Pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali bukan sahaja meninggalkan kesan kepada keluarga dan kenalan rapat, malah turut menggerakkan hati masyarakat untuk melakukan kebaikan sebagai tanda penghormatan buat Allahyarhamah.
Baca juga: Biodata Tun Dr. Hasmah, Doktor Wanita Melayu Terawal Yang Banyak Berjasa Kepada Negara
PEMUDA BUDIMAN SEDEKAH SELIPAR & SABUN ATAS NAMA TUN DR HASMAH

Gambar: Adrian Edy
Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang lelaki bernama Adrian Edy berkongsi tindakannya menyedekahkan beberapa barangan keperluan surau dengan niat menghadiahkan pahala buat Tun Dr Hasmah.
Walaupun berlainan agama, keikhlasan Adrian menyediakan keperluan yang boleh dimanfaatkan jemaah ini mengundang perhatian ramai. Lebih menyentuh hati, dia memilih barangan yang boleh digunakan berulang kali, bukan sekadar sumbangan untuk kegunaan sementara.
Tergerak hati sejurus bangun pagi, pilih sedekah barangan keperluan surau
Menurut Adrian, niat tersebut hadir secara tiba-tiba ketika dia bangun pada pagi berkenaan. Pemergian Allahyarhamah yang memberi kesan kepada ramai membuatkan dirinya terdetik untuk melakukan sesuatu sebagai tanda ingatan.
“Tadi pagi bangun, tiba tiba terdetik dalam hati untuk buat sesuatu untuk mempermudahkan perjalanan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah ke negeri abadi, pemergiannya sangat memberi kesan kepada kita semua,” ujarnya.
Susulan itu, Adrian menghubungi seorang rakannya untuk membantu membeli beberapa barangan seperti selipar, sabun dan peralatan mencuci surau.
Pemilihan barangan tersebut dibuat kerana semuanya merupakan keperluan yang boleh digunakan secara berterusan oleh jemaah yang datang ke surau.
“Tadi terus mesej kawan, minta tolong belikan barangan seperti selipar, sabun dan peralatan untuk mencuci surau sebab benda benda ini akan digunakan selalu. Syukur semuanya dipermudahkan, semoga sedekah kecil ini akan dapat memberi manfaat kepada jemaah jemaah di sini,” ujarnya.
Niat sedekah, raih perhatian warga maya

Gambar: Adrian Edy
Lebih menyentuh hati, Adrian turut berkongsi bahawa dia pernah terbaca mengenai amalan sedekah yang manfaatnya boleh terus mengalir selagi barangan tersebut digunakan. Berpegang pada perkara itu, dia memilih untuk meniatkan sumbangan berkenaan buat Allahyarhamah.
“Edy ada terbaca di media sosial, selagi mana barangan ini digunakan, selagi itu pahala terus mengalir buat Allahyarhamah, Edy niat sedekah ini untuk Allahyarhamah Tun Dr Hasmah.
“Semoga roh Allahyarhamah Tun Dr Hasmah tenang di sana, ditempatkan di kalangan orang orang yang beriman, diampunkan segala dosa dosanya,” ujarnya lagi.
Hantaran yang disertakan beberapa keping foto itu menerima lebih 10,000 tanda suka, 1,200 perkongsian dan sekitar 1,000 komen daripada warga maya.
Rata-rata mereka meluahkan rasa kagum terhadap keprihatinan Adrian yang memilih untuk melakukan kebaikan walaupun berlainan agama. Antara komen yang ditinggalkan termasuk:
“Anak muda yang budiman, sesungguhnya jika kita berbuat baik, segala kebaikan itu akan kembali kepada kita,” tulis Joklai Zaiton.
“Masyaa Allah. Hebatnya pemikiran anak muda ini. Kagum!” komen Zaidah Mahadi.
“Terbaik Adrian Edy. Biarpn berbeza agama, tetap bersedekah atas nama arwah Tun Dr Hasmah. Semoga sentiasa diberikan kesihatan dilimpahkan rezekinya dan dipermudahkan segala urusan. Aamin,” tulis Zahidah AlFarabi Suhri.
Perkongsian tersebut mengingatkan kita bahawa kebaikan tidak semestinya perlu dilakukan dalam bentuk yang besar atau mewah. Kadangkala, barangan asas seperti selipar, sabun dan peralatan mencuci juga mampu memberi manfaat kepada ramai orang.
Buat Adrian, sumbangan kecil itu menjadi tanda ingatan buat Allahyarhamah. Semoga segala urusan dan niat baiknya dipermudahkan, manakala barangan yang disumbangkan dapat dimanfaatkan oleh jemaah yang menggunakannya.
Sumber: Facebook Adrian Edy
