Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Lain Macam VVIP Yang Ini”- Rakyat Bangga Panglima TUDM Pimpin Lintas Hormat & Pertunjukan Udara, Ini Profil Jeneral Tan Sri!

panglima TUDM

Deruman Sukhoi SU-30MKM yang membelah ruang udara Putrajaya sempena Hari Kebangsaan ke-69 bukan sahaja mencuri perhatian rakyat Malaysia, malah menyentuh hati keluarga apabila melihat aksi Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris, mengetuai pertunjukan udara.

Lebih istimewa, beliau sendiri berada di kokpit pesawat pejuang berkenaan ketika mengetuai lintas hormat dan pertunjukan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Baca juga: Pernah Pimpin ‘Counter-Terrorism’ Bukit Aman, Ini Sebab Tan Sri Ayob Khan Dinobat Tokoh Wira Negara!

PANGLIMA TUDM MEMBELAH RUANG UDARA PUTRAJAYA

panglima TUDM

Gambar Facebook TUDM

Menerusi siaran langsung dari kokpit, Muhamad Norazlan turut menyampaikan ucapan sempena Hari Kebangsaan sebelum meneruskan persembahan udara.

“Ampun Tuanku dan salam sejahtera rakyat Malaysia. Saya, Panglima Tentera Udara, serta seluruh perwira-perwira udara, berdiri teguh di angkasa demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Biar darah, keringat dan jiwa menjadi taruhan, Malaysia tetap kami pertahankan.

“Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-69, Malaysia Madani, kesejahteraan dinikmati. Duty, honour, sacrifice (tugas, kehormatan, pengorbanan). Ampun, Tuanku,” katanya.

Perasaan anak-anak

Di sebalik aksi tersebut, perhatian turut terarah kepada anak-anak Muhamad Norazlan yang meluahkan rasa bangga dan terharu melihat bapa mereka mendapat penghargaan daripada orang ramai.

“Kami sebagai anak-anak pun sangat bangga dengan Ayah. Melihat begitu ramai rakyat Malaysia turut menghargai dan bangga dengan Ayah buat kami sekeluarga rasa lebih bersyukur dan terharu.

“Selamat Hari Kemerdekaan ke-69,” kata @farishaemyra di Threads.

Dalam pada itu, pengguna @mz_salbee turut meluahkan rasa bangga sebagai anak kepada seorang veteran Tentera Darat.

“Bangga menjadi anak perempuan kepada seorang veteran Tentera Darat. Pengorbanannya adalah kebanggaan saya.

“Tabik hormat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan Aris, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.

Sementara itu, @farahezlyn pula berkongsi beberapa foto bapanya bersama anggota lain ketika menjalani latihan bagi persiapan sambutan Merdeka ke-69.

“Ayah & the squad rehearsing for Merdeka 69. Selamat Hari Kebangsaan yang ke-69,” katanya.

Aksi Muhamad Norazlan di udara turut menyentuh hati warga maya yang melihat seorang pemimpin tertinggi pasukan pertahanan udara negara sendiri menerbangkan pesawat pejuang sempena sambutan kemerdekaan.

Malah, penglibatan beliau sebagai satu bentuk pengorbanan yang memperlihatkan komitmen anggota keselamatan terhadap negara.

Baca juga: Digelar Lelaki Melayu Terkaya Malaysia, Kenali Sisi Jutawan ‘Low Profile’ Ini!

BIODATA JENERAL TAN SRI DATO’ SRI HAJI MUHAMAD NORAZLAN BIN ARIS

Antara fakta menarik mengenai beliau ialah:

  1. Beliau dilahirkan di Kota Tinggi, Johor pada 9 November 1967.
  2. Kerjaya beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia bermula selepas menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi dari 1985 hingga 1987.
  3. Beliau memulakan latihan penerbangan pada 1988 di TUDM Alor Setar sebelum terpilih untuk menerbangkan pesawat pejuang.
  4. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menerbangkan Aermacchi MB339A, A4PTM Skyhawk, MiG-29N/UB dan Sukhoi SU-30MKM.
  5. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam TUDM termasuk Pegawai Memerintah No. 11 Skuadron SU-30MKM, Komander Pangkalan PU Gong Kedak, Panglima Bantuan Udara, Panglima Operasi Udara dan Timbalan Panglima Tentera Udara.
  6. Beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Udara ke-21 pada 26 Jun 2025.
  7. Muhamad Norazlan pernah mengikuti Kursus Staf Maktab Turus Angkatan Tentera, Fighter Weapon Instructor di Kanada, Higher Defence Orientation di India serta kursus Strategic Studies di United Kingdom.
  8. Beliau memiliki Diploma in Strategic & Defence Studies dari Universiti Malaya, Master of Maritime Policy dari University of Wollongong, Australia serta kelulusan dalam International Security and Strategic Leadership Studies di United Kingdom.
  9. Antara pengiktirafan yang diterima beliau termasuk Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) dan pelbagai darjah kebesaran negeri.
  10. Beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak lima kali sepanjang perkhidmatan ketika berpangkat Kapten, Mejar, Leftenan Kolonel, Kolonel dan Brigedier Jeneral.
  11. Muhamad Norazlan mendirikan rumah tangga bersama Puan Sri Datin Sri Hajah Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor pada 19 Ogos 1994. Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata perempuan.

Sumber: Portal Tentera Udara Diraja Malaysia / Threads (1) (2) (3) (4)

FT Image: Facebook TUDM (1)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×