Bukan calang-calang kemahiran yang dimiliki seorang wanita apabila mampu menerbangkan jet pejuang, apatah lagi secara solo. Begitulah kehebatan Permaisuri Thailand, Ratu Suthida, yang mencuri perhatian baru-baru ini apabila berjaya menerbangkan pesawat pejuang Gripen secara bersendirian.
Baca juga: Cipta Sejarah Wanita Malaysia Pertama Raih PhD Bidang Elektrofisiologi, Suraya Banggakan Negara!
Permaisuri Thailand Pandu Jet Pejuang Gripen Secara Solo

Gambar Phralan.in.th: Raja Maha Vajiralongkorn menghadiahkan sejambak bunga kepada isterinya, Ratu Suthida.
Lebih menarik, baginda yang pernah bekerja sebagai pramugari Thai Airways itu sudah mempunyai pengalaman dalam bidang penerbangan sejak 2010, dengan hampir 1,190 jam penerbangan direkodkan.
Memetik laporan media antarabangsa, penerbangan solo itu berlangsung pada Khamis lalu dan disaksikan suaminya, Raja Maha Vajiralongkorn, yang turut meminati bidang penerbangan.
Terbang solo selepas jalani latihan selama beberapa minggu
Menerusi rakaman video yang dikeluarkan pihak istana, Ratu Suthida dilihat menerbangkan pesawat pejuang JAS 39C Gripen satu tempat duduk dari sebuah pangkalan udara tentera di wilayah Surat Thani, selatan Thailand.
Selain itu, media melaporkan penerbangan tersebut dilakukan selepas baginda menjalani latihan menggunakan simulator selama beberapa minggu di pangkalan berkenaan, selain memperoleh kira-kira 10 jam pengalaman menerbangkan pesawat Gripen dua tempat duduk.
Pencapaian itu menjadikan Ratu Suthida wanita pertama di Thailand yang menerbangkan jet pejuang Gripen secara solo.
Dulu pramugari, kini miliki hampir 1,190 jam penerbangan

Gambar สำนักพระราชวัง.
Sebelum bergelar permaisuri, Ratu Suthida pernah bekerja sebagai pramugari Thai Airways. Baginda berkahwin dengan Raja Maha Vajiralongkorn pada 2019, beberapa hari sebelum pertabalan baginda sebagai raja.
Minat dan penglibatan Ratu Suthida dalam bidang penerbangan bukan perkara baharu. Baginda mula menerbangkan pesawat pada 2010 dan telah mengumpul hampir 1,190 jam penerbangan.
Baginda juga pernah bertindak sebagai juruterbang pembantu kepada raja dalam beberapa perjalanan diraja, termasuk penerbangan ke Lapangan Terbang Paro di Bhutan yang terkenal dengan tahap kesukaran pendaratannya.
Dihadiahkan bunga selepas berjaya mendarat

Gambar Phralan.in.th.
Selepas Ratu Suthida berjaya mendarat, Raja Maha Vajiralongkorn menghadiahkan sejambak bunga kepada baginda.
Raja Thailand itu turut menyematkan lencana Golden Gripen Order pada lengan kiri permaisuri sebagai sebahagian daripada penghargaan selepas penerbangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Thailand kini mengoperasikan satu skuadron jet pejuang Gripen C/D buatan syarikat Saab dari Sweden.
Pada tahun lalu, negara itu turut menandatangani perjanjian bernilai kira-kira AS$556 juta (RM2.27 bilion) untuk memperoleh tiga jet Gripen E dan sebuah Gripen F. Penghantaran pesawat berkenaan dijadualkan selesai menjelang 2030.
Pencapaian Ratu Suthida ini memperlihatkan sisi berbeza seorang anggota keluarga diraja yang bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam penerbangan, malah berjaya mengendalikan jet pejuang Gripen secara solo selepas menjalani latihan khusus.
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Utusan Malaysia
