Pemergian Dr Siti Hawa Apandi, pesakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) pertama di Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian dari peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) di universiti sama, meninggalkan kesedihan buat keluarga serta warga akademik yang mengenali perjuangannya.
Allahyarhamah yang berusia 37 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada Selasa. Di sebalik kejayaan akademik yang membanggakan, kisah beberapa hari terakhir kehidupannya turut mengundang sebak apabila ibunya mendedahkan perubahan keadaan anaknya sebelum meninggal dunia.
Baca juga: Kes Sambung Semula Dua Tangan Putus Bukan Mudah, Hospital Selayang Catat 3 Kejayaan Luar Biasa!
PESAKIT SMA PERTAMA MALAYSIA TAMAT PhD, DR SITI HAWA MENINGGAL DUNIA

Gambar Sinar Harian: Zaidah Tamjis menunjukkan gambar anaknya, Allahyarhamah Dr Siti Hawa.
Ibu dedah Dr Siti Hawa mengadu letih sebelum meninggal dunia
Ibu Allahyarhamah, Zaidah Tamjis, 64, berkata anak ketiga daripada lima beradik itu mula mengadu keletihan sejak dua hingga tiga hari sebelum kejadian.
Menurutnya, Dr Siti Hawa yang biasanya mampu duduk lama sambil menggunakan komputer riba kelihatan berbeza apabila lebih banyak mahu berbaring dan berehat.
“Dia kata letih, nak baring sahaja,” ujarnya.
Zaidah berkata, keadaan itu berbeza daripada kebiasaan anaknya yang masih menggunakan komputer riba dalam tempoh yang lama.
“Dua tiga hari ini, dia nampak penat dan letih, cuma nak baring sahaja. Biasanya dia boleh duduk lama sambil menggunakan komputer riba, tetapi kali ini dia lebih mahu berehat.
“Selepas minum susu sekitar jam 6 petang semalam (Isnin), dalam setengah jam dia sudah kata nak baring. Biasanya dia minum susu lagi sekitar jam 9 atau 10 malam, tetapi kali ini dia tak mahu,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 Jalan Gambang pada Selasa.
Zaidah berkata, kira-kira jam 5.30 pagi, dia cuba mengejutkan anaknya tetapi tidak menerima sebarang respons.
“Saya kemudian hubungi ambulans dan pasukan perubatan tiba di kediaman dan mengesahkan anak saya telah meninggal dunia,” katanya.
Mengimbas kenangan bersama anaknya, Zaidah menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang tekun, penyabar dan tidak banyak bercakap.
Sebagai seorang ibu, dia mengakui berasa bangga dengan pencapaian anaknya meskipun berat menerima kehilangan tersebut.
Hidap SMA sejak kecil, tetap berjuang hingga genggam PhD

Gambar Muhammad Delima Atan (NSTP): Siti Hawa (tengah) bersama ibu bapanya, Apandi A. Hadi dan Zaidah Tamjis (di sebelah kirinya), serta Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts Dr Yatimah Alias (kanan), di Kuantan pada Ogos tahun ini.
Dr Siti Hawa disahkan menghidap SMA sejak zaman kanak-kanak. Penyakit genetik yang jarang berlaku itu menyebabkan fungsi ototnya merosot secara progresif sehingga beliau perlu bergantung sepenuhnya pada kerusi roda.
Namun, keadaan fizikal tersebut tidak menghalangnya daripada meneruskan pengajian tinggi.
Allahyarhamah memulakan pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada peringkat diploma pada 2007. Beliau kemudian menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, diikuti Ijazah Sarjana Sains Komputer sebelum berjaya memperoleh PhD dalam bidang berkaitan sains komputer dan kepintaran buatan.
Kejayaan itu melayakkan Allahyarhamah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pesakit SMA pertama di Malaysia yang menamatkan pengajian tinggi secara berterusan dari peringkat diploma hingga PhD di universiti sama.
Sepanjang perjalanan akademiknya, Dr Siti Hawa turut menerima beberapa pengiktirafan, termasuk Heitech Industry Excellence Award 2013 dan Anugerah Kecemerlangan Inklusif Abdullah Bin Ummi Maktum ketika pengajian PhD.
Hanya guna satu jari untuk siapkan tugasan PhD
Penyelia utama Allahyarhamah, Ts Dr Jamalluddin Salim dari Fakulti Komputeran UMPSA, menyifatkan Dr Siti Hawa sebagai seorang yang sangat berdisiplin, bijak menyusun kerja dan tekun sepanjang pengajiannya.
Menurutnya, keupayaan pergerakan tangan Allahyarhamah semakin terbatas dari tahun ke tahun. Jika pada awal pengajian kedua-dua belah tangannya masih boleh bergerak, keadaan itu berubah apabila beliau memasuki tahun ketiga dan keempat.
“Pada tahun kelima pengajian, beliau hanya mampu menggunakan satu jari untuk menyiapkan tugasan,” katanya.
Walaupun berdepan keterbatasan fizikal, Dr Siti Hawa berjaya menyiapkan penyelidikannya selepas lima tahun, manakala proses pemeriksaan mengambil masa sehingga tempoh keseluruhan pengajiannya memasuki tahun keenam.
Dr Jamalluddin turut merancang menghasilkan sebuah buku khas bagi mendokumentasikan perjalanan hidup dan ketabahan Allahyarhamah sebagai inspirasi kepada masyarakat.
UMPSA anggap pemergian Dr Siti Hawa satu kehilangan besar

Gambar: Facebook UMPSA.
Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr Yatimah Alias, menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan besar kepada universiti itu, khususnya kerana semangat dan pencapaian akademiknya menjadi inspirasi kepada golongan inklusif.
Beliau turut menghargai sokongan ibu bapa Allahyarhamah sepanjang perjalanan pengajiannya dari peringkat diploma hingga PhD.
Pemergian Dr Siti Hawa meninggalkan legasi perjuangan yang membuktikan keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Sebagai usaha mengabadikan kisah perjuangannya, UMPSA turut merancang penerbitan sebuah buku khas mengenai perjalanan hidup dan perjuangan Allahyarhamah Dr Siti Hawa bersama penyelia serta Pusat Inklusif universiti itu.
Allahyarhamah meninggalkan legasi yang bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga bukti ketekunan dan semangat untuk terus menuntut ilmu meskipun berdepan keterbatasan fizikal.
Jenazah Dr Siti Hawa disolatkan di Masjid Seri Mahkota Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 pada jam 11.30 pagi Selasa.
