Membina masa depan anak bukan sekadar memastikan mereka mendapat pendidikan yang baik, malah memerlukan perancangan kewangan yang dibuat sejak awal.
Menyedari kepentingan tersebut, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan usaha memperkasa budaya menabung menerusi Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026, yang berlangsung dari 25 September 2026 hingga 1 November 2026.
Program signature PTPTN yang kini memasuki tahun kesembilan penganjurannya itu turut diadakan bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober setiap tahun.
Majlis pelancaran BMS 2026 diadakan pada 26 September 2026 di Central i-City Mall, Shah Alam, Selangor dan disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim.
Simpanan awal, persediaan lebih baik untuk pendidikan anak
Menariknya, BMS 2026 mengetengahkan tema “Di Bawah Lautan (Under The Sea)” dengan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda!”
Konsep dunia bawah laut ini menjadi simbol kepada perjalanan membina tabiat menabung, merancang kewangan dan merealisasikan impian pendidikan anak-anak.

Juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2026 bergambar bersama YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim (Belakang Tengah)
Sama seperti sebuah pengembaraan yang memerlukan persediaan, perancangan pendidikan juga wajar dimulakan lebih awal agar ibu bapa mempunyai lebih banyak ruang untuk menyediakan keperluan pendidikan anak pada masa hadapan.
Melalui BMS 2026, PTPTN turut menggalakkan masyarakat untuk mengubah perspektif daripada hanya bergantung kepada pinjaman kepada usaha menyimpan lebih awal bagi tujuan pendidikan tinggi.
Langkah ini diharap dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman serta meringankan beban kewangan anak-anak selepas tamat pengajian.
Simpan SSPN tawar pelbagai manfaat

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim (tengah) menyerahkan replika kad berjumlah RM20,000 kepada pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2.
Sebagai instrumen simpanan pendidikan, Simpan SSPN menawarkan beberapa manfaat kepada masyarakat Malaysia, antaranya:
- Pelepasan taksiran cukai pendapatan atas simpanan sehingga RM8,000 setahun;
- Perlindungan takaful percuma kepada pendeposit;
- Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak;
- Kadar dividen yang kompetitif;
- Simpanan yang dijamin kerajaan; dan Patuh Syariah.
Sehingga 31 Ogos 2026, Simpan SSPN telah merekodkan jumlah deposit sebanyak RM25.86 bilion menerusi 7.66 juta akaun yang dibuka.
Bagi BMS 2026 pula, PTPTN menyasarkan jumlah terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM250 juta sepanjang tempoh kempen.
Bukan sekadar menabung, banyak aktiviti menarik menanti
BMS 2026 turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang boleh disertai ibu bapa dan anak-anak, termasuk Pertandingan Mewarna, Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Pertandingan Action Song Simpan SSPN dan PTPTN E-Sports Challenge.
Selain itu, pengunjung ke kaunter PTPTN berpeluang mendapatkan cenderahati eksklusif BMS 2026 menerusi penabungan dalam Simpan SSPN.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim (tengah) menyerahkan replika kad motosikal Yamaha NVX 155 kepada pemenang utama Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! Kategori Cabutan Slay 2
Bagi sambutan peringkat negeri, BMS 2026 telah berlangsung di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 3 Oktober 2026 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN selain diadakan serentak di lokasi-lokasi terpilih di 12 negeri seluruh negara.
Dalam usaha terus menyemarakkan budaya menabung, PTPTN turut mempergiatkan pelbagai kempen dan promosi termasuk Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2026.
Secara keseluruhannya, BMS 2026 menjadi platform PTPTN untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan merancang kewangan pendidikan anak-anak sejak awal.
Kerana menjadi ‘superhero’ kepada anak bukan hanya tentang melindungi mereka hari ini, tetapi turut menyediakan asas kewangan untuk membantu mereka mencapai impian pendidikan pada masa hadapan.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 yang akan berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November 2026, bertempat di Center Court, Alamanda Shopping Mall, Putrajaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai BMS 2026, orang ramai boleh mendapatkan informasi melalui laman rasmi PTPTN.
