40 Minggu

Stress dan Cepat Marah Ketika Mengandung. Encik Suami, Tolong Saya!

2K
SHARES

Bagi suami saya, seorang wanita sudah cukup ‘complicated’ dan sukar difahami, terutamanya apabila datang bulan. Cepat marah, meroyan tak tentu pasal. Tapi, itu baru seminggu. Apabila mereka hamil, dapatkah anda bayangkan ‘roller coaster’  itu selama 9 bulan?

Cepat marah? Cepat penat?

Tentu anda pernah mendengar amaran-amaran bahawa orang mengandung ni tak elok ditegur sesuka hati. Perubahan hormon menjadikan emosi mereka sangat sensitif dan kadangkala bermacam-macam benda pelik dibuatnya.

Ada wanita yang tiba-tiba menangis apabila tak dapat makanan yang diidamkan. Ada yang rasa nak muntah dengan bau badan suami – (tapi selama ni boleh pula tidur bawah ketiak suami!). Ada pula yang jadi minah pelupa.

Wahai suami, selamat datang ke dunia kehamilan yang indah (dan aneh!)

Mengapa ‘mood swing’ berlaku? Secara saintifiknya, ‘mood swing’ berlaku akibat perubahan hormon yang mendadak . Hormon-hormon ini berfungsi untuk mengadaptasikan badan kita sesuai dengan proses perkembangan bayi mengikut proses kehamilan.

Contohnya, pada trimester pertama tahap hormon progesteron sedang meningkat tinggi. Hormon ini sebenarnya bersifat menenangkan, tetapi apabila ianya terlalu banyak, ia mampu menyebabkan penyakit lupa dan ‘blur’. Menerusi Parents.com, Dr Puryear menyatakan bahawa fasa ini dikenali sebagai ‘baby brain’ di mana otak wanita hamil memiliki ciri yang serupa dengan anak kecil.

Sementara itu, menjelang trimester ketiga paras oksitoksin pula mula mengambil alih. Hormon ini dikenali sebagai ‘nesting hormone’, bermaksud ia menyediakan badan wanita untuk menerima kelahiran bayi. Di saat ini, mungkin ada wanita yang tidak henti-henti mengemas dan membersihkan rumah mereka. Pelik kan penangan hormon?

Perut wanita pula menjadi semakin besar, menjadikan mereka sukar mendapatkan tidur yang cukup. Kekurangan rehat menjadikan mereka mudah melenting, walaupun atas perkara-perkara remeh.

Selain itu, perjalanan sepanjang 9 bulan kehamilan mengandungkan bayi tentunya menjadikan wanita berasa teruja, gembira, dan pada masa yang sama gementar serta takut mengenangkan detik-detik kelahiran. Sebab itulah susah hendak menjangkakan ‘angin’ isteri anda.

Cepat marah ketika mengandung

Foto kredit: thebirthpro.org

Tips Mengawal ‘Mood Swing’ Pasangan Anda

1. Cuba fahami proses kehamilan

Dengan membaca lebih banyak artikel tentang kehamilan, kelahiran bayi, dan keibubapaan, anda dapat menambahkan pengetahuan tentang proses yang bakal dilalui anda berdua. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa anda mengambil berat terhadap kehamilan pasangan anda.

Kadangkala, wanita rasa terbeban dan tertekan sepanjang kehamilan kerana beranggapan mereka seorang sahaja yang menanggung prosesnya. Melalui pembacaan, anda dapat mengetahui serba sedikit keadaannya dan ilmu inilah yang dapat membantu anda mengawal keadaan.

2. Ingatkan diri anda bahawa ianya hanya sementara

Kebanyakan wanita bukanlahmengalami ‘mood swing’ sepanjang masa. Kalau ada pun, ingatkan diri anda bahawa ianya akan berlaku hanya selama 9 bulan (Insya Allah). Oleh itu, cubalah bersabar dan jangan ambil hati sekiranya mereka mempunyai permintaan yang bukan-bukan.

3. Bersenam atau beraktiviti bersama

Sepanjang kehamilan, mungkin ramai wanita rasa letih dan tidak bermaya. Senaman adalah antara cara yang terbaik untuk mengembalikan kecergasan dan keceriaan. Lakukannya bersama supaya pasangan anda berasa lebih bersemangat. Dengan meluangkan waktu, anda berdua juga boleh berbual dan memahami antara satu sama lain.

4. Tunjukkan cinta dan penghargaan anda kepada isteri

Belailah pasangan anda, usap perutnya, tunjukkan bahawa anda ambil peduli. Paling kurang, peluklah mereka di saat-saat yang memerlukan. Sesetengah suami berasa janggal untuk melakukan semua ini. Yalah, lelaki biasanya agak ‘keras’ sedikit. Tetapi percayalah, proses sebegini sebenarnya membantu anda bersiap sedia untuk alam kebapaan.

5. Jaga pemakanan isteri anda

Ini memang penting. Pengambilan diet yang sesuai mampu mempengaruhi mood mereka. jauhkan mereka daripada makanan rapu dan makanan yang tidak berkhasiat. Jadi, janganlah makanan begini di hadapan mereka, ya! Cuba dorong mereka untuk melebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan.

Seperkara lagi, sekiranya anda merokok seboleh-bolehnya janganlah lakukannya dalam kehadiran mereka. Anda tentu tahu bahawa ianya amat buruk untuk kesihatan bayi, bukan?

Kadang-kadang mereka mengidam yang pelik-pelik. Tengah-tengah malam minta durian. Aduh… Mana nak cari? Satu tips yang diharap membantu – jika anda menunjukkan usaha untuk mendapatkannya, ianya mungkin cukup menggembirakannya walaupun balik dengan tangan kosong.

6. Solat jemaah

Bagi pasangan Muslim, dekatkanlah diri anda dengan Tuhan. Melalui solat, pelbagai perkara dapat diselesaikan tanpa kata-kata. Mintalah doa dan keberkatan atas kehamilan ini. Walaupun ada hari yang sukar, anda berdua pasti akan dapat mengharunginya bersama.

Bertolak ansur antara pasangan

Semoga anda berdua mampu menghadapi fasa kehamilan dengan tenang. Walau apa pun, ketahuilah bahawa isteri anda amat memerlukan sokongan anda untuk melalui 9 bulan tersebut. Malah, anda mungkin saja mentertawakan segala pengalaman yang menjengkelkan.

Semuanya bakal berlalu bagai memori indah untuk anda berdua!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×