Ada anak yang menunjukkan kasih sayang bukan melalui kata-kata, sebaliknya dengan kesanggupan berada di sisi ibu bapa dalam setiap keadaan. Kisah sebuah keluarga dari Kuala Lumpur (KL) yang berkunjung ke Pulau Pinang untuk menikmati nasi kandar baru-baru ini menjadi perhatian selepas cara seorang anak menjaga kedua-dua orang tuanya dipuji peniaga.
KISAH ANAK SANGGUP BAWA MAK AYAH OKU DARI KL MAKAN NASI KANDAR DI PULAU PINANG

Gambar Nasi Kandar Sulaiman.
Kisah tersebut dikongsikan oleh pengusaha Nasi Kandar Sulaiman (NKS) menerusi Facebook selepas keluarga berkenaan kembali berkunjung ke kedainya, kira-kira setahun selepas kunjungan pertama.
Menurut peniaga itu, ibu dan bapa dalam keluarga berkenaan merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana kedua-duanya mengalami kebutaan.
Namun, keadaan tersebut tidak menghalang anak mereka membawa ibu bapa keluar menikmati hidangan seperti pelanggan lain.
Malah, sepanjang berada di kedai, anak berkenaan dilihat sentiasa berada bersama mereka dan memastikan segala keperluan kedua-duanya terjaga.
Datang lagi selepas setahun, sekali lagi dibelanja
Kunjungan kali ini turut mengulangi satu kenangan daripada tahun sebelumnya. Ketika keluarga berkenaan datang ke NKS kira-kira setahun lalu, hidangan mereka telah dibayar menggunakan wang daripada para penderma.
Apabila mereka kembali pada tahun ini, peniaga berkenaan sekali lagi mengambil keputusan untuk membelanja makanan keluarga tersebut menggunakan sumbangan yang diterima.
Apa yang menarik, ibu bapa berkenaan langsung tidak mengetahui mengenai perkara itu. Mereka hanya dimaklumkan ketika tiba waktu membuat bayaran, menyebabkan kedua-duanya terkejut dan gembira.
Namun, bagi peniaga tersebut, perkara yang paling menarik perhatian bukan sekadar kisah makanan yang dibelanja. Sebaliknya, dia tersentuh melihat ketabahan anak berkenaan menemani ibu bapanya sepanjang berada di premis.
Walaupun keadaan kedai ketika itu agak sibuk dengan pelanggan, anak tersebut tetap melayan kedua-duanya dengan wajah yang tenang. Tiada keluhan atau reaksi yang menunjukkan dia berasa terbeban dengan tanggungjawab berkenaan.

Gambar sewaktu kunjungan setahun lalu dari keluarga ini yang dikongsikan Nasi Kandar Sulaiman.
Tidak jadikan keadaan ibu bapa sebagai alasan
Peniaga NKS menyifatkan apa yang dilakukan anak tersebut bukan sesuatu yang mudah. Menjaga ibu bapa yang memerlukan bantuan tambahan memerlukan kesabaran, masa dan perhatian, terutama ketika mereka berada di tempat awam.
Namun, anak itu dilihat melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh kasih sayang.
Baginya, keadaan ibu bapa bukan sesuatu yang perlu disembunyikan atau dijadikan alasan untuk tidak membawa mereka keluar bersama. Sebaliknya, dia tetap menemani kedua-duanya menikmati waktu bersama tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.
Perkara tersebut turut membuatkan peniaga berkenaan terfikir tentang bagaimana sesetengah anak mungkin berasa malu untuk membawa ibu bapa yang sudah berusia atau mempunyai masalah kesihatan keluar ke tempat awam.
Sedangkan, ibu bapa tetap insan yang wajar dihargai dalam apa jua keadaan.
Kisah keluarga ini menjadi contoh bahawa kasih sayang boleh ditunjukkan melalui perkara yang cukup sederhana iaitu dengan meluangkan masa, menemani mereka dan memastikan mereka berasa dihargai.
Lebih-lebih lagi apabila usia semakin meningkat, perkara seperti membawa ibu bapa menikmati makanan kegemaran mungkin menjadi kenangan yang sangat bermakna buat mereka.
Pada masa sama, kemurahan hati peniaga NKS dan para penderma yang sekali lagi membelanja keluarga tersebut turut menambah kemanisan kunjungan mereka.
Selagi ibu bapa masih ada, hargailah mereka tanpa mengira usia, keadaan fizikal atau cabaran yang perlu dilalui bersama.
Sumber: Facebook Nasi Kandar Sulaiman
FT Image: Nasi Kandar Sulaiman
