“Susahnya nak tidur bila dah masuk trimester ketiga ni. Tidur sekejap terjaga sebab nak pergi tandas. Kalau tak sebab nak ke tandas pun terjaga sebab bayi bergerak sebab dia pun tak selesa! Tension betul. Esok nak kerja pula.”
Pasti perkara ini sering terjadi kepada para ibu yang sedang hamil. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudah masuk trimester ketiga. Adakalanya suami pun naik bingung sampai tak tahu nak buat apa. Pusing ke kiri tak selesa, pusing ke kanan pula perut mengeras tiba-tiba. Perkara ini terjadi kerana bayi semakin membesar dan menjejaskan keselesaan anda ketika tidur. Ingat, keadaan ibu yang tenang semasa tidur yang selesa dan keselamatan bayi di dalam kandungan amat berhubungkait. Jadi, apakah tips yang selesa dan selamat untuk ibu dan bayi? Apakah cara tidur dan posisi yang terbaik?
1. Tempat tidur yang selesa
Sebelum anda mencuba tips yang lain, pastikan tempat tidur anda berada di dalam keadaan yang bersih dan kemas. Tak mungkin kita nak tidur di katil yang bersepah dengan longgakan baju, bukan? Alihkan segala barang elektronik seperti telefon bimbit, televisyen atau jam jauh dari anda. Selain itu, anda juga boleh menyalakan minyak aroma terapi yang menenangkan fikiran. Antara minyak aroma yang sesuai adalah haruman lavendar.
2. Mandi atau berendam di dalam air panas sebelum tidur
Seperti yang kita sedia maklum, sewaktu hamil kebanyakan ibu akan mengalami ‘kepanasan’ badan yang luar biasa. Kadang-kadang di dalam bilik yang berhawa dingin pun boleh berpeluh. ini akan menyebabkan ketidakselesaan untuk tidur. Apakata cuba tips ini. Berendam di dalam air panas atau jika tiada tab mandi, boleh juga mandi di bawah pancuran air panas. Mandi air panas dapat membuka liang roma sekaligus mengurangkan sengal dan sakit di bahagian kaki dan badan. Ianya pasti memudahkan anda tidur dengan nyenyak kelak.
3. Tidur dengan posisi mengiring
Posisi mengiring adalah posisi terbaik untuk para ibu hamil lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai terlalu banyak air ketuban atau hamil anak kembar. Ibu hamil digalakkan untuk tidur mengiring ke kiri kerana darah akan mengalir ke fetus, uterus dan ginjal anda. Elakkan posisi tidur terlentang kerana ini akan menyebabkan tekanan kepada usus dan vena besar (vena cavar inferior) dan mengganggu peraliran darah kembali ke jantung anda. Sekiranya anda terjaga pada tengah malam dan mendapati anda sedang tidur di dalam posisi terlentang, usah bimbang. Ia tidak membahayakan bayi anda. Anda cuma perlu alih ke posisi mengiring mengikut keselesaan anda.
4. Lebihkan bantal untuk sokongan
Mencari posisi yang sesuai semasa tidur memang menyukarkan bagi para ibu. Namun adakah anda tahu bantal yang baik dapat meningkatkan kualiti tidur anda? Cuba letakkan bantal di bawah perut ketika baring mengiring dan kepitkan bantal di celah peha untuk menyokong tulang belakang anda. Selain itu, meletakkan bantal di bahagian belakang juga dapat memberi keselesaan kepada para ibu. Jika anda mahu lebih selesa, anda mungkin boleh cuba tidur dengan bantal kehamilan yang direka khas untuk ibu hamil.
5. Berurut sebelum tidur
Setelah seharian bekerja, ketika inilah waktu yang sesuai untuk bermanja dengan pasangan anda. Minta pasangan anda untuk mengurut bahagian badan yang sakit seperti bahu, kaki dan tulang belakang. Lakukan urutan ini sekurang-kurangnya 10-15 minit sebelum tidur agar peraliran darah dapat mengalir dengan baik ke seluruh tubuh. Ingat, urutan kasih sayang ini bukan sahaja dapat melegakan pasangan anda malah dapat mempengaruhi emosi wanita hamil.
6. Elakkan makanan pedas dan berasid
Selalunya makan makanan pedas akan menyebabkan pedih ulu hati disebabkan kerana perubahan hormon dan fizikal dalam badan. Bayi yang semakin membesar memenuhi ruang abdomen dan menekan asid perut kembali ke esophagus menyebabkan rasa pedih di dada. Bagi mengelakkan rasa pedih ulu hati ini, elakkan makanan yang pedas dan berasid. Selain itu, kurangkan makan dalam kuantiti yang banyak dalam satu masa. Sebaliknya makanlah dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap.
7. Minum air yang banyak pada siang hari, kurangkan minum pada malam hari
Pasti anda tidak mahu terjaga dari tidur dan berulang-alik ke tandas untuk membuang air, bukan? Ini dapat dielakkan dengan mengurangkan minum air pada malam hari. Sebaliknya banyakkan minum air pada siang hari sahaja. Jika pundi kencing penuh, bayi pun akan mengeras. Pasti akan menganggu tidur malam anda.
8. Minum susu panas atau coklat panas sebelum tidur
Tidak lalu makan semasa hamil bukanlah sesuatu yang aneh. Tidak mungkin kita mahu membiarkan perut kosong sehingga waktu tidur. Cuba minum susu panas atau jika anda tidak menggemari sus, boleh juga mencuba susu berperisa coklat sebelum tidur. Ia bukan sahaja mengeyangkan malah berkhasiat untuk ibu hamil.
9. Lakukan senaman ringan ibu hamil
Sedikit senaman pernafasan sebelum tidur dapat membantu anda untuk relaks dan melegakan tekanan. Selain itu, anda juga boleh melakukan senaman ibu mengandung yang disyorkan. Senaman ini dapat menguatkan otot, membina ketahanan dan membantu anda tidur lena pada waktu malam. Namun harus diingatkan jangan lakukan senaman terlalu aktif apabila hampir dengan waktu tidur kerana ia mungkin memberi kesan yang sebaliknya.
10. Dengar alunan muzik
Seperti yang diketahui mendengar muzik dapat mengurangkan tekanan kepada sesiapa sahaja. Untuk ibu hamil boleh memilih muzik yang yang bersesuaian dengan citarasa anda. Contohnya mendengar alunan muzik klasik yang menenangkan jiwa dan fikiran seperti Beethoven. Ada sesetengah wanita yang memilih untuk mendengar alunan surah pilihan khusus untuk ibu mengandung untuk membantu proses meditasi sebelum tidur.