Euforia Bola 2026
Famili

“Dia Satu-Satunya Harta Berharga Saya”- Gadis Tangguh Pengajian Demi Jaga Ayah Hidap Kanser

tangguh pengajian

Bukan mudah untuk meninggalkan kehidupan di kampus ketika impian sedang dikejar, namun Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, 20, sanggup tangguh pengajian selama enam bulan demi pulang ke kampung menjaga bapanya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu kini berada di Gunung Keriang, Kedah untuk menguruskan bapanya, Mohamad Bistawi Bakar, 56, yang turut mengalami masalah penglihatan.

Baca juga: Usia Dah 102 Tahun, Tok Saimah Masih Solat Berdiri! Gemar Menu Rebus & Bebas Penyakit Kronik

GADIS TANGGUH PENGAJIAN & CITA-CITA JADI TENTERA DEMI AYAH

tangguh pengajian

Gambar Zuliaty Zulkiffli: Siti Nurdiana membantu menguruskan bapanya yang menghidap kanser paru-paru tahan 4 selain mempunyai masalah penglihatan.

Siti Nurdiana merupakan anak tunggal dalam keluarga selepas ibunya meninggal dunia pada 2009 akibat penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

Sejak itu, bapanya yang mengambil peranan membesarkan dan menjaganya sehingga dia berjaya melangkah ke universiti.

“Hanya dia satu-satunya harta berharga yang saya ada sekarang kerana sanggup berkorban besarkan saya, kini giliran saya puka berkorban untuk jaga ayah,” kata Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, 20.

Ayah dulu besarkan dia, kini giliran dia jaga ayah

Menurut Siti Nurdiana, keputusan untuk pulang ke kampung bukan sesuatu yang mudah kerana dia mempunyai impian untuk menjadi tentera sejak kecil.

Namun, keadaan kesihatan bapanya yang semakin memerlukan perhatian membuatkan dia memilih untuk berada di sisi lelaki yang membesarkannya.

“Sejak itu, ayah yang membesarkan saya dan menjaga saya sehingga berjaya melangkah ke universiti.

“Memang impian saya nak jadi tentera sejak kecil, kini saya sedang belajar tetapi saya terpaksa berkorban demi ayah, tangguhkan pengajian enam bulan untuk menjaganya.

“Sebelum ini, kalau saya pulang ke kampus, saya meminta bantuan jiran untuk tengokkan ayah dan beri dia makan tetapi bila ayah kerap masuk wad, saya kena balik jaga dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sepanjang berada di rumah, rutin hariannya kini banyak tertumpu kepada keperluan bapanya.

Dia memandikan ayahnya di tepi dinding yang diubah suai menjadi tandas kecil bagi memudahkannya menguruskan lelaki itu seorang diri. Selain itu, dia turut memasak, menguruskan rumah serta menyuap makanan dan minuman untuk bapanya.

Baca juga: Lebihan Kulit Berbiji Tumbuh Lepas Tamat SPM, Kak Noor Dilahirkan Normal Anggap ‘Hadiah’ Daripada Allah

Pernah kerja sambilan untuk bantu ayah

Sebelum ini, Mohamad Bistawi bekerja sebagai pembuat pasu di Gunung Keriang dengan pendapatan sekitar RM500. Pendapatan itulah yang digunakan untuk membesarkan Siti Nurdiana sehingga dia berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

“Masa ayah sihat, dia hanya bekerja sebagai pembuat pasu di Gunung Keriang dengan pendapatan sekitar RM500.

“Dengan wang itulah dia berjaya membesarkan saya hingga saya berjaya sekarang, Insya-Allah, kalau keadaan ayah makin baik, saya akan sambung pengajian di semester tiga.

“Ayah disahkan menghidap kanser paru-paru tahun ini dan mendapat rawatan di Hospital Alor Setar,” katanya.

Bagi memastikan dirinya tidak terlalu bergantung kepada bapanya sebelum ini, Siti Nurdiana turut bekerja sambilan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi menampung perbelanjaan sepanjang belajar di UPNM.

Kini, wang simpanan hasil kerja tersebut turut digunakan untuk membeli keperluan bapanya, termasuk lampin pakai buang dan makanan.

“Ayah pakai lampin pakai buang dan perlu dua atau tiga kali sehari. Saya gunakan duit simpanan ketika bekerja sambilan sebelum ini untuk beli lampin ayah serta barangan makanan,” katanya.

Siti Nurdiana yang mengikuti jurusan Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik, Fakulti Pengurusan dan Pengajian berkata, dia tidak mahu mensia-siakan peluang untuk menjaga bapanya selagi lelaki itu masih ada di sisinya.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Nurdiana turut menerima kunjungan Cancer Survivors Malaysia (CSM), termasuk Pengerusinya, Zuraini Kamal yang menyampaikan sumbangan wang tunai serta susu formula khas.

Zuraini turut memaklumkan CSM akan menghantar sumbangan sebuah katil pesakit untuk kegunaan Mohamad Bistawi supaya bapanya dapat berehat dengan lebih selesa.

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, mereka boleh menghubungi Siti Nurdiana menerusi nombor 019-7264889.

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×