Jasa dan pengorbanan dalam membanteras ancaman keganasan serta jenayah terancang membawa kepada pengiktirafan Tokoh Wira Negara buat bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
TAN SRI AYOB KHAN DINOBAT TOKOH WIRA NEGARA

Gambar Asyraf Hamzah: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri, Puan Sri Zalena Mohd Ariffin (kanan) pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H / 2026 di UPM Serdang.
Beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2026 bagi kategori berkenaan sebagai penghargaan terhadap sumbangan sepanjang kerjayanya dalam pasukan keselamatan negara.
Bagi Tan Sri Ayob, pengiktirafan itu bukan hanya untuk dirinya, malah turut mencerminkan pengorbanan dan jasa warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, beliau tidak menyangka dipilih menerima anugerah berkenaan kerana hanya dimaklumkan mengenainya dua atau tiga hari sebelum pengumuman.
“Saya tidak menyangka akan menerima pengiktirafan ini kerana saya dimaklumkan mengenai perkara ini dalam dua atau tiga hari lepas.
“Ini satu pengiktirafan kepada PDRM dalam konteks pengorbanan. Secara jujur, saya tiada pengalaman bertempur (berperang) dengan komunis dan pengganas kerana tugasan tertumpu tangkapan sahaja. Jadi ini pengiktirafan buat saya dan pasukan PDRM,” katanya.
Beliau pada masa sama menjelaskan bahawa sepanjang perkhidmatannya, tugasan beliau lebih banyak tertumpu kepada operasi tangkapan dan bukannya pengalaman bertempur dengan komunis atau pengganas.
Pernah terajui bahagian counter-terrorism bukit aman
Tan Sri Ayob mempunyai pengalaman luas dalam menangani isu keselamatan dan jenayah sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM.
Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah menerajui Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor serta mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Pengalaman tersebut menjadi antara sumbangan yang membentuk perjalanan kerjayanya sebelum beliau bersara daripada perkhidmatan kepolisan.
TOKOH LAIN YANG TURUT TERIMA PENGIKTIRAFAN

Infografik BERNAMA Radio
Dalam perkembangan sama, beberapa individu lain turut menerima pengiktirafan Tokoh Maulidur Rasul 2026 mengikut kategori masing-masing.
Maulana Abdul Hamid Chin dinobatkan sebagai Tokoh Agamawan atas sumbangannya dalam bidang pendidikan dan pengajian hadis bersanad selama hampir tiga dekad.
Beliau yang juga Syeikhul Hadis Madrasah Miftahul Uloom Seri Petaling serta penghafaz al-Quran menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan terhadap bidang pengajian agama, pondok dan tahfiz.
Sementara itu, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim menerima pengiktirafan Tokoh Perdana, manakala Profesor Dr Ruzita Mohd Amin dipilih sebagai Tokoh Wanita MADANI.
Muhammad Mikhael Sathayah pula menerima Tokoh Khas Saudara Baru Cemerlang.
Turut diberi pengiktirafan ialah Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir sebagai Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai Tokoh Belia Harapan dan Haji Laman Haji Yasim sebagai Tokoh Keluarga Mithali.
Kesemua pengiktirafan itu mengetengahkan sumbangan individu daripada pelbagai latar bidang yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.
Sumber: Berita RTM /
FT Image: Facebook Anwar Ibrahim
