“Hmmm… Kalau diingat semula, memang berseri-seri muka akak yang aku jumpa dalam tren tadi. Tenang je bila bercakap dengan dia. Biasalah, kelebihan ibu mengandung ni memang banyak. Rindu pulak rasa nak mengandung seorang lagi. Hihi.”
Tak peliklah kalau kita dengar banyak masalah yang dihadapi oleh wanita sewaktu hamil. Selalu rasa loya, sengal badan, tak selera makan, dan susah tidur malam. Bukan itu saja, macam-macam pantang larang yang perlu dijaga.
Tapi, walau sakit dan ‘strict’ macamana pun, kebanyakan wanita tentu mengakui ‘keistimewaan’ dan kelebihan ibu mengandung yang hanya dapat dirasai dalam tempoh 40 minggu itu.
11 Perkara Yang Buat Kita ‘Rindu’ Nak Mengandung Lagi
Ada banyak kelebihan ibu mengandung yang akan dirasai oleh insan yang bergelar wanita.
Perasaan inilah yang dapat membuat kita rasa ‘rindu’ nak mengandung lagi. Tak kisah pun masalah-masalah lain!
1. Wajah Berseri
Ada fakta sains yang mengaitkan kenaikan hormon dan peredaran darah yang lebih banyak dalam badan kepada ‘seri’ wajah ibu mengandung ini.
Perasan tak, wajah kurang berjerawat dan tak ada lagi rasa senggugut kerana kita berhenti haid buat sementara.
Selain itu, ia juga mempunyai hubungan dengan kesihatan ibu mengandung yang berasa lebih gembira sepanjang kehamilan.
2. Kurang Stres Tentang Berat Badan
Perut kita memang dijangkakan akan membesar, lebih-lebih lagi apabila menghampiri due date. Jadi, tentu kita rasa kurang stres jika ada lemak berlebihan berbanding semasa tidak mengandung dahulu.
Kalau orang cakap “Eh, badan kau macam dah naik la,” kita ada alasan ‘mengandung’ dan perlu menjaga kesihatan bayi.
Apa pun, makan untuk 2 orang sepanjang kehamilan adalah mitos tau! Secara umumnya kita hanya perlukan 300-500 kalori lebih berbanding hari-hari biasa.
3. Boleh Mengidam
Mengidam ini sebenarnya salah satu tanda kekurangan nutrisi dalam tubuh kita. Itulah yang dijelaskan secara saintifik oleh pakar pemakanan, Susan Kundrat melalui laman web Fit Pregnancy.
Selain itu, ia mungkin juga adalah salah satu penangan hormon yang turun naik.
Walaubagaimanapun, kita memang bertuah kerana Encik Suami sangat rajin melayan dan mendapatkan macam-macam makanan pelik yang kita nak makan sepanjang waktu mengandung.
Kalau hari-hari biasa kita minta, nanti dikatakan ‘buang tebiat’ pula!
4. Sensasi Tendangan Bayi
Tendangan bayi dalam kandungan adalah salah satu cara paling ‘ajaib’ yang menghubungkan bayi dengan ibunya.
Walaupun tanpa sebarang kata-kata, hati si ibu mesti bergetar setiap kali merasakan tendangan bayi.
Sebab itulah hubungan bayi dengan ibu sangat erat dan mudah terjalin walaupun bagi ibu yang baru pertama kali melahirkan.
5. Dapat Jadi VIP
Dalam tren, dalam bas, dalam pasaraya, atau dalam pejabat, kita akan dapat pas VIP.
Alhamdulillah, syukurlah kerana budaya kita masih lagi mengutamakan wanita mengandung dalam kebanyakan hal.
Kalau kita ‘ter’buat salah pun, biasanya orang tak kisah dan mudah memaafkan dengan alasan kita sedang mengandung.
6. Rasa Lebih Disayangi
Apabila mengandung, Encik Suami akan rajin memberi perhatian lebih kepada isterinya.
Bukan setakat itu, ibu ayah dan kawan-kawan pun akan lebih selalu bertanya khabar.
Anak-anak lain yang lebih besar pun biasanya lebih senang bekerjasama dan mudah mendengar cakap kerana kasihankan ibunya yang sarat mengandung.
7. ‘Excited’ Nak Jumpa Bayi
Setiap hari, saat berjumpa bayi semakin hampir.
Ada rasa keterujaan setiap kali kita memegang perut sendiri.
Kalau hari biasa, kita mesti akan rasa “Ish, dah buncit lah…….”
8. Dapat ‘Shopping’ Barang Bayi
Geram kan tengok barang-barang bayi yang makin lama makin banyak dijual di pasaran?
Lebih-lebih lagi barangan ‘handmade’ yang sangat comel dan ekslusif!
Seronok tau dapat ‘shopping’ barang bayi. Macam terapi pun ada juga. Lagi satu, kurang rasa ‘bersalah’ sebab bukan barang kita pun.
9. Rasa Lebih Seksi
Mungkin juga disebabkan faktor hormon progesteron dan estrogen yang meningkat, kita akan berasa lebih feminin.
Selain itu, ramai wanita kurang mengalami masalah keputihan, dan rasa lebih konfiden terhadap penampilan diri.
Selain itu, payudara juga akan bertambah besar tanpa menggunakan apa-apa rawatan mahupun senaman. Banggalah sekejap!
10. Rindu Bau Bayi
Bau bayi memang sukar untuk digambarkan. Nak kata wangi, mungkin juga. Tapi ada juga kombinasi bau susu, bau masam, dan bau badan dia. Tambahan pula yang montel dan ‘berketak-ketak’ tangan dan kakinya.
Memang menenangkan, sampai ada yang geram nak gomol-gomol bayi hingga mereka menangis!
Apabila bayi semakin besar, bau ini akan semakin berkurang dan akhirnya hilang.
11. Dapat Kawan Baru
Setiap kali kita mengandung, secara tidak langsung kita akan dapat kawan baru. Biasanya kita akan berjumpa mereka ini sewaktu pergi ‘check-up’ di klinik.
Antara kelebihan ibu mengandung yang paling seronok, ramai yang ringan mulut menegur kita tempat awam, terutamanya ibu-ibu yang turut mengandung. Bila mula berbual, seolah-olah macam kawan lama. Seronok sangat walaupun hanya sebentar!
Banyak Kelebihan Ibu Mengandung
Betul kan? Sakit bersalin macamana pun tidak akan menggentarkan wanita untuk mengandung lagi.
Lebih-lebih lagi apabila timbulnya 11 perkara ini dalam hati mereka. Rasa rindu nak ada ‘baby’ dalam perut ni.
Inilah kelebihan ibu mengandung yang sangat unik dan ‘pelik’. Kalau dah rasa bersedia, memang sesuai sangatlah nak tambah lagi satu!