Semerbaknya harum bau ikan masin gelama atau apa-apa sahaja ikan masin yang termasuk dalam kumpulan yang sama apabila digoreng bukan? Dimakan pula bersama nasi putih panas, memang boleh bertambah-tambah nasi dibuatnya. Namun, kadang-kadang tertanya juga adakah ikan masin ini boleh dimakan?
Hal ini kerana, kebanyakkan ikan masin yang dijual tidak dibuang isi perutnya. Dalam Islam, kalau ikan tersebut tidak dicuci dan dibuang isi perutnya, masih boleh dimakan ke?
Baca juga: Kelebihan Tidur Qailulah, Satu Minit Tidur Sebelum Zohor Seperti 45 Minit Tidur Malam
SEDAPNYA IKAN MASIN GELAMA! TAPI APA HUKUM MAKAN IKAN TAK DIBUANG ISI PERUT?
Ada dalam kalangan warganet bertanyakan kepada Mufti berkenaan ikan masin, ikan kering atau ikan pekasam yang tidak dibuang isi perutnya. Apakah hukum andai termakan isi perut ikan tersebut?
Menurut penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan, hukum ikan masin atau ikan kering mahupun ikan pekasam yang tidak dibersihkan segala isi perut, tahi mahupun darahnya adalah tidak halal untuk dimakan kerana najis menurut mazhab Syafi’i. Namun, ikan kecil yang sukar dibuang segala isi dalaman perut adalah dimaafkan untuk dimakan.
Oleh itu, pengusaha yang menghasilkan ikan masin, ikan kering atau pekasam perlu cakna terhadap kebersihannya dengan membuang segala kotoran dalam rongga perut ikan yang bersaiz besar. Adapun isi perut ikan yang sukar dibersihkan kerana saiz ikan terlalu kecil, maka ia termasuk najis yang dimaafkan dan halal untuk dimakan.
Fuqaha mazhab Syafi’i membahaskan hukum memakan ikan masin yang tidak dibersihkan bahagian isi perutya berdasarkan nukilan dalam Al-Jawahir :
قَالَ فِي الْجَوَاهِرِ كُلُّ سَمَكٍ مُمَلَّحٍ وَلَمْ يُنْزَعْ مَا فِي جَوْفِهِ فَهُوَ نَجِسٌ.
Maksudnya: “Semua ikan masin yang tidak dikeluarkan segala isi perutnya, maka ia dianggap najis”.
Oleh itu, ikan yang belum dibersihkan daripada isi – isi perutnya dianggap bernajis dan tidak halal dimakan. Menurut zahir pendapat ini, sama sahaja ikan besar mahupun ikan kecil. Namun al-Rafi’i dan al-Nawawi mengatakan ikan kecil yang masih terdapat isi perut halal dimakan atas sebab kesukaran untuk membersihkannya.
Oleh yang demikian, ikan bersaiz besar yang tidak dibuang isi perutnya tidak halal dimakan kerana bercampur dengan najis dalam perutnya. Sementara telur ikan adalah suci kerana terdapat penghalang antara najis dan telur yang tidak mungkin bercampur dengan telur ikan.
Sementara itu, ikan kecil yang tidak dibuang isi perut adalah dimaafkan. Begitu juga, ia tidak menajiskan minyak apabila menggoreng ikan kecil tersebut .
*Kesimpulannya, ikan yang tidak dibuang dan dibersihkan tahi, darah serta segala isi perutnya adalah tidak halal dimakan disebabkan najis kecuali telur ikan. Namun ikan kecil yang sukar dibuang segala isi perutnya adalah dimaafkan dan halal dimakan. Wallahu A’lam..
Baca juga: Banyak Kelebihan Puasa Isnin & Khamis, Dapat ‘Ganjaran’ Berganda Saat Pahala Dihitung
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan