Di sebalik kejayaan Mohamad Zulfithri Mohd Johari hari ini, ada seorang pekerja pembersihan yang selama puluhan tahun tidak pernah berhenti berusaha demi memastikan anak-anaknya mendapat kehidupan dan pendidikan lebih baik.
Bagi Mohamad Zulfithri, 25, pekerjaan bapanya, Mohd Johari Shafie, 51, tidak pernah menjadi sesuatu yang memalukan untuk diceritakan kepada orang lain.
SAYA TAK PERNAH MALU ABAH SEBAGAI PEKERJA PEMBERSIHAN

Gambar hantaran TikTok: Mohamad Zulfithri Mohd Johari meraikan kejayaan pada hari konvokesyen bersama ibu, Hasmawati Abdul Hamid dan bapanya, Mohd Johari Shafie.
25 tahun abah cari rezeki di R&R
Sebaliknya, pekerjaan itulah yang menjadi bukti pengorbanan seorang bapa dalam membesarkan tiga anak sehingga mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah.
Sebelum ini, luahan penuh makna dikongsikan Zulfithri menerusi TikTok mendapat perhatian selepas memuat naik gambar bersama ibu, Hasmawati Abdul Hamid, 50, dan bapanya sempena majlis konvokesyen.
Menurut Zulfithri, bapanya sudah 25 tahun bekerja di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Perak dan masih mencari rezeki di lokasi sama sehingga kini.
Selain pekerjaan utama, Mohd Johari turut melakukan kerja sambilan dengan mengambil upah menukar tayar motosikal untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi keluarga.
Ketika keadaan kewangan keluarga tidak begitu mudah, bapanya juga pernah mengumpul tin dan mendapatkan gaji pendahuluan daripada syarikat untuk menampung keperluan mereka.
Antara kenangan yang paling melekat dalam ingatan Zulfithri ialah ketika dia dibawa ke tempat kerja bapanya. Ketika itu, dia dapat melihat sendiri bagaimana bapanya bekerja membersihkan kawasan R&R.
Namun, ketika masih kecil, Zulfithri mengakui dia belum benar-benar memahami betapa besar pengorbanan yang dilakukan bapanya.
Kini selepas dewasa dan mempunyai pekerjaan sendiri, barulah dia sedar bahawa banyak perkara yang dinikmati keluarganya selama ini dibayar dengan penat lelah bapanya.
“Dulu kami tengok abah balik kerja dengan badan penat, tapi kami tak pernah betul-betul faham sebesar mana pengorbanan abah.
“Sekarang bila abang dah besar, baru abang sedar… rupanya banyak benda yang kami ada hari ini dibayar dengan penat lelah abah,” tulisnya.
Zulfithri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, bapanya seorang yang pendiam tetapi tegas dalam mendidik anak-anak.
Antara pesanan yang masih dipegangnya sehingga kini ialah supaya dia belajar bersungguh-sungguh kerana ibu bapanya dahulu tidak berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tinggi.
Sebagai anak sulung, kata-kata tersebut menjadi pembakar semangat buat Zulfithri untuk berjaya dan mengubah kehidupan keluarga.
Walaupun mengakui tidak dapat membanggakan ibu bapanya ketika di bangku sekolah, dia akhirnya diberi kepercayaan menjadi Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika di universiti.
Pengalaman itu membawanya berpeluang ke Turkiye dan Korea Selatan selain mencipta satu lagi kenangan manis ketika majlis konvokesyen pada 25 November tahun lalu. Pada hari tersebut, Zulfithri berpeluang naik ke pentas untuk menerima anugerah kepimpinan.
Baginya, perkara paling menggembirakan bukan sekadar menerima anugerah, tetapi melihat ibu dan bapanya tersenyum bangga.
Kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah kementerian, Zulfithri bersyukur kerana sudah mampu berkongsi rezeki dengan kedua-dua orang tuanya.

Gambar hantaran TikTok
Jika dahulu bapanya hanya mempunyai motosikal, kini dia sudah mampu membeli kereta dan membawa ibu serta bapanya berjalan-jalan dengan kenderaan tersebut.
Malah, dia turut menyimpan impian untuk membawa kedua-dua orang tuanya ke Tanah Suci sekiranya mempunyai rezeki yang lebih pada masa akan datang.
Bagi Zulfithri, keluarganya mungkin tidak hidup dalam kemewahan, namun dia bersyukur kerana segala keperluan mereka mencukupi.
Lebih penting, dia tidak pernah melihat pekerjaan bapanya sebagai sesuatu yang memalukan. Sebaliknya, dia bangga kerana setiap pendapatan yang diperoleh bapanya datang daripada usaha dan titik peluh sendiri.
“Sejak kecil sampai sekarang, saya tak pernah malu malah bangga bercerita dengan orang mengenai pekerjaan abah kerana ia kerja yang mulia,” katanya kepada media tempatan.
Jangan malu dengan pekerjaan ibu bapa
Dalam hantaran sempena ulang tahun kelahiran bapanya pada 13 Ogos lalu, Zulfithri turut mengingatkan bahawa setiap pencapaian adik-beradiknya hari ini tidak boleh dipisahkan daripada pengorbanan kedua-dua ibu bapanya.
Zulfithri turut menitipkan pesan supaya tiada anak berasa malu dengan pekerjaan ibu atau bapa mereka selagi pekerjaan tersebut dilakukan dengan jujur dan sumber rezeki yang halal.
Buat Zulfithri, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan miliknya seorang.
Di sebalik setiap pencapaian, ada seorang bapa yang selama 25 tahun terus bekerja tanpa jemu demi memastikan tiga anaknya mendapat peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih baik.
“Abang mungkin tak selalu cakap, tapi abang bangga sangat jadi anak abah,” tulisnya.
Sumber: Berita Harian / TikTok @zulfithri_
FT Image: TikTok @zulfithri_
