Inspirasi

Video 3 Remaja Jadi ‘Hero’ Tak Diduga, Terjun Sungai Tamparuli Selamatkan 2 Wanita Terperangkap Dalam Kereta

Sungai Tamparuli

Bayangkan sedang dalam perjalanan pulang, tiba-tiba kereta yang dinaiki mula dihanyutkan arus deras dan air semakin naik. Itulah detik mencemaskan yang dilalui dua wanita dari Semenanjung apabila kenderaan mereka terperangkap ketika melalui kawasan Sungai Tamparuli, Sabah, pada Khamis lalu.

Baca juga: Berlainan Agama, Pemuda Budiman Ini Sedekah Keperluan Surau Atas Nama Tun Dr Hasmah, “Semoga Beri Manfaat Kepada Jemaah…”

3 REMAJA TERJUN SELAMATKAN 2 WANITA DI SUNGAI TAMPARULI

Sungai Tamparuli

Tangkap layar video dikongsikan oleh Son Somido.

Dua wanita terperangkap ketika melalui jambatan

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika kedua-dua wanita terbabit dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas selesai mendaki Gunung Kinabalu.

Mereka menaiki sebuah Perodua Bezza dan dipercayai hanya bergantung kepada aplikasi navigasi untuk mencari laluan pulang.

Pemandu yang tidak mahir dengan laluan berkenaan dipercayai secara tidak sengaja melalui Jambatan Low Level Crossing Tamparuli yang ketika itu dilanda banjir.

Cuaca buruk serta paras air yang semakin meningkat menyebabkan keadaan menjadi semakin berbahaya, terutama apabila hari mula gelap.

Tidak lama kemudian, kenderaan terbabit mula terapung sebelum dihanyutkan arus deras. Kedua-dua wanita itu kemudian berdepan risiko lebih besar apabila kenderaan yang dinaiki mereka semakin jauh dibawa aliran air.

Tiga remaja sanggup gadai nyawa bantu mangsa

Sungai Tamparuli

Tangkap layar video dikongsikan oleh Son Somido.

Ketika orang awam cuba membantu, tiga remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Denny Affendy, Leno dan Rafi tampil dengan tindakan berani.

Mereka tidak sekadar melihat kejadian dari tebing, sebaliknya nekad turun ke sungai untuk membantu mengeluarkan kedua-dua wanita terbabit dari kenderaan. Tindakan pantas mereka akhirnya membolehkan kedua-dua mangsa dibawa ke tempat selamat.

Bagaimanapun, Perodua Bezza berkenaan tidak dapat diselamatkan dan tenggelam dalam arus. Beberapa barang peribadi serta dokumen pengenalan diri milik mangsa turut hilang.

Berdasarkan video di perkongsian Son Somido, hero remaja terbabit antara yang terawal terjun memberi pertolongan, sebelum beberapa individu lain turut membantu.

Keberanian tiga remaja berkenaan kemudian mendapat penghargaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli.

Beliau menyantuni dan meraikan mereka dalam satu majlis ringkas sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian yang ditunjukkan.

“Mereka tampil membantu ketika orang lain berada dalam bahaya. Mereka bukan sekadar membantu menyelamatkan sebuah kereta, tindakan pantas mereka juga membantu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Baca juga: Pernah Bergelar Juara Dunia, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan Pidato Raih Top 5 Di ‘Pentas Little Star’

Jambatan baru dibuka selepas sembilan bulan ditutup

Kejadian itu turut berlaku tidak lama selepas Jambatan Low Level Crossing Tamparuli dibuka semula kepada pengguna.

Jambatan berkenaan sebelum ini ditutup selama sembilan bulan bagi membolehkan kerja pembaikan struktur dijalankan susulan masalah tanah mendap.

Tinjauan di lokasi pada pagi selepas kejadian mendapati Perodua Bezza yang dihanyutkan arus masih tersadai di kawasan berkenaan. Malah, selepas kejadian banjir tersebut, laluan berkenaan ditutup semula kepada lalu lintas bagi membolehkan kerja pembersihan susulan dijalankan.

Bagi kedua-dua wanita terbabit, perjalanan pulang selepas mendaki Gunung Kinabalu bertukar menjadi pengalaman yang pastinya sukar dilupakan.

Namun dalam detik mencemaskan itu, keberanian Denny, Leno dan Rafi untuk mempertaruhkan keselamatan diri bagi membantu orang lain akhirnya memastikan kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan.


Sumber: Berita Harian (1) (2) / Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

FT Image: Son Somido / The Bah Story

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×