“Kerja dari rumah bukannya susah mana. Tak payah nak bersiap, boleh buat di mana-mana. Sambil jaga anak pun tak ada masalah.”
Inilah antara pendapat suami ataupun sesiapa pun yang belum pernah memerhatikan aktiviti ibu yang menjalankan kerja dari rumah.
Tidak dinafikan, pelbagai keistimewaan dan kelebihan mereka yang tidak perlu ke pejabat dan bekerja seperti rutin biasa. Atas sebab itulah ramai wanita yang berpendidikan tinggi sanggup melepaskan kerjaya dan pangkat di syarikat lama semata-mata untuk menguruskan anak-anak. Namun, ia tetap mempunyai cabaran yang tersendiri.
5 Perkara Suami Tak Tahu Tentang Wanita Yang Bekerja Dari Rumah
Ada yang membuat kerja part-time daripada pejabat lama, mengambil upah menjahit, katering, menjadi blogger, membuat akaun untuk syarikat, merekabentuk hiasan dalaman, atau menjalankan bisnes sendiri.
Kerja dari rumah memang nampak mudah, tapi mungkin ada perkara yang Encik Suami tak tahu atau tak perasan.
1. Ada Rutin Yang Perlu Dipenuhi
Walaupun kerja dari rumah kedengaran lebih fleksibel, tetapi mereka perlu sangat berdisiplin agar dapat melakukan semua tugasan dan menyeimbangkan dengan urusan anak-anak dan mengurus rumah.
Maka, jika kadangkala anda bercuti atau anak kurang sihat, anak meragam, ada mesyuarat PIBG, semua rutin ini akan mengganggu kerja mereka.
Maka tidak hairanlah kadangkala anda balik rumah dan melihat ia masih bersepah, tak sempat masak makan malam, dan sebagainya. Mereka sendiri hanya sempat minum secawan kopi dari pagi tadi!

Foto Kredit: radiomontecarlo.net
2. Masa Sangat Padat
Pernahkah anda bayangkan bagaimana mereka membahagikan diri mereka untuk melakukan kerja rumah, memasak, ambil anak balik sekolah, menguruskan diri, dan membuat kerja dari rumah?
Ia bukanlah semudah yang anda sangkakan. Dalam keadaan yang sibuk dengan melayan karenah anak-anak, kadangkala mereka terpaksa mengorbankan masa untuk diri sendiri dalam banyak hal.
Malah, kajian yang dilaporkan melalui akhbar Daily Mail menunjukkan bahawa wanita hanya mempunyai 17 minit sehari untuk diluangkan bagi kepentingan diri sendiri.

Foto Kredit: parenting.com
3. Mereka Tak Dapat ‘Bercuti’ Seperti Anda
Ada yang memilih untuk bekerja di hari cuti kerana pada hari minggu mereka kurang masa untuk menumpukan perhatian.
Ada juga yang terpaksa bekerja di hari cuti untuk ‘menampung’ semula pekerjaan yang ditangguhkan semasa hari minggu.
Walau apa pun, tugas-tugas menguruskan anak dan rumah biasanya tidak berpenghujung.
Hari cuti atau tidak, sama saja bagi mereka. Malah, mungkin lebih lagi kerja yang perlu dilakukan pada cuti kerana lebih ramai orang yang memerlukan perhatiannya di rumah.
4. Mereka Perlu Ruang Sendiri
Kalau anda ingat mereka boleh membuat kerja sambil berbaring atau di mana-mana, anda silap. Malah, ada juga yang sengaja mengenakan pakaian kerja supaya datang ‘mood’ kerja.
Walaupun di rumah sendiri, mereka masih perlu mempunyai sebuah ‘ruang privasi’ untuk mereka menjadi lebih efisyen.
Jadi, eloklah kalau anda tak mengalihkan barang mereka atau meletakkan barang-barang lain di tempat itu. Kalau tak kena gaya, boleh mengamuk jadinya!

Foto Kredit: thestar.com
5. Mereka Juga Stres
Ibu yang kerja dari rumah ini biasanya tidak memberitahu anda tentang kepenatan mereka menjayakan cita-cita sendiri. Mungkin mereka takut anda akan menyuruh mereka berhenti kerja atau memperlekehkan bisnes mereka yang baru bermula.
Keazaman wanita untuk ‘membuktikan’ sesuatu pada diri sendiri ini boleh menjadikan mereka stres dan amat letih. Tetapi, ia dapat memberi kepuasan dan meningkatkan motivasi diri.
Jadi, tidak hairanlah mereka akan mula tidur awal dan mungkin tidak lagi dapat melayan anda seperti dahulu lagi.

Foto Kredit: goodhousekeeping.com
6. Mereka Perlu Sokongan Anda
Jika kerja-kerja ini tidak dapat disiapkan pada waktu siang, ada yang terpaksa melakukannya setelah anak-anak tidur.
Pada awalnya, kebanyakan wanita masih mencari rentak dan kesesuaian dalam mengatur jadual mereka.
Jangan sesekali anda memandang remeh pada usaha mereka walaupun ada yang sekadar berniaga kecil-kecilan. Walaupun tidak banyak pendapatan yang dapat dijana, namun ia cukup bererti bagi mereka.

Foto Kredit: huffingtonpost.com
Kerja Dari Rumah Juga Boleh Berjaya
Wanita yang bekerja dari rumah adalah wanita yang cuba mengejar cita-cita mereka walaupun terpaksa mengorbankan sebahagiannya untuk melihat anak membesar.
Namun, di sebalik segala kepayahan, tersemat seribu satu harapan untuk meneruskan impian dan merasai hasil titik peluh sendiri.
Dengan sokongan anda, tidak mustahil mereka bakal mengukir nama ke peringkat yang lebih tinggi pada suatu hari nanti!