Di saat kesihatan semakin menguji, Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, masih menyimpan satu hasrat yang cukup besar dalam hatinya, iaitu menerima sendiri ijazah hasil penat lelah sepanjang pengajian. Biarpun menghidap kanser otak tahap empat, impian itu cuba ditunaikan dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapanya yang sanggup menemani perjalanan jauh menggunakan ambulans selama dua hari.
Baca juga: Cipta Sejarah Wanita Malaysia Pertama Raih PhD Bidang Elektrofisiologi, Suraya Banggakan Negara!
DUA HARI DALAM AMBULANS, AFIQ PEJUANG KANSER OTAK GAGAHKAN DIRI MAHU TERIMA IJAZAH SENDIRI

Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy ditemani ibu bapanya sendiri sewaktu menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI ke-26 pada 10 Oktober 2026.
Perjalanan dari Arau, Perlis, ke Banting, Selangor, sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu, bukan sesuatu yang mudah. Namun, demi memastikan Afiq dapat menghadiri majlis konvokesyen dengan selamat, keluarganya sanggup melakukan apa sahaja yang termampu.
Walaupun memerlukan bantuan oksigen akibat keadaan kesihatannya, Afiq tetap berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) di Kolej Universiti TATI (UC TATI).
Ibu bapa sanggup tempuh perjalanan dua hari demi Afiq
Bapa Afiq, Kapten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, yang juga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata keinginan anaknya untuk hadir sendiri ke majlis konvokesyen membuatkan mereka sekeluarga berusaha mencari kaedah perjalanan yang sesuai dengan keadaan kesihatannya.
Menurutnya, mereka pernah mempertimbangkan untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkan Afiq menghadiri majlis tersebut. Bagaimanapun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatan anaknya tidak mengizinkan untuk menaiki pesawat.
Akhirnya, keluarga itu memilih perjalanan menggunakan ambulans supaya Afiq mendapat sokongan perubatan yang diperlukan sepanjang perjalanan jauh berkenaan.
“Sememangnya untuk hadir ke majlis konvokesyen ini adalah kemahuannya sendiri yang kami tidak mampu untuk menolaknya walaupun kami menyedari ia satu perjalanan jauh. Kami tempuhi perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini kerana keperluan kesihatannya.
“Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya malah pernah terfikir untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkannya hadir ke majlis konvokesyen ini. Namun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menaiki pesawat,” katanya.
Pengorbanan itu menggambarkan betapa besar keinginan ibu bapa untuk melihat anak mereka merealisasikan impian sendiri, meskipun terpaksa mengharungi perjalanan panjang dalam keadaan yang mencabar.
Afiq terima Anugerah Khas Aegrotat dengan ditemani ibu bapa

Perkhidmatan ambulans disediakan oleh 96 Hospital Angkatan Tentera(96 HAT) yang berpangkalan dari Lumut,Perak untuk membawa Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy ke Kemaman, Terengganu bagi menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI Ke-26 pada 10 Oktober 2026.
Di sebalik ujian kesihatan yang dihadapinya, kejayaan menamatkan pengajian melayakkan Afiq menerima Anugerah Khas Aegrotat pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26.
Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian akademiknya meskipun berdepan masalah kesihatan yang serius. Pada majlis berkenaan, Afiq menerima sendiri anugerah itu dalam keadaan berkerusi roda dengan ditemani kedua-dua ibu bapanya.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Datuk Ir. Kamaluddin Abd Rashid bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.
Bagi Afiq, detik menerima sendiri pengiktirafan itu pastinya membawa makna tersendiri selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang pengajian. Ia bukan sekadar tentang kejayaan memperoleh ijazah, tetapi juga peluang untuk meraikan hasil usahanya bersama insan yang sentiasa berada di sisinya.
Semangat Afiq jadi inspirasi buat anak muda

Rakan-rakan sekuliah merakamkan kenangan bersama Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI (UC TATI) ke-26, 10 Oktober lalu.
Perjuangan Afiq membuktikan bahawa setiap orang mempunyai perjalanan berbeza untuk mencapai impian. Ada yang dapat melaluinya dengan mudah, manakala ada juga yang perlu mengharungi ujian kesihatan dan cabaran hidup yang berat.
Dalam keadaan memerlukan bantuan serta perhatian rapi, keinginan Afiq untuk hadir sendiri ke majlis konvokesyen memperlihatkan betapa bermaknanya pencapaian tersebut buat dirinya.
Pada masa sama, pengorbanan ibu bapanya yang sanggup merentas tiga negeri menggunakan ambulans menjadi gambaran kasih sayang keluarga yang tidak berbelah bahagi. Mereka bukan sekadar menemani perjalanan jauh itu, malah berusaha memastikan Afiq berpeluang menikmati detik yang dinantikan setelah bertahun-tahun menuntut ilmu.
Semoga Afiq terus diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam perjuangannya menghadapi penyakit ini. Mudah-mudahan kisahnya menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk terus berusaha mencapai impian, walaupun perjalanan yang perlu ditempuh tidak selalu mudah.
Sumber: Malaysia Gazette
FT Image: Malaysia Gazette / Hjx Karim
