Inspirasi

“20 Tahun Menyewa..”-Kisah Tuan Rumah ‘Hadiahkan’ Sebuah Rumah Kepada Penyewa Secara Percuma!

34
SHARES

Kisah tuan rumah menghadiahkan rumah sewa kepada penyewa secara percuma, amat jarang didengari. Malah, tindak-tanduk ini wajar dijadikan contoh, ekoran kedua-dua belah pihak mempunyai hati nurani yang mulia dan prinsip hidup yang saling memahami dan bantu-membantu.

Perkongsian ini diceritakan semula oleh Dr. Redza Zainol daripada kisah kawan ayahnya itu sendiri. Mari ikuti…

Baca juga: Sering Diejek Ketika Kecil, Kisah Hidup Cristiano Ronaldo Jadi Inspirasi Ramai

“20 TAHUN MENYEWA..” – KISAH TUAN RUMAH ‘HADIAHKAN’ SEBUAH RUMAH KEPADA PENYEWA SECARA PERCUMA!

“Kerja okay ke pa?”

Ayah cuma menggeleng kepala. Memang tak okay.

Dah hampir 25 tahun ayah jadi agen hartanah. Sampai ke hari ni ayah masih bekerja, cuma lebih santai. Buat sekadar mengisi masa, buat sebab minat.

Ayah pun mulakan cerita. Semalam ada seorang pemilik rumah minta ayah pergi ke rumah sewanya. Dia kata penyewa nak keluar dari rumah.

SELAMA 20 TAHUN MENYEWA, RUMAH SEWA DIJAGA SEPERTI RUMAH SENDIRI

Sempat pemilik rumah tu pesan pada ayah saya, “Nanti kalau jumpa dia, tolong cakap baik-baik dengan dia. Dia dah 20 tahun sewa rumah saya tu.”

Terkejut ayah. Rupanya dia dah menyewa flat tu sejak umur 18 tahun. Dari bujang sampai dah beranak pinak.

“Dia budak bagus, bayar sewa elok. Rumah pun dia jaga elok.” Ayah mengangguk.

Sampai saja di rumah, pintu berkunci. Rumah pun sunyi. Bila ayah hubungi penyewa, dia kata dia dah balik ke kampung. Kunci rumah dia nyorokkan bawah karpet tepi pintu.

Ayah masuk rumah dan tengok semua barang masih ada lagi.

“Eh, kenapa dia tak ambil semua barang ni?” Peti sejuk, meja, mesin basuh, perabut semuanya terletak elok.

“Encik, barang encik semua ada kat sini..”

Belum sempat ayah saya habis cakap, penyewa tu kata yang dia memang biarkan semuanya di situ.

EKORAN DIBUANG KERJA…

“Saya sebenarnya tak mampu nak sewa lori untuk pindah rumah. Saya baru kena buang kerja.” Waktu saya dengar, badan terasa sejuk. Hati ada bermacam rasa. Sedihnya lahai.

Ayah saya terus hubungi pemilik rumah dan ceritakan semuanya. Waktu ayah ceritakan tu, pemilik rumah tu menangis.

“Zainal, you tau tak dia ni sewa rumah saya sampai habis loan rumah saya. Dialah yang tolong bayarkan rumah saya ni sebenarnya.”

DIHADIAHKAN RUMAH SECARA PERCUMA!

“Sekarang, saya nak dia duduk rumah tu percuma. Selama mana yang dia nak.”

Bukan tu je, apa-apa kerosakan pada rumah tu, dia akan baiki secara percuma.

Fuh, macam drama. Tapi cerita sebenar.

Ayah saya kata, bukan penyewa je yang baik, pemilik rumah tu pun baik. Selama 20 tahun, dia tak pernah naikkan langsung sewa rumah tu.

Saya terkedu.

MANFAAT BUAT INSAN BERHATI MULIA…

Ini satu dari ribuan cerita rakyat Malaysia sekarang. Ada yang rajin bekerja tapi dibuang kerja. Ada yang kerja tak kira masa tapi masih tak cukup duit nak beli makanan untuk anak.

Menyewa tapi jaga rumah orang lain macam harta kita sendiri, itu perbuatan mulia. Kebaikan itu akan dibalas tak di dunia, pasti dibalas di akhirat.

Melihat di ruangan komen, sangat ramai yang tersentuh. Malah, tumpang gembira dengar perkhabaran ini. Menjadi sangat indah, bila kita saling memahami fungsi hidup antara satu sama lain.

Sikap pemilik rumah diibaratkan sebagai condong ditumpil, lemah dianduh. Di mana, sikap mulia tuan rumah memberi pertolongan kepada penyewa yang di dalam kesukaran dengan menghadiahkan sebuah rumah dengan percuma.

Juga, sikap penyewa yang amanah menjaga rumah sewa ibarat rumah sendiri, tidak culas membayar rumah sewa dan tanpa disangka bagai bulan jatuh ke riba, rezeki sebuah rumah untuk beliau.

Kisah ini wajar dijadikan tauladan buat kita semua supaya sentiasa buat kebaikan di dunia, kelak mendapat syafaat di akhirat sana. Semoga perkongsian ini memberikan inspirasi buat semua.

Sumber: Facebook Redza Zainol

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×