40 Minggu

Tips Memilih Syampu, Sabun, Losyen Dan Krim Bayi. Jauhi 6 Bahan Ini!

934
SHARES

“Banyak betul jenama barangan mandian, losyen dan krim untuk bayi dijual di pasaran sekarang. Keliru nak pilih yang mana satu. Bayi baru lahir sebenarnya perlu ke sabun dan syampu? Apa tips memilih  syampu, sabun dan barangan penjagaan diri yang terbaik untuk anak aku ni ya?”

Sepertimana yang kita ketahui, terdapat pelbagai jenama syampu, sabun, losyen, krim, dan banyak lagi barangan penjagaan diri untuk bayi dijual di pasaran. Pelbagai persoalan menerjah fikiran tatkala ingin membuat pilihan.

Apakah faktor yang perlu diambil kira dalam memilih barangan penjagaan diri yang terbaik untuk si manja? Adakah ianya selamat untuk bayi? Jenama yang mana satukah menjadi pilihan kita?

Foto Kredit : clinica-abontza.com

Foto Kredit : clinica-abontza.com

Pentingnya Memilih Barangan Penjagaan Bayi Yang Bebas Kimia

Sistem badan bayi yang baru lahir masih belum matang dan sangat sensitif. Jika kita lihat pada masa kini, ramai bayi dan kanak-kanak mengalami masalah kulit, iritasi dan pelbagai penyakit lain. Salah satu punca yang menjadi penyebab perkara ini berlaku adalah daripada penggunaan barangan penjagaan diri bayi yang mengandungi bahan kimia berbahaya.

Menurut Dr. Sheela Sathyanarayana, Pakar Kanak-Kanak dari Seattle yang mengetuai kajian berkenaan bahaya bahan kimia dalam produk penjagaan diri bayi, bayi yang baru lahir sebenarnya tidak memerlukan sebarang produk mandian lagi.

Kulit manusia ibarat span yang boleh menyerap bahan-bahan kimia masuk ke dalam kulit. Terdapat pelbagai bahan kimia yang terkandung dalam produk penjagaan diri dewasa dan juga bayi. Sekiranya bayi didedahkan dengan produk penjagaan diri yang mengandungi bahan kimia berbahaya, ianya akan mendatangkan kesan negatif kepada bayi.

Maka, adalah penting untuk ibu bapa mengetahui tips memilih syampu, sabun, losyen, krim, dan bahan penjagaan diri yang sesuai serta selamat untuk bayi.

tips pilih syampu

Foto Kredit : cowrieshell.com

Tips Memilih Syampu, Sabun, Losyen & Krim Bayi. Jauhi 6 Bahan Ini!

Berikut merupakan antara 6 daripada bahan kimia yang perlu dielakkan ketika memilih barangan penjagaan diri untuk bayi sepertimana yang dikongsikan oleh Puan Nurhasanah Mazalan melalui laman Facebook peribadi beliau. Semoga ianya bermanfaat buat ibu bapa yang tercari-cari tips memilih syampu, sabun, losyen, krim dan sebagainya atau menukar jenama barangan penjagaan diri buat si manja kelak.

1. ‘Fragrance’

Bauan yang segar dan wangi pada barangan penjagaan diri bayi pasti digemari oleh sesiapa sahaja yang menghidunya. Walau bagaimanapun, ‘fragrance’ atau bahan pewangi kimia yang digunakan dalam pembuatan barangan penjagaan diri bayi ini boleh menyebabkan iritasi, alergi atau ekzema kepada bayi.

Jika ibu bapa mahu memandikan bayi dengan sabun, pilih mandian yang menggunakan bahan pewangi semulajadi seperti ‘essential oil’ sebagai alternatif.

2. Paraben

Paraben merupakan sejenis bahan pengawet yang berfungsi untuk meningkatkan jangka hayat sesuatu produk penjagaan diri, kosmetik dan juga ubatan.

Walau bagaimanapun, produk penjagaan diri yang mengandungi paraben adalah berbahaya untuk bayi kerana mengganggu sistem endokrin yang berkait rapat dengan hormon badan di mana ianya boleh menyebabkan keradangan kulit, baligh awal dan juga kemandulan. Oleh itu, pastikan kita memilih produk penjagaan diri bayi yang bebas paraben untuk anak kita.

Foto Kredit : medextour.com

Foto Kredit : medextour.com

3. Talc

Talc merupakan bahan utama dalam pembuatan bedak talkum bayi. Walaupun kini semakin banyak produk penjagaan bayi yang ditulis ‘talc free’ tetapi bagaimana pula dengan produk bedak talkum untuk bayi ini?

