Dalam agama Islam, selain menunaikan ibadah solat menjadi kewajiban, ibadah berpuasa di dalam bulan Ramadan juga merupakan Rukun Islam ketiga dan wajib untuk menunaikannya. Namun, selain dari berpuasa dalam bulan Ramadan, terdapat beberapa jenis puasa sunat yang boleh ditunaikan dalam bulan Islam dan salah satunya adalah Puasa Hari Putih.
Ini juga merupakan hari yang dinantikan ramai untuk berpuasa bagi merebut ganjaran pahala. Mana tidaknya, anda disarankan untuk berpuasa selama tiga hari dan ganjarannya ibarat berpuasa selama setahun!
Baca juga: 8 Amalan Yang Boleh Dilakukan Sempena Bulan Syaaban, Latih Diri Untuk Bertemu Ramadan!
NIAT PUASA HARI PUTIH DI BULAN SYAABAN 1445H
Puasa Hari Putih atau puasa “Ayyaamul Bidh” merupakan puasa sunat yang boleh ditunaikan setiap bulan Islam pada hari ke 13, 14, dan 15 kecuali pada 13 Dzulhijjah kerana tarikh itu merupakan sebahagian daripada Hari Tasyriq.
Puasa sunat ini sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam, kerana kebaikan yang diperoleh jika anda melakukannya adalah sangat banyak. Perkara ini telah dinyatakan Rasulullah S.A.W dalam hadis riwayat berikut.
“Puasa pada 3 hari tiap bulannya merupakan serupa puasa sepanjang tahun”- Hadis riwayat Bukhari :1979
Puasa ini dinamakan Puasa Hari Putih kerana pada malam-malam hari berkenaan, bulan mengambang penuh dan berada dalam keadaan paling cerah serta menerangi muka bumi.
Oleh itu, bagi bulan Syaaban 1445H, tarikh puasa Ayyamul Bidh ini jatuh pada 23, 24 dan 25 Februari 2024. Untuk anda yang ingin menunaikan amalan puasa sunat ini, berikut merupakan niatnya:
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى.
Nawaitu Sauma Ayyaamal Bidh Sunnatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sunat hari putih kerana Allah Taala.
Sesungguhnya dengan melakukan puasa sunat Ayyaamul Bidh ini, ia mampu melatih sifat sabar dan menjadi benteng yang melindungi diri seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan maksiat, juga memeliharanya daripada azab di akhirat.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ
“Puasa adalah perisai. Maka (orang berpuasa) janganlah berkata keji dan janganlah bertindak jahil. Jika seseorang hendak bergaduh atau memakinya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa” diulangi dua kali” –HR Bukhari, No. 1894
*Jadi, jangan lepaskan peluang untuk rebut ganjaran pahala ini dan melatih diri berpuasa sebelum tibanya bulan Ramadan tidak lama lagi.
Baca juga: Tatacara Solat Taubat Yang Betul, Langkah Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Allah SWT
Sumber: AkuIslam.com
Foto: Kompas.com, Republika