan virus, keracunan makanan dan demam panas.
Bagi kanak-kanak, muntah berlaku kerana jangkitan virus, keracunan makanan, mabuk perjalanan, makan berlebihan, batuk, dan demam panas. Walaupun jarang, usus tersumbat juga boleh menyebabkan muntah.
Biasanya muntah tidak mendatangkan bahaya, tetapi ia boleh menjadi tanda penyakit yang lebih serius seperti:
- Gegar otak
- Ensefalitis
- Meningitis
- Usus tersumbat
- Apendiks
- Sakit kepala migrain
- Tumor otak
Orang dewasa mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami dehidrasi kerana biasanya dapat mengesan gejala dehidrasi dengan lebih awal.
Kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami dehidrasi terutamanya jika muntah dan cirit-birit berlaku sekali gus.
Terdapat beberapa cara untuk mengawal atau melegakan loya iaitu:
- Minum minuman sejuk
- Makan makanan ringan
- Elakkan makanan bergoreng, berminyak atau manis
- Makan perlahan-lahan
- Jangan campurkan makanan panas dan sejuk
- Minum minuman perlahan-lahan
- Elakkan aktiviti selepas makan
- Elakkan menggosok gigi selepas makan
Wanita hamil yang mengalami morning sickness boleh makan sedikit keropok sebelum bangun daripada katil atau makan snek berprotein tinggi sebelum tidur (daging tanpa lemak atau keju).
Muntah yang berkaitan dengan rawatan kanser selalunya boleh dirawat dengan jenis terapi ubat lain. Terdapat juga ubat preskripsi dan bukan preskripsi yang boleh digunakan untuk mengawal muntah yang disebabkan oleh kehamilan, mabuk perjalanan, dan beberapa bentuk pening.
Rawatan untuk melegakan muntah (tanpa mengira umur atau punca) termasuk:
- Minum lebih banyak air masak
- Elakkan makanan pejal
- Berehat
- Hentikan sementara semua ubat oral
Sekiranya loya dan muntah berlarutan melebihi 24 jam, pastikan anda mendapat rawatan dan nasihat doktor.
Sumber: Cleveland Clinic & Mayo Clinic