Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Akidah Cucu Dijaga Sebaik Mungkin”– Nenek Berbeza Agama Besarkan Hazizah & Kini Berjaya Jejak UUM

pengorbanan nenek

Di sebalik kejayaan seorang anak melangkah ke menara gading, kadangkala ada insan yang berkorban dalam diam tanpa pernah meminta balasan. Begitulah pengorbanan nenek kepada Nur Hazizah Indrasafri yang membesarkannya sejak kecil, meskipun mereka berbeza agama dan latar belakang.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Facebook rasminya, memaparkan perjalanan hidup Hazizah yang penuh cabaran sebelum akhirnya berjaya menyambung pengajian di universiti berkenaan.

Baca juga: Pernah Pimpin ‘Counter-Terrorism’ Bukit Aman, Ini Sebab Tan Sri Ayob Khan Dinobat Tokoh Wira Negara!

PENGORBANAN NENEK CINA MEMBESARKAN CUCU MUSLIM

pengorbanan nenek

Gambar: Muhammad Amir Ikram (JOC SELECT)

Air matanya sama jernih, meski berlainan sejadah

Hazizah dibesarkan oleh nenek biologinya, Ng King Fong, di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Teratai, Ampang, selepas ibu bapanya berpisah ketika dia dan adik-adiknya masih kecil.

Walaupun berlainan pegangan agama, keadaan itu langsung tidak menghalang wanita berusia 72 tahun berkenaan daripada mengambil tanggungjawab menjaga cucu-cucunya.

Neneknya bekerja sebagai tukang masak dan pembersih bagi memastikan keperluan mereka cukup serta mereka dapat terus bersekolah.

Malah, apabila mendapat cadangan daripada guru, neneknya turut memberi kebenaran untuk Hazizah bersekolah agama.

Di rumah pula, wanita itu memahami keperluan cucunya sebagai seorang Muslim. Hidangan yang disediakan dipastikan halal, manakala soal akidah Hazizah turut dijaga sebaik mungkin.

Kasih sayang tersebut turut terpancar melalui perkara kecil yang mungkin tidak pernah dilupakan Hazizah.

Ketika hujan lebat di sekolah agama, neneknya pernah datang membawa payung semata-mata untuk melindungi Hazizah dan adiknya ketika menaiki van, sebelum berjalan pulang seorang diri dalam hujan.

Pernah jual lukisan untuk beli makanan

pengorbanan nenek

Gambar: Muhammad Amir Ikram (JOC SELECT)

Namun, kehidupan Hazizah bukanlah mudah sejak kecil. Ketika berada di Darjah 1, dia pernah menjual lukisan selepas waktu sekolah untuk mendapatkan makanan buat diri sendiri dan adiknya.

Bapanya ketika itu bekerja sebagai tukang kasut jalanan dan sering pulang lewat malam. Dalam kesempitan hidup, jiran-jiran yang prihatin turut membantu memberikan makanan kepada mereka.

Hazizah tidak pernah menyalahkan kedua-dua ibu bapanya atas apa yang berlaku.

Malah, dia masih menyimpan kenangan tentang bapanya yang pernah datang melawatnya di sekolah sambil meluahkan rasa serba salah kerana tidak mahir membetulkan tudungnya.

“Maafkan papa ya, nak. Papa tak reti pakai tudung dengan elok. Ini je papa mampu.” Bagi Hazizah, kata-kata itu cukup menggambarkan kasih sayang seorang bapa yang cuba memberikan yang terbaik mengikut kemampuannya.

Ibunya pula pernah bekerja sebagai juruwang dan dalam bidang F&B sambil berdepan masalah kesihatan. Walaupun tidak membesar bersama ibu, Hazizah tetap mengingati saat ibunya datang ketika dia dimasukkan ke wad akibat demam denggi dan mendoakan dia sembuh.

“Bagi saya, seorang ibu tidak semestinya perlu sempurna untuk tetap menjadi seorang ibu,” ujar Hazizah.

Segala pengalaman itu menjadi pembakar semangat buat Hazizah untuk mengubah kehidupan keluarganya.

Dia belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menamatkan pengajian diploma dengan PNGK 3.89, sebelum bekerja di sebuah hotel bagi mengumpul wang untuk menyambung pengajian.

Apabila mendapat tawaran mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM, Hazizah pada mulanya hampir menolak kerana memikirkan keadaan kewangan serta neneknya yang semakin uzur dan mengalami masalah penglihatan.

Namun, neneknya tetap mahu dia pergi.

Ketika Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, bertanya mengenai keputusan melepaskan cucunya menyambung pengajian jauh di utara. Jawapan wanita itu cukup ringkas tetapi mendalam, “Kalau dia suka belajar, biarlah dia belajar.”

Langkah ke UUM bawa harapan satu keluarga

pengorbanan nenek

Gambar: Muhammad Amir Ikram (JOC SELECT)

Akhirnya, jalan Hazizah dipermudahkan apabila dia terpilih menyertai Program Siswa SULUNG atas keprihatinan pihak UUM yang menyediakan pembiayaan yuran pengajian sehingga tamat.

Dia turut menerima bantuan komputer riba, dana kewangan serta bekalan makanan menerusi sokongan Pusat Zakat dan Wakaf UUM, SELECT dan SSSD.

Bagi Hazizah, peluang tersebut bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah.

Dia mahu menggunakan kejayaan itu untuk memberikan kehidupan lebih selesa kepada nenek, membantu ibunya dan membalas setiap keringat arwah bapa.

Kini, langkahnya ke UUM membawa bersama satu harapan besar, supaya segala kesusahan yang pernah dilalui keluarganya tidak perlu diwarisi generasi seterusnya.

Dan di sebalik kejayaan itu, ada seorang nenek yang memilih untuk tidak melihat perbezaan sebagai penghalang, sebaliknya terus menjaga cucunya dengan kasih sayang hingga membawanya sejauh ini.

“Kesusahan lalu adalah kekuatan saya hari ini. Terima kasih kepada keluarga, guru, jiran dan semua yang pernah hadir membantu perjalanan hidup saya. Terutama nenek,” ujarnya.

Sumber: Muhammad Amir Ikram (Universiti Utara Malaysia)

FT Image: Muhammad Amir Ikram (JOC SELECT)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×