Bakat anak-anak Kelas Pendidikan Khas (PPKI) bukan sesuatu yang wajar dipandang sebelah mata, malah hasil video VFX pelajar PPKI ini yang mengubah Proton X90, bas universiti dan pesawat ringan menjadi robot ala Transformers, membuktikannya.
Kreativiti tersebut mendapat perhatian selepas seorang guru dikenali sebagai Cikgu Hazeem Azemi berkongsi video di Threads yang menunjukkan dirinya membimbing seorang pelajar menghasilkan kandungan visual berkenaan.
CIKGU DIPUJI BANTU PELAJAR PPKI HASILKAN VIDEO VFX ALA-ALA ‘TRANSFORMERS’

Dalam perkongsian itu, Cikgu Hazeem dilihat mengawal kedudukan serta pergerakan pelajar berkenaan ketika proses rakaman dilakukan di kawasan luar.
Apa yang lebih mengagumkan, hasil rakaman tersebut kemudiannya disunting sendiri oleh pelajar berkenaan sehingga menghasilkan visual seolah-olah kenderaan-kenderaan itu sedang bertukar menjadi robot seperti dalam filem Transformers.
Antara video yang mencuri perhatian memaparkan sebuah Proton X90.
Dalam video tersebut, beberapa bahagian kenderaan seperti enjin, komponen rim tayar dan lampu hadapan kelihatan terkeluar daripada kedudukan asal secara gerakan perlahan.
Bahagian-bahagian berkenaan kemudiannya bergabung dan berubah menjadi sebuah robot gergasi. Hasil suntingan tersebut membuatkan ramai terpegun kerana visual yang dihasilkan kelihatan seperti babak daripada sebuah filem aksi.
Bukan itu sahaja, sebuah bas universiti turut dijadikan bahan untuk menghasilkan video VFX yang tidak kurang menariknya. Bas yang pada awalnya kelihatan seperti biasa kemudiannya berubah menjadi sebuah pesawat besar sebelum berlepas ke udara.
Kesan bunyi yang ditambah dalam video tersebut turut menjadikan hasil akhir kelihatan lebih dramatik.
Sebuah pesawat ringan juga tidak terlepas daripada sentuhan kreatif murid berkenaan apabila ia ditampilkan berubah menjadi robot berwarna putih sebelum kembali kepada bentuk asalnya dan berlepas.
Lihat di Threads
Di sebalik hasil kreatif itu, Cikgu Hazeem turut berkongsi prinsipnya dalam membimbing anak-anak PPKI.
Beliau berkata mungkin ada pihak yang pernah mempersoalkan tindakannya dalam membimbing murid PPKI, namun keyakinannya terhadap potensi anak-anak ini tidak pernah berubah.
“Saya sentiasa yakin, Allah mencipta dan menyempurnakan. Di sebalik kekurangan mereka, pastinya ada kelebihan,” ujarnya.
Perkongsian tersebut kemudian mendapat pujian ramai yang melihat usaha Cikgu Hazeem sebagai contoh bagaimana guru boleh membantu murid mengenal pasti dan mengembangkan bakat yang dimiliki.
Seorang pengguna Threads menyifatkan guru berkenaan sebagai individu yang berjaya ‘mentransformasikan’ anak-anak PPKI menjadi lebih yakin dan berbakat.
“Bertuah anak-anak ni dapat cikgu yang hebat! Cikgulah Transformer tu, mentransformasi anak-anak PPKI jadi hebat!” katanya.
Seorang lagi pengguna turut memuji usaha tersebut kerana berjaya mencabar tanggapan bahawa murid PPKI tidak mampu menceburi bidang profesional.
“Masya-Allah cikgu teruskan menjadikan anak-anak PPKI ni berguna dan buang stigma masyarakat yang kata anak-anak PPKI ni nanti tak boleh kerja bidang profesional. Bahkan saya dulu pun berfikiran begitu sampai la anak saya sendiri yang PPKI,” katanya.
Lihat di Threads
Bukan sekadar memuji usaha guru, warga maya turut mengakui mereka kagum dengan kemahiran suntingan yang ditunjukkan oleh murid tersebut.
“Masalahnya aku yang normal ni pun tak nampak lagi masa depan aku. Adik ni power betul editing dia,” kata seorang wanita.
Seorang lagi yang mengakui dirinya peminat Proton turut teruja melihat hasil video tersebut.
“Sebagai peminat Proton, saya rasa video ni terlalu gempak. Padahal dah biasa tengok Proton X90. Tapi video ni punya wow,” katanya.
Perkongsian Cikgu Hazeem itu akhirnya membuka mata ramai bahawa setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri.
Dengan bimbingan yang tepat, ruang untuk mencuba dan guru yang percaya kepada kebolehan mereka, anak-anak PPKI juga mampu menghasilkan sesuatu yang kreatif, berkualiti dan mungkin menjadi kemahiran bernilai untuk masa depan.
Lihat di Threads
Sumber: Threads @hazeem_azemi
FT Image: Threads @hazeem_azemi
