Dapur

Jangan Cakap Pandai Masak Kalau Tak Tahu 29 Petua Memasak Ini

13
SHARES
petua memasak

Memasak merupakan terapi untuk seseorang tetapi ia bukanlah perkara mudah kerana banyak petua di dapur yang perlu amalkan supaya masakan anda tidak gagal dan sedap.

Jadi, untuk mengelakkan anda kecewa, di bawah ini kami kongsikan 29 petua memasak di dapur untuk dipraktikkan. Pasti orang lain pun terkejut!

Baca juga: Fuh! Memang Lega Tekak Dapat Minum Air Vanilla Blue AisKrim. Sedapnya!

29 PETUA MEMASAK DI DAPUR ANDA KENA PRAKTIKKAN

petua memasak

1. SAYUR KEKAL SEGAR 

Cuci sayur dengan air yang diletak dengan sedikit cuka dan masukkan ke dalam beg plastik. Simpan dalam peti sejuk. Boleh tahan lebih seminggu.

2. HILANGKAN HANYIR IKAN 

Setelah disiang, rendamkan ikan dalam air yang dicampur limau nipis/limau kasturi selama 30 minit.

3. ELAK IKAN/AYAM LEKAT DI KUALI

– Untuk mengelakkan ikan atau ayam melekat di kuali, minyak hendaklah memenuhi ikan/ayam dan dipanaskan terlebih dahulu sebelum masukan lauk.

– Ketika menggoreng ikan, perap ikan bersama asam gelugur. Kemudian goreng asam gelugur hingga hitam diikuti ikan. Hasilnya, ikan tidak melekat lagi.

4. ELAK PERIUK JADI HITAM

Sebelum memasak, sapu minyak masak atau sabun cream cuci pinggan pada bahagian luar periuk itu. Ia akan mudah dicuci.

5. BAWANG TAHAN LAMA 

Untuk memudahkan kerja memasak, bawang boleh dikopek awal tetapi jangan dibasuh. Simpan dalam bekas plastik dan masuk peti sejuk.

6. TELUR MUDAH DIKOPEK 

Telur hendaklah direbus dengan sedikit garam sebelum kopek.

7. ELAK GETAH NANGKA

Sapukan pisau dengan minyak masak sebelum membelah nangka. Tangan juga boleh disapu minyak jika terkena getah nangka. Gosok dengan kain buruk dan cuci bersih.

8. CARA BERSIHKAN PENGISAR 

Untuk menghilangkan bau pengisar selepas mengisar cili atau bawang, kisar sedikit hampas kelapa dengan sedikit air untuk menghilangkan bau dan daki.

8. CUCI KERANG/SIPUT SEDUT

Masukkan hampas kelapa bersama kerang didalam besen dan gaulkan bersama sedikit air. Tunggu beberapa dan hasilnya kerang tadi akan bersih dan putih.

9. TAUHU TIDAK MELEKAT 

Taburkan garam halus pada permukaan atas dan bawah tauhu sebelum digoreng. Hasilnya, tauhu tidak melekat lagi.

10. BERSIHKAN PERUT LEMBU 

Untuk memutihkan perut lembu, rendam dan gaulkannya dengan bancuhan kapur sirih berserta rincikan daun pisang atau daun lalang. Lakukan beberapa ketika sebelum dibilas dengan air bersih.

petua memasak

11. SANTAN TAHAN LAMA 

Untuk memastikan santan tidak berbau dan tahan lama, masukkan dua/tiga cili padi ke dalam santan dan simpan di dalam peti sejuk.

12. SEGARKAN TAUGEH 

Taugeh akan menjadi segar walaupun berhari-hari sekiranya anda mencampurkan perahan air limau nipis.

13. HILANGKAN KESAN BAU PAPAN PEMOTONG

Ambil sebiji limau nipis dan potong dua. Sapukan limau tersebut pada permukaan papan pemotong. Hasilnya bau akan hilang.

14. RASA MAKANAN DI BULAN PUASA 

Ketika di bulan puasa agak sukar untuk kita menentukan rasa garam atau gula. Cara yang paling mudah adalah dengan meletakkan setitik kuah di atas kuku ibu jari tangan anda. Jika didapati bulatan itu berbentuk kecil dan kemas bermakna telah cukup rasanya.

15. ELAK NASI HANGIT 

– Masukkan beberapa tangkai cili kering dan tutup dengan daun pisang. Bau hangit akan hilang.

