Hasrat seorang bapa untuk melalui perjalanan bersama anak perempuannya berakhir dengan tragedi apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap kontena dalam kemalangan di kawasan Jalan Sepanggar, Sabah, pada petang Ahad.
Lebih menyayat hati, kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan selama kira-kira tiga jam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
DUA BERANAK MAUT DIHEMPAP KONTENA

Gambar Harian Metro: Keadaan kereta mangsa yang dihempap kontena dalam kejadian di Jalan Sepanggar, dekat Sabah Port, Sepanggar, Kota Kinabalu.
Treler hilang keseimbangan ketika mengangkat kontena
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum 26 anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai berkenaan.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah treler sedang menjalankan kerja mengangkat kontena dari tepi jalan utama Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay untuk dimuatkan ke atas treler tersebut.
“Sebaik tiba, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dihempap sebuah kontena.
“Menurut keterangan saksi, kejadian berlaku ketika sebuah treler sedang menjalankan kerja-kerja mengangkat kontena dari tepi jalan utama Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay untuk dimuatkan ke atas treler berkenaan.
“Bagaimanapun, ketika proses itu, treler dipercayai hilang keseimbangan lalu terbalik bersama kontena berkenaan sebelum menghempap sebuah Toyota Avanza yang sedang melalui jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Dua beranak tersepit hampir tiga jam

Gambar Sinar Harian.
Susulan kejadian itu, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan.
Bagaimanapun, operasi berkenaan memerlukan bantuan kren daripada syarikat lori terbabit bagi mengangkat kontena yang menghempap MPV tersebut.
Dua kren tiba di lokasi pada jam 9.21 malam sebelum operasi mengangkat kontena berjaya dilakukan. Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kenderaan yang remuk dihempap muatan berat itu.
“Pada jam 9.21 malam dua kren tiba di lokasi bagi membantu operasi mengangkat kontena yang menghempap kenderaan tersebut dan sebaik berjaya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.
Tragedi ini mengundang rasa pilu apabila dua nyawa terkorban dalam kejadian yang berlaku ketika sebuah kenderaan sedang melalui jalan berkenaan. Kehilangan seorang bapa dan anak perempuan dalam kemalangan sama pastinya meninggalkan kesedihan buat keluarga yang menanti kepulangan mereka.
Sumber: Sinar Harian
