Setiap keluarga pasti diuji dengan cabaran hidup yang berbeza. Namun, kisah sebuah keluarga di Pasir Mas, Kelantan ini benar-benar menyentuh hati apabila seorang remaja berusia 15 tahun terpaksa bekerja mencuci kereta demi membantu menyediakan makanan untuk ibu dan empat adik-beradiknya.
REMAJA 15 TAHUN KERJA MENCUCI KERETA DEMI MENYARA KELUARGA

Foto: Facebook Abbe Hae
Perkongsian mengenai nasib keluarga tersebut dimuat naik oleh aktivis kebajikan dikenali sebagai Abbe Hae yang turun padang membantu mereka selepas menerima maklumat mengenai kesusahan yang dihadapi.
Menurut perkongsian itu, remaja yang berusia 15 tahun terpaksa mengambil upah mencuci kereta dan hanya memperoleh sekitar RM80 seminggu.
Pendapatan kecil itu digunakan untuk membeli beras serta keperluan makanan asas bagi menampung kehidupan ibu dan empat adik-beradiknya.
Lebih menyedihkan, tiga orang adiknya yang masih berada di bangku sekolah rendah tidak lagi dapat meneruskan persekolahan kerana masalah kewangan selain kedudukan sekolah yang jauh dari tempat tinggal mereka.
Situasi tersebut menyebabkan keluarga berkenaan semakin terhimpit dan berdepan pelbagai kesukaran dalam meneruskan kehidupan seharian.
Ibu Buntu Selepas Terkumpul Tunggakan Sewa Empat Bulan
Dalam masa yang sama, ibu kepada lima orang anak itu turut berdepan tekanan apabila diarahkan keluar dari rumah sewa kerana gagal melunaskan bayaran sewa selama empat bulan.
Menurut Abbe, pemilik rumah tidak mempunyai pilihan selain mencari penyewa baharu memandangkan tunggakan yang semakin meningkat.
Keadaan itu menyebabkan si ibu hilang arah dan tidak tahu ke mana harus dituju untuk mendapatkan tempat berteduh bersama anak-anaknya.
Difahamkan, suaminya kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah lain dan bukan berkaitan dadah, sekali gus menyebabkan segala tanggungjawab keluarga dipikul sendirian oleh wanita tersebut.
Tampil Hulurkan Bantuan Kepada Remaja Kerja Mencuci Kereta dan Keluarga

Foto: Facebook Abbe Hae
Tersentuh dengan nasib keluarga berkenaan, Abbe mengambil keputusan untuk membantu walaupun mengakui dirinya turut berdepan kekangan dana kerana menanggung kos bantuan kepada ramai asnaf setiap bulan.
Bagaimanapun, dia percaya bahawa membantu golongan yang memerlukan tidak akan menyebabkan seseorang jatuh miskin, malah menjadi asbab untuk memperoleh rezeki yang lebih luas.
Dia bersama pasukannya kemudian berusaha mencari kediaman baharu yang lebih sesuai dan berhampiran dengan sekolah bagi memudahkan urusan anak-anak keluarga tersebut.
Temui Rumah Baharu Berdekatan Sekolah
Hasil usaha tersebut, mereka berjaya menemui sebuah rumah kosong untuk disewa yang terletak berhampiran sekolah anak-anak berkenaan.
Abbe memaklumkan bahawa proses pemindahan keluarga itu ke rumah baharu akan dilakukan segera bagi memastikan mereka mempunyai tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
Malah, dia turut berhasrat membantu memastikan anak-anak yang tercicir daripada persekolahan dapat kembali menyambung pelajaran seperti biasa.
Raih Perhatian Warganet
Perkongsian kisah keluarga ini mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet yang rata-ratanya mendoakan agar urusan ibu serta anak-anak tersebut dipermudahkan.
Ramai juga menzahirkan penghargaan kepada individu dan pihak yang tampil membantu golongan memerlukan, terutama ketika mereka berada dalam keadaan yang sangat terdesak.
Semoga keluarga ini diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan anak-anak mereka dapat kembali menikmati hak mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak lain.
Sumber: Facebook Abbe Hae
FT Images: Facebook Abbe Hae