– Ambil kulit bawang, cuci dan masukkan ke dalam periuk nasi yang hangit tadi dan tutupkan

– Ambil daun pandan, masukkan ke dalam mangkuk dan letakkan pada tengah-tengah nasi yang hangit.

16. NASI LAMBAT BASI 

Ketika menanak nasi, masukkan dua hingga tiga kuntum bunga cengkih beserta secubit garam halus.

17. KACANG BENDI SEGAR 

Didihkan air panas dan masukkan satu sudu kecil minyak masak. Kemudian rebus kacang bendi tanpa memotong mana-mana bahagian untuk mengelakkan ia daripada berlendir. Tetapi, jangan rebus terlalu lama.

18. CILI KISAR TAHAN LAMA

Setelah dimesin, cili tersebut hendaklah dipanaskan dengan memasukkan sedikit garam halus. Panaskan hingga kering airnya. Biarkan sejuk dan masukkan ke dalam bekas bertutup untuk disimpan dalam peti sejuk.

19. HILANGKAN LENDIR UBI KELADI

– Caranya, kupas ubi keladi dan potonglah mengikut keperluan masakan. Sediakan bekas berisi air yang telah dicampurkan dengan satu sudu teh kapur (makan) sirih.

– Masukkan ubi keladi berkenaan dan basuhlah sehingga lendir-lendir berkurangan. Toskan dan bilas denga air bersih.

20. SAYUR CELUR KEKAL SEGAR 

Sebelum celur sayur, campurkan sedikit minyak masak ke dalam air yang digunakan untuk merebus. Toskan sayuran dan hidang.

petua memasak

21. PULUT BERLEMAK

Untuk menyedapkan pulut yang dimasak. Caranya, rendam pulut semalaman kemudian masak denga air kelapa.

22. MENANGGALKAN KERAK NASI  

Rebus kulit kentang di dalam bekas yang mengandungi kerak tersebut selama beberapa minit. Setelah air panas, kerak tersebut akan tanggal dengan sendirinya.

23. HARUMKAN BAWANG TUMIS 

Bagi menaikkan bau wangi ketika menumis bawang putih pastikan bawang putih itu dicincang dahulu.

Untuk bawang merah pula, masukkan sedikit garam ketika menumis. Pasti wangi baunya .

24. ELAK MATA PEDIH KUPAS BAWANG

– Untuk mengatasi masalah pedih mata ketika mengupas bawang. Simpan bawang yang hendak digunakan di dalam peti sejuk beberapa jam sebelum digunakan.

– Bawang akan lebih mudah dan cepat disiangkan selepas dikeluarkan dari peti sejuk.

petua memasak

25. RANGUPKAN KENTANG GORENG

– Setelah dikupas kulit, dibasuh dan dipotong, gaulkan kentang tersebut dengan garam secukupnya sehingga rata.

– Kemudian masukkan kentang tersebut ke dalam bekas yang berlubang seperti penapis santan dan toskan 1 – 2 jam hingga kentang kering.

– Selepas itu gorenglah kentang tersebut menggunakan minyak yang banyak di atas api sederhana agar betul-betul rangup. Pasti rangupnya seperti yang dibeli dari kedai makanan segera.

26. CARA MUDAH KOPEK UDANG 

– Campurkan sedikit garam ke dalam semangkuk air. Kemudian rendam udang selama 10 minit. Kulit udang akan terbuka dengan sendirinya.

– Perahkan limau nipis ke dalam semangkuk air. Masukkan udang. Biar selama 15 minit.

– Rendam udang ke dalam air panas. Biarkan seketika.

27. ELAK IKAN MASIN HANCUR 

Taburkan sedikit tepung gandum pada ikan masin terlebih dahulu sebelum menggoreng.

28. ELAK MINYAK MERECIK 

– Masukkan sedikit garam kasar ke dalam minyak yang telah dipanaskan. Kemudian baru menggoreng.

– Ketika memanaskan minyak masak, masukkan sekeping asam gelugur dan biarkan seketika. Keluarkan asam gelugur apabila hendak menggoreng.

29. NASI LEMAK CEPAT MASAK 

– Kalau nak nasi lemak cepat masak, masukkan sebatang garpu atau sudu ke dalam periuk nasi yang hendak digunakan. Biarkan di dalam beras sehingga nasi masak.

*Fuhhh, banyak betul petua memasak yang ramai orang tak tahu.

Baca juga: Nampak Sama Warna Merah Tapi Sebenarnya Ada Banyak Jenis Cili Kering

Sumber: Perpustakaan Desa Kampung Parit Ulong

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×