Pada kebiasaannya, bayi akan disapu dengan bedak sejurus selepas mandi supaya bayi sentiasa berbau segar dan wangi. Walau bagaimanapun, menurut Dr. Jennifer Lowry, Pakar Kanak-Kanak di Kansas City, Missouri menasihatkan ibu bapa agar tidak menggunakan bedak talkum ini untuk bayi kerana dikhuatiri boleh memberikan kesan terhadap sistem pernafasan bayi terutamanya bagi bayi yang mempunyai masalah dengan sistem pernafasan.

tips pilih syampu bayi

Foto Kredit : elespecial.com

4. ‘Mineral Oil’

‘Mineral oil’ atau minyak mineral bertindak menutupi kulit untuk mengekalkan kelembapan kulit. Walau bagaimanapun, bahan ini ibarat ‘plastic wrap’ yang boleh menghalang dan mengganggu proses perkumuhan melalui kulit iaitu berpeluh.

Ibu bapa dicadangkan untuk menggunakan minyak zaitun atau minyak kelapa sebagai losyen atau syampu bagi membuang kerak di kepala bayi.

Foto Kredit : watchfit.com

Foto Kredit : watchfit.com

5. Triclosan

Pada kebiasaannya, barangan penjagaan diri yang mempunyai label anti bakteria mengandungi triclosan yang bertindak sebagai bahan pembunuh bakteria. Walau bagaimanapun, bahan ini berbahaya untuk bayi kerana berisiko mengganggu hormon dalam badan. Ianya juga boleh menyebabkan kulit kering atau iritasi pada kulit.

Bayi seharusnya membina daya tahan tubuh dan imuniti mereka sendiri. Namun, ianya mungkin sukar berlaku sekiranya ibu bapa menggunakan barangan penjagaan diri dengan label anti bakteria ini untuk bayi. Ini kerana, bahan kimia triclosan yang digunakan dalam pembuatannya turut membunuh bakteria baik di sekeliling bayi dan menyebabkan mereka kurang pendedahan kepada bakteria buruk dalam proses meningkatkan sistem imun badan.

Foto Kredit : livestrong.com

Foto Kredit : livestrong.com

6. Proplyene Glycol

Proplyene glycol merupakan bahan kimia yang bertindak membuka liang roma bagi meningkatkan kadar penyerapan bahan kimia lain ke dalam tubuh badan. Ianya juga berisiko mendatangkan iritasi pada kulit bayi yang sensitif.

Lihat juga bahan kimia dengan nama polyethylene glycol (PEG) dan polypropylene glycol (PPG) pada label dan elakkan membeli barangan penjagaan diri yang mengandungi bahan kimia berbahaya ini demi kesihatan bayi yang kita sayangi.

Pilih Barang Penjagaan Bayi Yang Selamat

Dalam usaha menjaga kesihatan anak-anak yang kita cintai, pilihlah jenama barangan penjagaan diri bayi yang selamat tidak kira sama ada ianya adalah produk sedia ada di pasaran atau produk ‘homemade’. Sentiasa semak kandungan barangan tersebut dengan teliti bagi memastikan sumber penghasilan barangan tersebut adalah selamat untuk bayi serta bebas daripada bahan kimia berbahaya sebelum membuat pembelian di kedai atau secara atas talian (online).

Ayuh luangkan sedikit masa untuk menambah ilmu pengetahuan tentang bahaya bahan kimia yang terkandung dalam barangan penjagaan diri terutamanya untuk bayi. Mungkin, sesetengah bahan kimia tidak memberikan sebarang kesan terhadap bayi atau kanak-kanak buat masa ini, tetapi tiada siapa tahu tentang tahap kesihatan mereka untuk jangka masa panjang akibat penggunaan barangan penjagaan diri yang mengandungi bahan kimia berbahaya ini.

Terdapat beberapa jenama barangan penjagaan diri bayi yang dihasilkan daripada sumber bahan semulajadi serta tidak mengandungi bahan kimia berbahaya. Buat pilihan yang tepat dalam membeli syampu, sabun, losyen, krim bayi, dan pelbagai lagi barangan penjagaan diri bayi. Utamakan kesihatan anak kita, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

 

*Sumber asal tips memilih syampu, losyen, dan barangan penjagaan diri untuk bayi ini dikongsikan oleh Puan Nurhasanah Mazalan melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×