Inspirasi

Wahai Anakku, Ini 5 Sebab Kenapa Mama Mesti Bekerja

2.2K
SHARES

“Mama, Mama ni asyik kerja je. Kenapa Mama kena kerja? Papa kan dah kerja. Mama duduk rumah sajalah dengan Nini dan Abang. Kita main sama-sama, buat aktiviti sama-sama, baca buku sama-sama, kan seronok.”

Aduhai anakku, soalan begini memang menusuk jantung. Susahnya nak menerangkan pada kamu yang masih belum kenal dunia. Bukan mudah melalui hari-hari yang sukar apabila kamu menangis dan tak mahu dihantar ke pengasuh. Mama juga berasa sayu dan terasa diri ini ‘kejam’ apabila terpaksa meninggalkan kamu dalam keadaan sedemikian.

Disebabkan itu, Mama dulu pernah berhenti kerja untuk menjaga kamu semasa kecil, mungkin waktu itu kamu terlalu kecil untuk mengingatnya. Tapi kini, kamu sudah semakin besar dan Mama rasa lebih mudah untuk kembali bekerja. Tapi, kenapa Mama mahu bekerja? Kenapa tidak terus menjadi surirumah?

kerja dari rumah

Foto Kredit: radiomontecarlo.net

5 Sebab Mama Ingin Jadi Wanita Bekerja

Di sini Mama coretkan dahulu dengan harapan mungkin suatu hari nanti kamu akan faham mengapa Mama mahu menjadi seorang wanita bekerja.

1. Kejar Cita-cita

Setiap manusia mempunyai cita-cita sejak kecil. Impian adalah sesuatu yang amat peribadi dan ia banyak mempengaruhi keyakinan diri dan haluan hidup seseorang. Mama telah melalui perjalanan yang agak panjang semasa pengajian sehinggalah kini.

Mama berhenti seketika apabila keadaan tidak mengizinkan, namun kini Mama diperlihatkan peluang untuk kembali menjadi wanita bekerja. Tambahan pula, Mama bersyukur kerana mendapat sokongan yang padu daripada Papa. Jadi, Mama ingin bangkit dan mengambil peluang untuk meneruskan misi Mama yang telah terbuku sejak dahulu.

Mama harap anak Mama faham betapa pentingnya impian itu dalam hidup seseorang. Mama juga ingin melihat kamu mengejar impian dan menjadi seorang yang berani dalam membuat pilihan hidup walaupun diuji dengan pelbagai halangan.

Foto Kredit: ritagli.org

Foto Kredit: ritagli.org

2. Belajar Berdikari

Semasa muda dahulu, Mama akui bahawa Mama kurang berpengalaman dan tidak bijak dalam merebut peluang biasiswa dan membuat pilihan hidup. Waktu belajar memang seronok, tapi kami tak pernah sedar betapa besarnya hutang pengajian yang akan berbaki selepas tamat pengajian.

Selepas berhenti kerja, barulah kami ‘rasa’ bagaimana beban hutang ini mengganggu fikiran siang dan malam. Walaupun Papa kamu sanggup membantu melunaskan hutang tersebut apabila Mama berhenti kerja, Mama tahu Mama boleh berbuat sesuatu untuk menyelesaikannya. Mama tidak mahu menyusahkan sesiapa dalam hal ini selagi termampu.

Dalam dunia moden ini, Mama tidak mahu keluarga kita dibebani hutang yang akhirnya mendatangkan masalah kepada hubungan dan masa depan. Mama tak mahu hutang ini berlanjutan hingga mungkin akan menyusahkan kamu. Mama ingin berdikari dan Mama percaya masih belum terlambat untuk Mama melakukannya.

wanita bekerja

Foto Kredit: bladna.nl

3. Bantu Ibu Bapa

Dari segi hukum Islam, walaupun anak lelaki lebih bertanggungjawab secara langsung ke atas ibu bapa Mama, namun ia tidak bermakna anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab mereka.

Sebab itu Mama berharap dapat terus bekerja untuk berbakti kepada mereka. Dengan sedikit sumbangan sekalipun, dapatlah juga menggembirakan dan memberi keselesaan kepada mereka yang dulu telah berpenat-lelah dan kini telah lanjut usia. Mama juga memasang harapan untuk membawa mereka ke Tanah Suci. Jika tidak mampu sekalipun, Mama yakin setiap usaha kita akan dinilai olehNya.

Umrah dan Haji di Tanah Suci Makkah

4. Lebih Fokus Dalam Kehidupan Harian

Biasanya orang bekerja atas 2 keadaan – kerana ingin mencari rezeki dan kerana itu adalah minatnya. Dalam sesetengah kes, ia boleh menjadi kedua-duanya. Dan itulah apa yang Mama rasa sekarang.

Ternyata, terdapat kajian yang membuktikan bahawa wanita yang tidak bekerja dan duduk di rumah lebih berpotensi untuk mengalami tekanan perasaan. Mengejutkan bukan? Tapi, inilah realitinya yang Mama sendiri alami. Ini kerana, bekerja memberi Mama ruang berfikir dan juga privasi setelah seharian menguruskan rumah tangga. Ruang privasi ini membantu kita mengimbangkan emosi dan menjauhkan kita daripada membuat tindakan melulu dan merugikan.

Secara tidak langsung, bekerja menjadikan Mama lebih fokus dalam kehidupan dan lebih disiplin dalam mengurus aktiviti seharian.

cara ajar anak kenal nabi sejak kecil

Foto Kredit: shuroiulamo.ti

5. Meneruskan Legasi

Mama harap ia juga menjadikan kamu faham bahawa seorang wanita juga boleh memiliki impian yang besar walaupun telah berkeluarga. Dalam zaman Rasulullah sekalipun, bukannya semua wanita duduk di rumah menjadi surirumah sepenuh masa. Ada yang menjadi pedagang hebat seperti Saidatina Khadijah RA dan ramai yang telah merevolusikan peranan wanita dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan politik seperti Saidatina Aishah RA.

Apa akan jadi sekiranya semua wanita tidak bekerja? Tentu ia akan menyukarkan mereka yang inginkan sesuatu perkhidmatan khusus, terutamanya bagi golongan wanita itu sendiri bukan?

wanita bekerja

Foto Kredit: aboutislam.net

Tentulah Kamu Yang Lebih Utama!

Semoga anak Mama memahami mengapa Mama memilih untuk menjadi wanita bekerja. Bukan kerana Mama ‘kurang’ sayang kepada kamu – tetapi sebaliknya. Mama inginkan masa depan yang cerah buat anak Mama, dan Mama juga ingin kamu belajar tentang realiti kehidupan ini.

Namun percayalah sebesar-besar cita-cita Mama ini, Mama tidak akan sesekali menjadikannya sebagai penghalang antara kasih kita anak-beranak. Malah, jika ditakdirkan Mama terpaksa memilih sekali lagi, Mama tidak teragak-agak untuk mendahulukan kamu berbanding apa jua kerja Mama pada ketika itu.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×